Diora sedang berdiri di depan pintu rumahnya. Tangan gadis itu sedang meraba-raba poket seluar. Sekejap-sekejap poket kanan, sekejap-sekejap poket kiri. Namun kedua-dua belah poket kosong. Tiada langsung kunci rumahnya yang sepatutnya berada di dalam poket seluar.
Ah, sudah...
Seingat Diora sebelum dia meninggalkan kolej kediaman dia mengunci pintu rumah dan bawa sekali kunci rumah bersamanya. Malah, dia naik ke rumah dua tiga kali juga nak pastikan kunci rumah tidak ditinggalkan tergantung di tombol luar pintu rumah. Maklumlah, pernah la sekali dua dia buat hal dengan tertinggal kunci tergantung di tombol pintu. Memang meminta sungguh orang masuk ke dalam rumah merompak masa itu.
Beberapa minit sudah pun berlalu, Diora masih lagi belum berjaya masuk ke dalam rumah. Mengalah dengan mencari kunci, dia buat keputusan untuk menghubungi rakan serumahnya. Namun, panggilan yang dibuat tidak berjaya malah disambut pula dengan suara mesin operator yang didengarinya di sebalik corong telefon.
"Aduh, mana pula pergi si Seera ni?"
Dia tertanya-tanya ke manakah keberadaan rakan serumahnya, Seera. Lihat pada gaya di bawah pintu rumah yang gelap nampaknya seperti tiada penghuni di dalam. Tetapi, seingat Diora, rakan serumahnya ada maklumkan yang dia akan berada di rumah sahaja. Tidak mahu ke mana-mana.
Ting! Bunyi pintu lif terbuka tanda ada orang berhenti di arasnya. Besar harapan Diora agar jiran satu arasnya itu sudi menumpangkan dia sementara waktu. Hendak tunggu Seera, takut dia jadi peminta sedekah je di depan pintu rumah sendiri. Diora pun menoleh kepala ke arah pintu lif yang ternganga. Ingin lihat siapakah gerangan yang 'bertuah' menjadi 'keluarga angkat'nya. Mengutip dia seperti kucing terbiar di kaki lima aras.
"Osiris?" Matanya terkerdip-kerdip memandang sosok tubuh tampan jejaka itu.
"Kau buat apa tercongok depan pintu rumah kau, Diora?"
"Aku rasa aku terhilangkan kunci rumah."
"Terhilangkan? Ini kali ke berapa dah, Diora?" Osiris menggeleng kepala sambil melangkah merapati gadis itu yang sedang mencongak-congak jari.
10 jarinya ditayangkan kepada Osiris. Bibir menayang sengih tidak bersalah. Jejaka tampan itu memicit puncak hidung sebelum menghelakan nafas berat. Diora nak serba salah pun tak serba salah sangat. Sebab dia peka dan sedar dengan sikapnya yang kuat pelupa dan leka. Kalau tidak, manakan kes kehilangan kunci sudah Osiris maklum.
"Sana sikit." Osiris suruh Diora ke tepi.
"Kejap. Kau nak buat apa? Kau jangan nak pecahkan pintu ni lagi ya." Tangan didepangkan luas menghalang Osiris dari merapati pintu rumahnya.
"Tak adanya aku nak buang karan pecahkan lagi. Tak pasal-pasal warden kolej mengamuk dekat aku lagi."
"Dah tu, kau nak buka pintu macam mana? Guna pin macam perompak ke? Ke guna kad selit-selit tepi pintu?"
"Guna ni." Sebentuk kunci di tangan jejaka tampan itu dicucuk ke tombol pintu. Klik! Tombol pintu boleh dipusing dan pintu boleh dibuka dari luar. Osiris menolak daun pintu rumahnya.
"Silakan masuk, tuan puteri."
Diora memegang hujung bajunya dan menunduk hormat kepada Osiris. "Terima kasih, tuan hamba."
"Kenapa kau tak beritahu yang kau ada jumpa kunci rumah aku?"
"Siapa cakap kunci ni kau punya?"
"Kalau bukan aku punya, tak akan kau punya pula." Dahi Diora dah berkerut kurang mengerti.
"Kalau aku cakap, ya aku punya?"
"Huh?" Diora lagi keliru. Macam mana pula kunci pintu rumahnya boleh dibuka dengan menggunakan kunci Osiris. Tak akan la tombol pintu rumahnya sama jenis dengan Osiris punya. Mana mungkin perkara itu terjadi. Mustahil.
"Eh, Osiris!" Dek dalam dunia fikirannya sendiri, dia tidak sedar pun bila Osiris pergi tinggalkan dia sendiri. Sedar-sedar Osiris dah pun dalam kotak lif yang sedang tutup.
"Esok sahajalah aku minta kuncinya daripada Osiris." Ujar Diora melangkah masuk ke dalam ruang rumahnya. Pintu dikatup rapat dan dikunci dari dalam.
Diora sudah masuk tahun ketiga duduk di salah sebuah rumah dalam bangunan Lilac. Bangunan pangsapuri itu hanya dihuni oleh pelajar-pelajar daripada Universiti Kalopsia. Kolej kediaman yang terletak di dalam kawasan universiti ini diselia oleh seorang warden. Namun, kebiasaannya pelajar-pelajar sendiri juga yang uruskan sekiranya ada apa-apa.
Penghuni bagi setiap rumah boleh dalam bilangan sekurang-kurangnya dua atau empat dalam satu-satu masa. Diora yang sudah serasi dengan Seera sejak tahun pertama, kekal menjadikan Seera sebagai teman rumah sepanjang bergelar mahasiswa di Universiti Kalopsia. Bukan mereka tidak pernah duduk rumah itu bertiga atau berempat tetapi yang ketiga dan keempat itu selalunya tidak boleh duduk dan serasi dengan mereka berdua. Jadi akhirnya, mereka buat keputusan untuk duduk di rumah itu hanya berdua sahaja sehingga tamat pengajian mereka di situ.
Osiris yang keluar dari kotak lif terus berjalan ke arah kereta mewah yang terparkir di hadapan bangunan Lilac. Pintu penumpang hadapan dibuka sebelum punggungnya berlabuh di atas kerusi kulit berwarna hitam. Saat pintu penumpang ditutup, ada suara menegurnya. "Dah masuk ke dalam rumah dah tuan puteri kau?"
"Dah. Aku tak faham betul macam mana entah dia boleh hilangkan kunci lagi."
"Kau tak bagi kunci tu dekat dia?"
"Tak la. Ini kan kunci aku."
"Kunci rumah Diora yang kau buat kunci pendua. Basically, kunci tu kunci rumah Diora maknanya kunci tu dia punya, Osiris."
"Siapa buat kunci pendua ni?"
"Kau." Khaos menuding jari ke arah Osiris.
"So, aku punya la kunci ni. Bukan Diora." Muka Khaos waktu itu tidak boleh tutup kebingungan dek mendengar jawapan yang keluar dari mulut teman baiknya.
"Lantak engkaulah." Malas dah Khaos berdebat dengan Osiris pasal satu kunci.
"By the way, bro... kau tak rasa ke... kalau Diora tahu yang kau pegang kunci rumah dia, dia akan mengamuk?"
"Mengamuk dekat aku kenapa? Nasib baik la aku nak buat kunci pendua. Kalau tidak, mahu bermalam dia dekat kaki lima aras."
"Untuk elak perkara tu terjadi, kau boleh je bagi kunci tu dekat Diora."
"Tak payahlah. Kalau tiap kali hilang, aku bagi kunci pendua aku dekat dia, sampai ke sudah la asyik hilang sahaja."
"Ya, semua kunci tu hilang dalam laci almari dalam bilik kau." Khaos zip mulut apabila mata tajam Osiris menjeling tajam memberi amaran.
Beberapa minit tadi, Osiris ada Whatsapp Khaos minta suruh dijemput di Lilac. Bila dia sampai-sampai, Osiris masih tegak berdiri mendongak ke arah bangunan kolej kediaman. Dia panggil nama Osiris berkali-kali pun diendahkannya. Sampailah, "Khaos, kau diam sekejap boleh tak." Terus dia membisu apabila dengar intonasi serius Osiris.
Osiris menggenggam kuat telefon pintarnya. Geram panggilan yang dibuat asyik-asyik masuk ke dalam mesin operator. Tingkap kamar Diora masih lagi gelap sejak dari gadis itu hilang ke dalam pintu lif. Osiris pusing ke belakang mengetuk cermin kereta Khaos.
"Tunggu sini kejap."
Khaos melihat tubuh Osiris masuk ke dalam lif bangunan Lilac dari dalam kereta.
Firasat Osiris betul. Diora terkunci di luar rumah. Nasib baik la dia terdetik nak naik ke atas juga. Kalau tidak, entah apa la nasib gadis itu. Osiris mampu menggeleng kepala.
"Kau termenungkan apa jauh sangat tu. Kita dah sampai." Kata Khaos menarik perhatian Osiris. Osiris keluar dari perut kereta mewah milik temannya dan melangkah masuk ke dalam Basileai.
[Nantikan sambungannya pada hari Jumaat minggu hadapan]
Thanks for the supports, votes, comments and loves. 💋
YOU ARE READING
Diora
RomanceDiora dan Osiris. Kedua-duanya merupakan mahasiswa yang sedang menuntut pengajian di Universiti Kalopsia. Berada di dalam bidang dan cabang pengajian yang sama namun berbeza cara kehidupan. Diora dengan rutinnya. Osiris dengan hidupnya. Tapi ada sah...