Zip begnya ditutup rapat. Mata Anwar kembali memandang luar pintu. Kelihatan ayah Nasuha masih lagi tunduk berkali-kali di hadapan ibu ayah Anwar, memohon maaf bagi pihak anak perempuannya meskipun itu bukan salah Nasuha.
"Tak apa, Halim. Bukan salah sesiapa." Bahu Halim dipegang kejap oleh ayah Anwar. Tidak mahu lelaki itu berterusan tertunduk-tunduk.
"Anwar dah siap tu." Lembut ibu Anwar menegur. Meleraikan perbualan antara mereka bertiga.
Anwar hanya menggariskan senyuman. Beg itu disandang pada bahu lalu kakinya menyusun langkah ke arah mereka.
"Tak apa pak cik, saya okay. Tinggal tunggu tangan ni elok je." Di angkat tangan yang masih bersimen putih.
Halim menghela nafas lega. Tangannya menyeluk saku dalam kot kelabu yang dipakai kemas. "Kalau ada apa-apa yang saya boleh bantu, jangan segan-segan hubungi saya ya."
Kad nama bertukar tangan. Ayah Anwar menyambut sambil mengangguk. Matanya melirik pada nama serta jawatan yang tertera. Terangkat sedikit keningnya.
"Terima kasih Encik Halim. Saya pun minta maaf bagi pihak anak saya. Biasalah budak-budak. Nanti eloklah tangan dia tu. Sekarang ni kuranglah sikit dia ni main game." Ucap ibu Anwar sambil ketawa kecil. Halim turut sama ketawa.
"Kami balik dulu ya." Pintas ayah Anwar sambil memasukkan kad nama itu ke dalam poket baju. Dua tangan itu berjabat erat.
Halim mengangguk, terus tangannya diangkat melambai pemergian keluarga itu.
***
"Aku tak free hari ni. Ada hal lain. Kau tak ada keyboard spare ke?" Tanya Amsyar dari hujung talian.
Anwar menggeleng seolah-olah Amsyar berada di depannya.
"Pergi esok lah. Aku free esok. Lagipun kita kena pergi agensi juga ni." Balas Amsyar setelah Anwar lama berdiam diri.
"Oh okay. Boleh."
"Apa-apa nanti aku roger kau. Rehat puas-puas. Lepas ni confirm busy."
Panggilan dimatikan. Anwar menghempaskan badan di atas katil. Bosan kerana sudah seminggu dia terkurung dalam biliknya sendiri. Tangan kanan yang masih bersimen diusap perlahan.
Bermain semula wajah Nasuha yang pucat tidak mahu bercakap dengannya sebelum gadis itu jatuh gara-gara tersilap langkah.
"Salah aku ke?" Hati kecilnya bertanya.
Lama juga dia tidak berjumpa dengan Nasuha. Kali terakhir hanya ketika dia sedar dan Nasuha terus berlari keluar memaklumkan doktor dan jururawat tentang dirinya.
Anwar melepaskan keluhan berat. Dia nekad akan menegur Nasuha sebaik sahaja dia kembali ke sekolah. Pintu bilik diketuk, lalu ibu Anwar muncul disebaliknya.
"Mama nak keluar sekejap. Nak ikut atau nak tinggal?"
"Pergi mana?" Anwar bangun menuju ke meja komputer miliknya.
"Hantar barang je."
"Mama hantar abang pergi mall boleh? Bosan pulak."
Ibunya mengherotkan bibir, sedikit berkira-kira.
"Abang nak cari keyboard baru. Kiwi gigit habis wayar ni." Ucap Anwar yang menunjukkan wayar yang telah lunyai dimamah kucing 3 warna yang turut sama mengintai dari celah kaki ibunya. Wajah polos berbulu itu mendongak seperti menidakkan tuduhan Anwar.
Ibu Anwar ketawa kecil sebelum mengangguk.
"Siaplah cepat. Mama tunggu dekat bawah."
***
YOU ARE READING
ARAWN | ANTARA DUA REALITI
Teen FictionMenjadi popular didalam sosial media merupakan impian setiap streamer. Anwar, seorang pelajar berusia 16 tahun dengan mudahnya melonjak naik bersama persona virtual yang dicipta semenjak dia berusia 13 tahun. Menggunakan nama samaran sebagai Arawn...