Kerusi kosong Anwar dikerling. Sesekali Amsyar mengeluh kecil. Berita tentang Anwar digantung sekolah selama dua minggu, telah tersebar luas. Walhal perkara itu baru saja berlaku 2 hari lepas.
Isnin yang lalu Anwar tidak menghadirkan diri ke sekolah. Rancangan untuk mereka ke agensi juga tidak diteruskan kerana rakannya itu langsung tidak dapat dihubungi.
Keesokkan harinya, Amsyar ternampak kelibat ibubapa Anwar yang hadir ke sekolah. Rupanya mereka dimaklumkan bahawa sekolah terpaksa membuat keputusan untuk menggantung Anwar buat sementara waktu sehingga keadaan kembali reda. Amsyar yang berang dengan berita itu tanpa berfikir panjang terus ke pejabat pengetua. Berkali-kali juga Amsyar membentak bahawa itu bukan salah Anwar, namun pengetua itu terpaksa mengikuti kehendak para ibubapa lain yang tidak mahu anak mereka terpalit dengan aktiviti yang dilakukan oleh Anwar.
"Bagi kamu, dia mungkin tak bersalah, Amsyar. Bagi orang lain, pendedahan begini bahaya. Anak-anak mereka mungkin akan fikir apa yang Anwar buat itu betul dan cuba untuk tiru."
Tercengang Amsyar. Jatuh rahangnya mendengarkan alasan merepek tidak masuk akal yang datang dari pengetuanya sendiri. Tidak adil sungguh hukuman manusia. Waktu Arawn gemilang, dia disanjung tinggi melangit. Dipuji-puji berbunga wangi. Kini, hanya kerana identitinya terbongkar, terus dia disanggah tanpa usul periksa. Dihina dan dibuang begitu saja. Amsyar bengang. Hatinya sakit apabila mengenangkan bahawa rakannya yang tidak bersalah menerima hukuman sekejam itu.
Hari ini, kerusi disebelahnya masih kosong. Rakan-rakan sekelasnya yang lain juga tidak lagi menegur Amsyar seperti biasa. Rata-rata hanya memberikan pandangan sinis serta bisik-bisik hina seperti langau yang hanya memburukkan lagi keadaan.
Loceng sekolah berbunyi nyaring tanda berakhirnya waktu persekolahan. Amsyar yang sibuk mengemas, tidak perasan akan kehadiran Nasuha yang datang mendekat.
"Kau pergi rumah Anwar?"
Amsyar mengangkat muka. Kemudian menggeleng perlahan.
"Aku dah pergi dari hari Ahad dengan Isnin haritu. Tapi dia tak nak jumpa sesiapa. Jadi harini aku tak pergi kot."
"Aku nak pergi. Nak bagi dia nota ni. Tak nak dia tertinggal." Omel Nasuha perlahan. Buku kota yang dipegang erat tadi dibawa ke dada.
"Okay, nak aku teman?"
Nasuha mengangguk sambil mengoyak senyuman.
***
Mereka berdua melangkah masuk ke dalam rumah setelah di jemput oleh ibu Anwar. Amsyar tanpa segan silu terus melabuhkan punggungnya di sofa. Membiarkan Nasuha dan ibu Anwar berbual berdua.
"Amsyar dah cuba banyak kali, tapi dia masih berkurung. Makan pun jarang. Keluar bilik untuk mandi saja." Ucap ibu Anwar. Ada riak kesal pada wajah tua itu. Nasuha hanya diam mengangguk.
"Saya nak hantar nota ni. Tak nak Anwar tertinggal pelajaran dia." Buku nota kulit keras berwarna ungu itu dikeluarkan.
"Pergilah. Naik tangga tu, bilik dia yang kanan. Kalau dia keluar, panggil dia untuk makan sekali, ya? Amsyar dan Suha pun, nanti makan dulu sebelum balik."
Nasuha memandang Amsyar yang hanya tersengih. Lalu dia bangun menyusun langkah ke arah bilik Anwar. Pintu kayu coklat itu ditenung lama sebelum tangan kanannya mengetuk.
YOU ARE READING
ARAWN | ANTARA DUA REALITI
Teen FictionMenjadi popular didalam sosial media merupakan impian setiap streamer. Anwar, seorang pelajar berusia 16 tahun dengan mudahnya melonjak naik bersama persona virtual yang dicipta semenjak dia berusia 13 tahun. Menggunakan nama samaran sebagai Arawn...