Langkah Anwar berat menapak masuk ke kelas yang riuh dengan pelbagai cerita yang sedang dicurahkan pada sahabat masing-masing. Kepala yang jatuh memandang lantai kelabu diangkat, mata mereka berdua bertaut. Saat itu juga, api kemarahan yang telah padam, menyala semula. Amsyar yang duduk di kerusi paling hadapan terus mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Memberi makna pada Anwar bahawa marahnya masih bersisa.
Sejak kejadian kelmarin, Amsyar memilih untuk tidak menghiraukan Anwar yang berkali-kali cuba menghubunginya. Sengaja dia biarkan begitu supaya sakit hatinya sampai pada Anwar. Supaya Anwar tahu bahawa dia juga punya perasaan yang perlu dijaga.
Anwar menelan air liur yang terasa pahit. Bahunya kaku, keras saat dia berjalan melepasi Amsyar. Suasana yang hingar tadi bertukar dingin, hening dan berat. Hening pada pendengaran, berat pada pandangan. Walaupun Anwar nekad untuk terus bersemuka dengan rakannya bagi menyelesaikan konflik mereka, niat yang satu itu lantas terkubur saat jelingan tajam dari Amsyar menikam tepat membunuh semangatnya.
Anwar meletakkan beg sandang pada kerusi yang ditarik menjauhi meja. Bibirnya diketap rapat bagi menghalang segala perasaan yang meronta untuk keluar. Dia memilih untuk diam. Tidak mahu mengeruhkan keadaan yang sedia ada. Biarlah Amsyar mengambil masa untuk bertenang. Mungkin nanti atau bila-bila, dia akan mencuba lagi. Atau mungkin biarlah Amsyar yang datang semula padanya seperti biasa. Acap kali Amsyar hanya melupakan sengketa mereka dan berbaik semula.
"Kau! Apahal kau duduk sini pula?" Tegur Hakeem yang baru selesai bertugas sambil menjengilkan matanya.
"Suka hati akulah. Tasya tak datang. Aku duduklah tempat dia." Amsyar menjeling tajam. Tidak suka dengan pertanyaan ketua pengawas itu.
Hakeem sedikit terkesima dengan jawapan yang penuh amarah. Mata yang dijengilkan tadi mula dikecilkan. Anak mata hitamnya bergilir-gilir memandang antara Anwar dan Amsyar. Perlahan senyuman sinis terukir dibibir.
"Hahaha. Gaduh dengan Anwar lah tu." Tangan kanannya terus menongkat meja. Badan Hakeem merapat.
"Aku dah katakan, mamat tu tak boleh dibuat kawan. Kau tak nak dengar. Degil!" Ejekan Hakeem memanaskan lagi hati Amsyar yang menggulirkan mata. Meluap-luap rasa menyampahnya pada usikan Hakeem. Mahu saja dia berbaik terus dengan Anwar pada waktu itu, namun dinding ego lelakinya telah terbina tinggi. Mustahil hancur hanya kerana serangan ribut kecil.
"Diamlah kau!"
Kehadiran guru yang baru tiba, menghentikan usikan kasar Hakeem. Terus lelaki itu tergelak kecil sambil berlalu pergi ke tempat duduknya. Salam hormat diberikan sebelum dahi guru itu berlipat apabila dia melihat Amsyar duduk paling hadapan. Pertama kali dalam sejarah dia mengajar kelas itu.
"Dah kenapa kamu duduk dekat depan ni?" Soalan itu dijawab dengan keluhan berat dari Amsyar manakala Anwar di belakang masih mendiamkan diri. Nasuha hanya memerhatikan mereka berdua. Meneka-neka punca pergaduhan yang sedang berlangsung.
***
"Aku dah siapkan semua. Harap-harap next week berjalan lancar." Ujar Aqilah bersama senyuman manis dan hati yang berbunga.
Nasuha tidak menghiraukan rakannya. Dalam fikiran gadis itu penuh dengan teori tentang perbalahan Anwar dan Amsyar. Entah kenapa, kali ini pergaduhan mereka kelihatan besar. Pasti tentang sesuatu yang serius.
"Suha? Hello?"
Lambaian Aqilah didepan mukanya mematikan lamunan. "Hah, kenapa?"
"Kau fikirkan apa? Dari tadi macam serius je."
Nasuha terdiam seketika. "Anwar, gaduh dengan Amsyar."
"Lah, aku ingat apalah tadi. Kenapa gaduh? Bukan diorang bestie ke?"
YOU ARE READING
ARAWN | ANTARA DUA REALITI
Teen FictionMenjadi popular didalam sosial media merupakan impian setiap streamer. Anwar, seorang pelajar berusia 16 tahun dengan mudahnya melonjak naik bersama persona virtual yang dicipta semenjak dia berusia 13 tahun. Menggunakan nama samaran sebagai Arawn...