Kereta peronda polis menurunkan dua sahabat itu di rumah Anwar. Amsyar mengucapkan terima kasih sebelum kereta itu berlalu pergi. Manakala Anwar, hanya membisu melangkah masuk ke dalam rumah.
Anak mata hitam itu kosong. Wajahnya juga tiada reaksi. Kata-kata Amsyar di sebelahnya ibarat hingar di telinga. Tangan yang berbalut kerana luka memulas tombol pintu biliknya. Dia melangkah masuk lalu pintu itu ditutup rapat. Meninggalkan Amsyar di muka pintu. Bilik tidurnya di biarkan gelap gelita. Badan Anwar tersandar lemah.
"Anwar?" Tangan Amsyar menyentuh pintu dari luar. Terkejut dengan bunyi hentaman tubuh itu. Rakannya yang menemani Anwar pulang tadi masih tidak berganjak. Anwar tidak menyahut, hanya tunduk membatukan diri.
"Anwar, kalau kau perlukan aku, call aku. Aku ada dengan kau, Anwar. Walau apapun yang jadi lepas ni." Kata Amsyar, cuba untuk menyampaikan secebis cahaya harapan pada Anwar. Tidak mahu rakannya itu hancur dengan perasaan sendiri. Tenggelam dalam dunia yang bakal menghakimi dirinya.
Namun Anwar tetap diam tidak menyahut. Tidak bersuara semenjak Taufik dibawa pergi menaiki ambulans.
"Anwar."
"Baliklah, Amsyar. Aku okay." Sayup sahaja sahutan dari Anwar.
Amsyar mengetap bibir. Dirinya dimamah rasa bersalah. Mahu pulang rasa tidak patut, mahu tetap berada disitu pula terasa seperti dia tidak memberi ruang pada Anwar. Lama dia tercegat, akhirnya digagahkan dirinya untuk melangkah pergi meninggalkan bilik Anwar. Dia percaya rakannya kuat mengharungi badai yang akan mendatang.
Tubuh Anwar meleret jatuh. Kakinya tidak lagi mampu menanggung bebanan yang semakin berat. Kepalanya tunduk pada dua lutut. Titisan air mata mula membasahi lantai. Gigi diketap kuat. Hatinya pedih terasa bagai dirobek kasar. Dua tangan itu meraup muka. Reputasinya sebagai Arawn yang dibina bertahun lama kini hancur dalam sekelip mata. Anwar tunduk merintih, tangannya menumbuk dada. Raungannya semakin lama semakin kuat. Dia kecewa. Kecewa dengan dirinya sendiri. Jika dia melayani Farah seperti biasa, pasti semua ini tak akan terjadi. Pasti Nasuha tidak menjadi mangsa. Pasti identitinya kekal rahsia.
Ini semua salah dirinya.
***
"Ish! Apa?" Laju skrin telefonnya ditatal oleh Aqilah. Entah sudah berapa lama dia menghadap telefon. Timeline laman sosialnya banjir dengan gambar Anwar dan Arawn. Reaksi peminat rata-rata kecewa. Kononnya mengharapkan Anwar seperti karakter yang direka itu.
"Argh! Geramnya aku!" Aqilah menujal-nujal skrin telefonnya seolah-olah dia sedang menujal kepala komentar-komentar yang meninggalkan kata-kata nista. Anwar itu sudah dia anggap sebagai rakannya. Jadi hatinya panas apabila orang-orang yang langsung tidak mengenali lelaki itu, berlagak seperti mereka lebih kenal siapa Anwar.
Dunia internet boleh menjadi kejam sekelip mata. Rata-rata mereka pantas sekali memberikan komen tanpa berfikir akibat dan kesan. Teori serta tuduhan dilemparkan tanpa belas. Seolah-olah itulah kesalahan Anwar yang paling besar. Berselindung disebalik avatar yang menarik perhatian. Fitnah tersebar di merata tempat. Ada yang mengatakan Anwar merupakan seorang playboy yang telah berjaya menggoda ramai gadis-gadis naif, dan inilah pembalasan paling tepat untuknya. Hujung jari Aqilah digigit beberapa kali. Tidak menyangka bertapa ramai peminat yang sepatutnya menyokong, kini berpaling tadah.
"Kenapa korang macam ni? Dia still Arawnlah." Marah Aqilah penuh di dada. Hanya kerana identiti Anwar terbongkar, mereka semua lupa tentang kebaikan yang pernah Anwar buat atas nama Arawn.
YOU ARE READING
ARAWN | ANTARA DUA REALITI
Teen FictionMenjadi popular didalam sosial media merupakan impian setiap streamer. Anwar, seorang pelajar berusia 16 tahun dengan mudahnya melonjak naik bersama persona virtual yang dicipta semenjak dia berusia 13 tahun. Menggunakan nama samaran sebagai Arawn...