BAB 1

88.4K 2.2K 103
                                    

          Raja Ummar, satu nama yang cukup tersohor dalam dunia seni bina

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Raja Ummar, satu nama yang cukup tersohor dalam dunia seni bina. Sebagai salah seorang pewaris keluarga arkitek ternama Malaysia, dia membawa legasi besar di atas bahunya. Ayahnya, Ar. Raja Ismail, telah lama mencipta nama dalam industri, dan kini anak-anaknya, terutamanya Ummar dan Laila, mengikuti jejak langkah tersebut dengan penuh cemerlang. Kedua-duanya bukan sekadar penerus warisan, tetapi cerminan kehebatan dan kecemerlangan ayah mereka.

Keluarga Raja Ismail bukan sahaja dihormati, malah disegani oleh ramai. Kehebatan mereka tidak terhad kepada dunia seni bina sahaja. Mereka juga mempunyai empayar perniagaan yang luas, dari hartanah, pembinaan, hingga eksploitasi bahan binaan premium. Dalam setiap lapangan, keluarga ini adalah juara yang tidak dapat dipertikaikan.

Namun, di sebalik nama besar keluarga ini, wujud satu lagi identiti yang lebih gelap dan penuh misteri — Black Angel. Di bawah pimpinan anak tengah keluarga tersebut, yang digelar The Scorpion, organisasi ini bergerak di bawah radar, menjalankan urusan yang hanya difahami oleh segelintir orang dalam. Tidak ramai yang tahu tentang kewujudan Black Angel, tetapi mereka yang tahu, faham bahawa Scorpion bukanlah seseorang yang wajar dipandang remeh.

Di mata umum, Raja Ummar kekal sebagai pewaris keluarga terhormat. Namun, di sebalik segala kejayaan itu, rahsia yang tersembunyi jauh lebih gelap daripada yang disangka.

Ummar hempas kertas kerja ke atas meja. Merenung lama ke arah dinding kaca yang memaparkan pemandangan Kuala Lumpur yang terbentang luas. Bangunan yang separa siap itu sudah mencanak tinggi. Tak berbaloi sebenarnya untuk dia bersusah payah mempertahankan projek yang melibatkan duit jutaan ringgit.

Untuk siapkan bangunan yang terbengkalai hampir setahun lamanya itu bukan senang. Ianya tak mudah. Banyak pihak yang tak sepatutnya terlibat, tetapi terlibat secara tidak khusus. Lebih-lebih lagi, projek ini melibatkan Tengku Haz Hudson.

"Tengok dulu, Ummar. Aku tahu kau boleh buat," pujuk Dani Imran. Kertas kerja yang dihempas tadi Dani ambil dari atas meja. Bukan ada kertas kerja sahaja, tetapi ada beberapa resume pelajar internship di Black Angels studio.

"Aku tak nak. Lagipun Haz terlibat. You know, bribes everywhere." Ummar berdalih. Dani yang mula membelek resume itu tersenyum sinis. Pemohon semuanya pelajar sarjana muda dan melepasi syarat minimum. Dia letak kembali segala fail tadi ke tepi.

"Kau bukan tak kenal aku. Aku bukan baik sangat tapi aku paling tak suka rasuah," sambung Ummar. Dia pejam mata. Dapat lelapkan mata sekejap pun jadilah.

"Pembetulan. Kau tak suka keluarga Tengku Haz," selar Dani. Pejaman mata yang erat tadi mula terbuka perlahan-lahan. Ummar menjeling tajam. Dah tahu, ditanya lagi! Fail di atas mejanya itu Ummar campak ke arah Dani.

"Kau call dia orang. Beritahu tarikh interview minggu depan. Kau pilihlah tarikh yang sesuai." Arahan itu ringkas dan padat. Tanpa menunggu respons daripada Dani, Ummar bangun dari kerusinya lalu dia berjalan keluar dari ruang pejabatnya.

"Minggu depan? Habis, siapa interview depa?" Lelaki berkulit sawo matang itu sudah mula panik. Setahunya, Ummar tiada di pejabat seminggu lamanya. Urusan keluarga katanya.

"Aku tak ada. Kau dengan Nana la." Terkedu kata. Dani sudah melongo melihat Ummar yang sempat menyelit kaca mata hitamnya dan mula hilang di sebalik pintu pejabat.

"Harey sungguh anak Mail ni. Aku pula yang kena interview budak-budak ni." Dibelek satu per satu helaian kertas itu. Kebanyakannya ialah lelaki. Cuma dua orang sahaja perempuan yang memohon internship disini. Menyebabkan Dani tertarik dengan mereka berdua.

"Qistina Safni, Eshal Alaya..."





Langit cerah. Mentari tidak terik. Tetapi cahayanya cukup menyilaukan mata. Ummar yang bersandar santai di badan keretanya, segak berkaca mata hitam itu masih menunggu. Terkadang, jam di pergelangan tangan kirinya dipandang.

"Bagus, kena sidai lagi," keluhnya dengan nada kesal.

Hampir berputus asa menunggu di kawasan drop-off lapangan terbang, dia berura-ura mahu masuk dahulu ke dalam keretanya. Dia sudah kepanasan! Berpeluh! Pantang sungguh dengan orang yang tak menepati masa. Buka sahaja pintu kereta, dia menangkap satu suara nyaring yang memanggilnya.

"Abang Ummar!" Senyum senget muncul di wajah Ummar. Tak jadi masuk ke dalam kereta, Ummar mula berpaling ke arah sumber suara, mencari susuk adik perempuannya yang sudah lama dia rindu. Gadis itu sedang menolak troli yang dipenuhi bagasi-bagasi besar bersama senyuman manisnya.

Saat gadis itu menghampirinya, beg sandang yang ada dibahu jatuh tak disambut. Adiknya melompat masuk ke dalam pelukannya terlebih dahulu.

"Gosh, I miss you so much," luah Laila. Mana tidaknya? Enam tahun dia menghabiskan masa menimba ilmu di perkotaan ketiga terbesar di Britania Raya, sekalipun dia dan Ummar tak bersua muka secara langsung. Habis usaha pun, mereka akan melakukan video call ataupun menghantar mesej di WhatsApps untuk bertanya khabar.

"Jangan nak guna kuasa rindu kau tu. Sejam lebih abang tunggu kau dekat sini." Dengan wajah yang tiada riak, Ummar menolak dahi Laila menggunakan jari. Dia segera mengangkat barangan adiknya untuk dimasukkan ke dalam boot kereta, mahu pulang dengan segera.

"Ala, tadi Lila borak dengan kawan-kawan sebelum balik. Masing-masing dah nak balik kampung sendiri. Lepas ni, susah dah nak jumpa." Mendengar celoteh adiknya itu, Ummar cuma menjuih bibir. Apa-apa pun alasannya, dia tidak kisah. Asalkan adiknya sudah selamat sampai, itu sudah mencukupi buatnya.

"Enam tahun kau dengan dia orang. Tak puas-puas lagi jumpa?" Boot kereta ditutup setelah segala beg dan barang sudah disumbat masuk. Kedua-duanya masuk ke dalam perut kereta serentak.

"Bagi seratus tahun pun, kalau dia orang kawan yang ikhlas, masa tu tak pernah cukup." Kata-kata Laila meninggalkan kesan hening. Mereka kunci mulut bagaikan sedang memikirkan sesuatu. Otak mereka pastinya berkongsi imbasan silam yang sama. Di mana kisah malam hitam yang menimpa Laila. Ianya berkaitan dengan pengkhianatan seorang sahabat. Sahabat Laila sendiri.

"Hani ada tanya..."

"Lila tak nak dengar nama dia, abang." Tak jadi mahu menghabiskan kata-kata, Ummar membungkam saat wajah manis adiknya mula berubah riak. Dia mengerti. Laila dah tak sudi mahu mendengar nama bekas sahabatnya itu. Khianat yang dicipta oleh Hani tanpa sengaja telah mewujudkan retak dalam persahabatan mereka. Tajamnya pisau yang Hani genggam, sampai sekarang parut Laila masih ada berbekas.

"Lagi satu, Lila tak nak balik rumah ayah." Ha, sudah! Jangan kata Laila nak sewa hotel! Budak ini gilanya kadang-kadang melebihi abang-abangnya. Ummar kerut dahi mendengar permintaan Laila.

"Habis tu, kau nak balik mana, Lila? Nak aku hantar kau pergi zoo negara?" Laila berdecit kuat. Suka betul menyakat abang dia yang seorang ni! Tanpa sebarang amaran, iPhone milik Ummar yang berada di atas riba itu dirampas.

"Kau nak apa?! Handphone aku..."

"Password. Nak call kak Mar," pinta Laila. Jari-jemarinya sudah bersedia mahu menaip kata kunci. Kini, fahamlah Ummar bahawa adiknya mahu berkampung di rumah sepupunya, Raja Maraya!

"Kau tak boleh pergi rumah Mar sekarang. Dia dekat Thailand sekarang ni," dalihnya. Ah, bukan Mar kisah pun. Laila sudah biasa lari ke rumahnya ketika Laila bertelingkah dengan salah seorang daripada keluarga mereka. Mar sajalah tempat dia mengadu segala hal.

"Dia pergi buat apa? Lama ke? Dengan siapa? Farel?" Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut adiknya.

"Urusan dengan Tun Akob. Macam biasalah, hal Kelab Muay Thai dia orang tu. Dia pergi tak lama. Nanti dia balik la tu." Sedar ataupun tak, Mereka sudah pun berada di atas lebuh raya, menuju ke rumah ayah. Apa yang Laila boleh kata? Tiada. Terpaksalah dia singgah dahulu ke rumah orang tuanya. Tak apalah. Mungkin, cuma sehari dua.

[BAKAL TERBIT] Raja for AngelWhere stories live. Discover now