Dewan itu riuh dengan komentetar rasmi yang mengacarakan kejohanan e-sport pada hari itu. Para pelajar bersorak sorai melihat skrin televisyen yang memaparkan perlawanan sengit antara perserta akhir itu.
Aliff dan Osman tersandar lemah. Mereka telah berjaya dibunuh oleh pihak lawan. Tinggal Anwar, Amsyar dan Hakeem yang akan meneruskan perlawanan itu.
"Naik atas, Amsyar! Kau ke mana tu?" Tempik Hakeem sambil tangannya giat menekan-nekan papan kekunci.
"Ah, kau duduk je diam-diam kat situ." Amsyar meneruskan misinya mencari lawan.
"Dua orang datang dari kiri kau, Amsyar. Hakeem get ready. Final shot." Anwar fokus dari kedudukannya selaku sniper.
Hakeem kembali fokus. Senjata miliknya membidik tepat pada arah lawan yang bakal muncul. Bersedia sekiranya Amsyar diserang pihak lawan.
Masa masih berbaki lima minit lagi. Mereka perlu mengalahkan pihak lawan dalam tempoh tersebut. Amsyar berjalan perlahan sesekali menyorok di tepi kotak-kotak kayu yang disusun bagi menyembunyikan pemain.
"3 ... 2 ... 1!" Suara Anwar dari corong headphone membuatkan Amsyar keluar dari tapak persembunyiannya. Manakala Hakeem mengikut rapat dari belakang. Serangan itu mengejutkan pihak lawan yang datang mendekat.
Tembakan dilepaskan oleh Hakeem tepat mengenai salah seorang pemain itu. Manakala seorang lagi cuba melarikan diri dari terkena serangan Amsyar yang mengunakan pisau belati. Hakeem melepaskan tembakan. Namun pemain itu mengelak dengan pantas.
"Anwar!" Pekik Hakeem yang cemas melihat pemain itu semakin menjauh.
"Belum lagi." Kata Anwar tenang. Matanya fokus pada target yang sedang bergerak laju.
"Anwar! Dia nak lari tu!" Papan kekunci ditekan ganas oleh Amsyar yang cuba mengejar.
Masa berbaki dalam seminit lagi. Mereka perlu mengalahkan pemain yang licik mengelak serta cuba kembali bersembunyi.Bidikan Anwar masih pada target. Matanya tidak berkelip. Jari telunjuknya bersedia untuk menekan tetikus yang akan melepaskan peluru senjatanya.
"Anwar!"
BANG!
Berdesup peluru itu terbenam pada kepala pemain yang cuba melarikan diri.
<Player toof4st2see is dead.>
Tetikus yang digenggam sedari tadi perlahan dilepaskan lalu dia bersandar lega. Senyuman puas terukir pada bibir Anwar.
Pada skrin monitor itu naik pengumuman pemenang yang nyata berpihak pada pasukan Anwar. Para penonton bersorak dengan keputusan itu. Pasukan yang dihantar oleh SMK Sri Citra ternyata bukan calang-calang pemainnya.
Amsyar terus bangun lalu menepuk-nepuk bahu Anwar. Hakeem pula hanya tersenyum bangga. Bangga dapat menjadi sebahagian dari pasukan itu. Bangga dapat menyaksikan permainan sebenar Anwar yang selama ini tersembunyi disebalik karakter Arawn.
Setelah kes dari konvensyen itu tamat dan Taufik dijatuhkan hukuman penjara. Manakala Farah pula khabarnya telah sedar dari koma, namun ingatannya sedikit bercelaru. Nasuha mengatakan bahawa Farah tidak mengenali siapa Arawn. Dia langsung tiada memori tentang streaming Arawn serta rasa obsessnya pada virtual streamer itu. Perkara terakhir yang ada dalam kotak ingatan gadis itu adalah apabila kereta milik ibubapanya terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk mengambil abangnya di universiti. Farah terpinga-pinga sendiri apabila dikhabarkan tentang abangnya. Kemalangan itu telah meninggalkan kesan yang kuat pada kepala Farah. Ingatannya kabur dan memori tentang Arawn dan Anwar telah hilang.
Peminat-peminat Arawn pula kembali bangkit menyokong streamer kegemaran mereka setelah klip video Hakeem semasa public hearing itu tersebar luas. Mereka menyokong segala kata-kata Hakeem dan Halim. Malah masing-masing mula bercakap perkara yang baik tentang Arawn semula. Menenggelamkan kutukan serta hinaan yang ada.
Artikel yang dikeluarkan oleh wartawan Rashid pula tular dan menjadi perbualan pelbagai pihak. Bahkan ada yang mengusulkan cadangan supaya Anwar meneruskan streamingnya tanpa menggunakan avatar. Peminat-peminat Arawn yang lain juga turut sama bersetuju dengan cadangan itu setelah mengetahui tentang kontrak rasmi dari agensi telah pun ditamatkan. Maka avatar Arawn telah menjadi milik agensi itu sepenuhnya semula.
Dengan bantuan Amsyar dan Hakeem, Anwar akhirnya membuat keputusan untuk memulakan saluran streamingnya sendiri tanpa dikawal atau berjadual seperti dulu. Tanpa menggunakan avatar, Anwar hanya menjadi dirinya sendiri. Peminat Arawn kembali pada streaming barunya malah lebih ramai dari dulu. Angka pengikut Anwar meningkat saban hari. Masing-masing terus menyokong saluran streaming Anwar yang lebih original dan terasa lebih dekat dengan mereka.
"Dengan itu berakhirlah kejohanan e-sport antara sekolah dan juara keseluruhan menjadi milik SMK Sri Citra!"
Komentetar itu bersorak gemilang disambut dengan tepukan gemuruh dari para penonton yang menyokong pasukan itu. Anwar, Amsyar, Hakeem, Aliff dan Osman naik ke atas pentas. Masing-masing tertunduk-tunduk memberikan ucapan terima kasih atas sokongan yang dipamerkan.
Pengetua sekolah SMK Sri Citra turut sama naik ke atas pentas. Berbangga dengan pencapaian Johan dalam acara yang selama ini tidak pernah lagi dimenangi oleh sekolahnya.
Piala emas yang dihiasi riben merah putih itu diserahkan pada pengetua sekolah SMK Sri Citra yang tersenyum lebar. Silau lampu sorot kamera yang bertubi-tubi mengambil gambar hampir membutakan mata. Namun diabaikan kerana gambar itu akan menjadi bukti kemenangan mereka.
Pengetua sekolah itu kemudiannya menyerahkan trofi itu kepada Anwar sebelum trofi tersebut dijulang tinggi. Sekali lagi dewan itu meriah dengan bunyi lensa kamera serta sorakan dan tepukan.
"Tahniah. Tak sia-sia cikgu tengok streaming kamu dulu. Nanti cikgu nak autograf tau." Ucap pengetua itu perlahan. Buntang mata Anwar mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut pengetua sekolahnya.
"Cikgu peminat Arawn ke?" Tanya Anwar yang tergelak kecil. Pengetua sekolahnya itu hanya ketawa sambil meletakkan jari telunjuknya pada bibir.
Anwar hanya mengangguk. Melayankan saja permintaan pengetua sekolahnya yang tidak disangka-sangka merupakan peminatnya juga.
Anwar memandang pada rakan-rakan yang lain. Yang penuh dengan senyuman lebar menjunjung piala emas pertama milik mereka. Rakan-rakan yang mempertahankan dirinya sewaktu dia dihimpit dan ditekan kontroversi. Macam-macam perkara telah mereka lalui. Dan harini, manisnya persahabatan mereka akhirnya terasa.
Dia memandang para penonton yang bertepuk tangan mengucapkan tahniah. Begitu ramai yang masih menyokong dirinya. Setia dengannya walaupun setelah badai fitnah melanda.
"Anwar! Tahniah!"
Suara yang dinantikan akhirnya sayup-sayup kedengaran. Pantas dia mencari suara itu dalam lautan manusia yang ada sehingga matanya terpandang pada tangan halus yang melambai bersama wajah yang bercahaya bangga. Nasuha, gadis yang sentiasa berdiri disampingnya. Terus menyokong malah turut membantunya dalam menelusuri kemelut kehidupan yang berdepan dengan tuntutan undang-undang.
Tanpa Nasuha, mungkin dia tidak akan berada di atas pentas itu. Mungkin dia akan tenggelam bersama perasaan bersalah dengan apa yang terjadi. Mungkin dia akan terus ragu dengan diri sendiri. Nasuhalah sumber kekuatannya. Melihat gadis itu tersenyum bangga, menaikkan lagi semangatnya. Anwar mengangkat ibu jarinya lalu dihalakan ke arah Nasuha. Tanda dia telah berjaya. Berjaya membanggakan semua.
"Terima kasih. Terima kasih semua." Ucap Anwar tunduk menghargai semua yang telah menyokong dirinya.
***
-TAMAT-
YOU ARE READING
ARAWN | ANTARA DUA REALITI
Teen FictionMenjadi popular didalam sosial media merupakan impian setiap streamer. Anwar, seorang pelajar berusia 16 tahun dengan mudahnya melonjak naik bersama persona virtual yang dicipta semenjak dia berusia 13 tahun. Menggunakan nama samaran sebagai Arawn...