"Aku minta maaf."
Garis bibir yang tersenyum kelat itu dipandang Nasuha yang tergamam sendiri.
"Anwar." Panggil Nasuha, namun tidak berjawab, malah lelaki itu mula berpaling pergi.
"Anwar, nanti!" Tangan kanan Nasuha dihulur mahu menarik Anwar dari menjauh.
Namun satu cahaya putih menyala terang. Nasuha terjaga bersama air mata yang mengalir. Habis membasahi pipinya.
Cahaya lampu pendaflour di siling ditatap kosong. Jemari halus itu cuba menyeka air mata yang seperti tak mahu berhenti mengalir. Namun rasa sakit ngilu membuatkan pergerakan gadis itu terhenti.
Sedarlah dia ada jarum bersama tiub jernih melekap pada belakang tangannya.
"Aku kat mana ni?" Gumam Nasuha sendiri. Matanya memerhatikan sekeliling.
"Suhaaaaaaa!" Nyaring Aqilah menjerit dari luar pintu. Terus dia berlari masuk mendapatkan rakannya yang masih terpinga-pinga sendiri. Tangan Nasuha terus digenggam erat. Tubuh gadis itu sedikit tersentak, sakit tangannya digenggam kuat.
"Ah, sorry-sorry." Pantas dia melepaskan genggaman.
"Haaa, kau sedar pun akhirnya!" Terpancar sinar kelegaan serta kegembiraan pada wajahnya.
Nasuha terus cuba untuk bangun, namun rasa sakit mencucuk seluruh badan. Aqilah pantas membantu gadis itu untuk duduk.
"Kenapa aku boleh ada dekat sini?"
"Kau tak ingat?"
Nasuha terdiam lama. Kepalanya berdenyut sakit.
"Kau jatuh tangga. Dengan Anwar."
Limpahan memori mula kembali dalam kepalanya. Wajah Anwar tersenyum kelat muncul di minda.
Satu persatu cebisan-cebisan gambar dalam ingatannya mula bercantum. Dia yang cuba mengelak dari Anwar namun kemudian tersilap langkah ketika menuruni tangga.
Suara Anwar kedengaran cemas, serta cecair merah yang mengalir sebelum semuanya bertukar gelap.
Buntang mata Nasuha memandang Aqilah. Teringat akan luka pada Anwar.
"Anwar! Dia cedera! Dia dekat mana?" Lengan Aqilah digenggam erat. Tubuh gadis itu digoncang berkali-kali.
"Dia okay! Dia okay!"
Goncangan itu berhenti. Aqilah mengeluh perlahan. Terasa bergegar otaknya apabila digoncang begitu.
"Tapi aku tak rasa dia dah sedar." Perlahan gadis itu menyambung. Matanya meredup sayu.
Nasuha kembali memandang. Mengharapkan penjelasan lanjut dari Aqilah.
"Doktor cakap kepala dia terhentak kuat. Mungkin ada concussion." Wajah gadis itu bertukar muram seperti awan mendung datang menutup segala sinar yang ada.
Nasuha menutup mulut. Mutiara jernih bertakung semula.
"Aku tak tahu, Suha. Aku cuma harap dia sedar je sekarang."
"Dia dekat mana? Siapa ada dengan dia?"
"Dia dekat tingkat bawah dengan Amsyar. Ayah kau bawa dia sekali ke sini."
Nasuha yang tadinya duduk tegak perlahan bersandar semula.
"Ah, aku panggil ayah kau kejap. Tadi dia ada dekat kaunter. Kejap ya."
Gadis itu mengangguk perlahan. Membiarkan Aqilah pergi meninggalkan dirinya sendiri. Dalam masa yang sama memberi ruang untuk dia menghadamkan segala yang telah berlaku.
YOU ARE READING
ARAWN | ANTARA DUA REALITI
Teen FictionMenjadi popular didalam sosial media merupakan impian setiap streamer. Anwar, seorang pelajar berusia 16 tahun dengan mudahnya melonjak naik bersama persona virtual yang dicipta semenjak dia berusia 13 tahun. Menggunakan nama samaran sebagai Arawn...