Anwar hanya tersenyum kelat pada Amsyar yang terdiam di atas pentas. Dewan itu bingit dengan hiruk pikuk ibubapa yang tetap dengan pendirian masing-masing.
Pengetua sekolah itu terpaksa bangun buat kali kedua. Meminta mereka semua untuk bertenang. Risau dengan celaan yang dilontarkan pada pelajarnya.
Mikrofon yang dipegang oleh Amsyar lantas dirampas Hakeem yang entah bila muncul di sebelahnya. Bibir remaja itu mula merapat pada mikrofon.
"Ehem. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Saya harap para ibubapa semua boleh bawa bertenang." Kata Hakeem bersahaja.
Melihatkan ketua pelajar itu mengambil alih, masing-masing kembali melabuhkan punggung. Menanti pula pembelaan dari Hakeem.
"Saya faham keresahan tuan-tuan dan puan-puan semua." Dia jeda seketika. "Saya juga maklum tentang masa depan pelajar-pelajar lain yang sedang dipertaruhkan di sini." Hakeem mara ke depan. Matanya jatuh pada Anwar yang hanya memandangnya kosong.
"Tetapi selaku orang yang lebih dewasa, yang mampu menilai baik buruk sesuatu keadaan. Yang ada pengalaman lebih luas dalam kehidupan. Yang sentiasa mahukan perkara yang terbaik buat anak-anak masing-masing. Kenapa tak nak bagi peluang untuk cuba dan dengar pengalaman sendiri anak-anak tuan-tuan dan puan-puan?"
Hakeem mengangkat wajahnya.
"Adakah pengalaman mereka berkawan dengan Anwar, ternyata seperti yang tuan-tuan dan puan-puan katakan?"
Dewan itu hening. Soalan Hakeem membuatkan masing-masing mengunci mulut.
"Tujuan perjumpaan hari ini bukan untuk mengecam tindakan Anwar. Cukuplah dia dah kena hentam dekat internet oleh ratusan ribu orang-orang yang langsung tak kenal siapa diri dia yang sebenar. Kita semua berkumpul pada hari ini, hanya kerana nak buktikan yang Anwar bukan seperti yang diceritakan. Dan ini adalah pengalaman dari pelajar-pelajar SMK Sri Citra sendiri."
Pengetua sekolah itu mengangguk setuju. Berkali-kali kedengaran bunyi katup lensa kamera dari Rashid yang semakin panas punggungnya. Ternyata sesi hari itu menjadi semakin menarik.
"Dalam kelas kami, Shah merupakan salah seorang yang lemah bahasa inggeris. Mana Shah?" Tanya Hakeem mencari-cari kelibat Shah dalam dewan itu.
Shah yang terpinga-pinga perlahan berdiri mengangkat tangan. Hakeem terus memberi isyarat pada Aliff yang bersedia dengan mikrofon lain ditangannya.
Saat mikrofon bertukar tangan, Shah bersuara.
"Ya betul. Markah bahasa inggeris saya rendah." Kata Shah yang malu-malu mengakui kelemahan diri.
"Tapi sekarang, Shah merupakan salah seorang pelajar Top 10 bahasa inggeris dalam kelas kami. Macam mana boleh jadi macam tu?" Soal Hakeem lagi.
"Err, setiap petang lepas habis sekolah. Anwar akan tolong ajar saya bahasa inggeris. Anwar dalam kelas bahasa inggeris nombor 1." Jawab Shah memandang wajah-wajah ibu bapa yang menoleh ke arahnya.
"Terima kasih, Shah."
Mikrofon dipulangkan pada Aliff.
"Ya, Anwar tak lokek ilmu. Hasil dia stream menjadi Arawn yang selalu cakap dalam bahasa inggeris. Anwar tolong kawan-kawan yang lain untuk mahir dalam bahasa tu. Shah merupakan contoh yang pertama." Sambung Hakeem lagi sambil matanya mencari kelibat pelajar lain.
"Intan ada?"
"Sini." Intan bersuara. Mikrofon telah digenggam erat. Osman mengangkat ibu jarinya pada Hakeem yang mengangguk.
"Bukan Intan seorang, ramai lagi pelajar perempuan lain yang kata perkara yang sama. Anwar selalu bantu mereka angkat barang dari bilik guru ke kelas."
"Betul. Tak suruh pun, tapi Anwar selalu tolong saya dan kawan-kawan lain." Jawab Intan tenang.
YOU ARE READING
ARAWN | ANTARA DUA REALITI
TienerfictieMenjadi popular didalam sosial media merupakan impian setiap streamer. Anwar, seorang pelajar berusia 16 tahun dengan mudahnya melonjak naik bersama persona virtual yang dicipta semenjak dia berusia 13 tahun. Menggunakan nama samaran sebagai Arawn...