"Suha!" Panggil Anwar sambil mengangkat tangan. Nasuha yang sedang berbual dengan Aqilah hanya memandang dingin pada Anwar sebelum dia beredar tidak membalas. Tangan lelaki itu perlahan turun. Mungkin Nasuha tidak mendengar panggilannya.
Anwar masuk ke kelas, kelibat Nasuha masih tidak kelihatan. Hanya muncul selepas guru kelas mereka melangkah masuk.
Waktu rehat pula, Nasuha terus bangun untuk keluar. Hanya masuk semula sesudah guru yang mengajar tiba di kelas.
Balik juga begitu.
"Suha!" Panggil Anwar lagi. Cuba mendapatkan Nasuha yang terus bangun bersiap untuk pulang. Gadis itu tetap tidak menoleh ke arahnya.
Anwar hairan. Nasuha seperti mahu lari dari bertembung dengan dirinya.
***
"Suha? Kau okay tak?"
Tegur Alya melihatkan wajah pucat Nasuha yang sedang menongkat dahi.
"Okay je. Aku sakit kepala sikit."
"Hm, mungkin sebab harini panas sikit kot. Kau minum air sikit. Nah." Botol air mineral dihulurkan. Namun Nasuha menolak.
"Tak apalah, nanti aku pergi beli. Tak nak nanti kau pula yang sakit."
Tangan Alya terus melekap pada dahi rakannya yang jelas seperti mayat hidup. Tapaknya terasa bahang.
"Baliklah, Nasuha. Kau tak sihat ni. Tak pun kau pergi bilik rawatan, minta ubat ke." Cadang Alya yang agak risau akan keadaan Nasuha.
"Kita ada kuiz nanti. Aku tak nak ambil hari lain."
Alya mengherotkan bibir.
"Tapi kau demam ni Suha."
"Tak apa, nanti lepas kuiz aku pergi bilik rawatan." Janji gadis itu cuba untuk meyakinkan Alya bahawa dia baik-baik saja.
"Aku nak pergi beli air kejap."
"Nak aku temankan tak?"
Nasuha hanya menggeleng lalu bangun dari tempat duduk. Namun langkahnya terhenti apabila Anwar secara tak sengaja menghalang laluan keluar.
"Suha," Lembut nada Anwar. Cuba untuk menegur Nasuha yang sudah beberapa hari tidak mahu bertegur sapa malah mengelak dari berjumpa dengannya.
Nasuha terus ke kiri Anwar tanpa langsung membalas sapaan itu. Kali ini, benar-benar dia mengelak dari bertentang mata. Wajahnya hanya menunduk menatap lantai saat keluar dari kelas. Senyuman Anwar memudar. Dia juga tidak pasti apa kesalahan yang telah dilakukan.
"Kau gaduh dengan Suha ke?" Tanya Alya yang memerhati.
Anwar mengangkat bahu. Mindanya ligat memikirkan kesalahan yang telah dibuat sejak kali terakhir perbualan mereka tentang Pixies Savior.
"Kenapa?" Tanya Amsyar yang datang mendekat apabila melihat Anwar lama tersangkut di meja Alya.
"Suha gaduh dengan Anwar."
Terbeliak mata Amsyar. "Seriuslah?"
Anwar yang malas mahu melayan soalan Amsyar terus keluar mahu mengejar Nasuha. Dia tidak peduli. Hatinya hanya mahu meminta maaf walauapapun kesalahan yang telah dibuat.
"Suha!"
Langkah Nasuha semakin laju. Cuba untuk meninggalkan Anwar di belakang.
"Suha!"
Nasuha tidak menoleh. Makin dipercepatkan kakinya.
"Nasuha!" Pergelangan tangan gadis itu dipegang kejap. Menghentikan langkah Nasuha. Gadis itu terpempan. Genggaman kuat Anwar mengejutkan dirinya.
Setelah dia pasti Nasuha tidak akan meneruskan perjalanan, Anwar perlahan melepaskan pegangan.
"Suha, aku minta maaf kalau aku ada buat salah."
Nasuha masih membelakangi Anwar yang mengetap bibir. Tangan kiri gadis itu mengusap pergelangan yang erat dipegang tadi.
Lama Nasuha diam. Kepalanya semakin kuat berdenyut.
"Anwar! Nasuha!" Panggil guru matematik yang berada di tingkat atas bertentangan dengan mereka berdua. "Mari tolong cikgu angkat buku kejap."
Nasuha tertunduk sendiri. Matanya dipejam rapat. Cuba menghalau rasa nyeri yang sedang mencucuk kepala.
"Suha," Sekali lagi Anwar memanggil namanya.
Barulah Nasuha berpaling. Itupun hanya untuk ke tangga yang menuju ke bilik guru. Anwar mengeluh perlahan. Hanya menuruti langkah dingin Nasuha dari belakang. Masih tertanya-tanya akan kesalahan dirinya sehingga menyebabkan gadis itu terus membisu.
"Kamu berdua tolong angkat fail ni sekali ya. Untuk kuiz kejap lagi."
Suasana hening menghurungi mereka. Nyata di depan mereka menggunung tinggi buku rujukan untuk para pelajar serta fail-fail tebal bertingkat di antara satu sama lain. Tidak mungkin Anwar mampu mengangkat semua ini seorang diri.
Pantas Anwar mengambil buku-buku rujukan serta beberapa fail dari susunan yang berada di hadapan Nasuha. Hanya meninggalkan gadis itu dalam 10 fail untuk dibawa. Anwar terus melangkah keluar dari pintu. Nasuha pula hanya memandang kosong fail-fail di depannya.
"Suha? Kau boleh bawa tak tu?" Tanya Anwar risau sekiranya fail-fail itu terlalu banyak buat Nasuha. Namun, hati yang sakit bersama kepala yang seperti direntap kuat, Nasuha terus mengangkat baki fail yang ditinggalkan untuknya.
"Jalanlah." Hanya sepatah yang keluar dari bibir halus itu.
Anwar akur. Kata-kata dingin itu ibarat belati tajam yang menikam dalam dada. Kakinya menyusun langkah menuju ke tangga. Diikuti Nasuha di belakangnya.
"Hati-hati." Pesan Anwar yang sempat memandang ke arah Nasuha sebelum dia melangkah turun. Namun pesanan itu di biar pergi bersama angin lalu.
Kaki Nasuha turut sama melangkah turun di belakang Anwar. Bahu bidang itu dipandang sepi. Sekali lagi, kepalanya terasa seperti ditikam. Nasuha memejamkan mata bagi meredakan rasa ngilu. Kakinya turun selangkah lagi.
Nafas Nasuha menjadi berat. Berkali-kali dia memejam membuka mata supaya terus nampak anak tangga yang ada. Namun pandangannya tidak memberikan kerjasama. Dunia pula terasa seperti berpusing laju.
"Suha?" Suara Anwar tenggelam timbul pada telinganya.
Kaki Nasuha terus melangkah turun, tetapi dia terlepas satu anak tangga.
Keseimbangan gadis itu hilang. Fail yang dibawa mula terlepas dari pegangan.
Graviti bumi menarik gadis itu jatuh.
"Suha!"
Tubuh Nasuha menghentam Anwar yang berada di bawah. Jatuh tergolek bersama timbunan buku dan fail.
Prang!
Pecah pasu bunga sekolah yang ada di hadapan tangga.
Nasuha dan Anwar terbaring kaku.
"Ya Allah!" Suara seorang guru samar-samar kedengaran ditelinga Nasuha. Seluruh badannya terasa sakit. Dalam kepayahan, Nasuha membuka mata.
Wajah Anwar bersama mata yang terpejam rapat menjadi tatapan pertama. Nasuha cuba untuk bangun. Tetapi badannya terlalu lemah. Matanya dibuka semula, cecair merah mula memenuhi lantai, membasahkan rambut hitam Anwar yang masih tidak sedarkan diri.
"Anwar," Panggil Nasuha perlahan.
Namun, rasa sakit mencucuk di seluruh tubuhnya. Memaksa Nasuha kembali tenggelam dalam kegelapan.
***
YOU ARE READING
ARAWN | ANTARA DUA REALITI
Teen FictionMenjadi popular didalam sosial media merupakan impian setiap streamer. Anwar, seorang pelajar berusia 16 tahun dengan mudahnya melonjak naik bersama persona virtual yang dicipta semenjak dia berusia 13 tahun. Menggunakan nama samaran sebagai Arawn...