BAB 10

27.6K 1.7K 340
                                    

          Hari-hari berlalu begitu pantas, seakan masa hanya sekadar bayang yang melintas tanpa disedari

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.




Hari-hari berlalu begitu pantas, seakan masa hanya sekadar bayang yang melintas tanpa disedari. Eshal tenggelam dalam kesibukan kerja di firma arkitek itu, menjalani tempoh internship yang semakin mencabar. Saban hari, beban tanggungjawab yang dipikulnya bertambah, tetapi bersama dengan itu datang juga kemahiran dan pengetahuan baru. Ummar dan kakitangan lain banyak membimbingnya, memberi peluang untuk Eshal menunjukkan bakat dan kebolehannya.

Namun, yang paling mengusik jiwanya ialah Raja Luqman. Lelaki yang tak disangka-sangka, dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir, telah berjaya menempatkan diri dalam hatinya. Tidak pernah sekali pun Luqman mengabaikan Eshal, malah dia sentiasa ada dengan secawan kopi, senyuman, dan perhatian yang seolah-olah tidak berbelah bagi. Hati Eshal, tanpa disedari, mula terisi dengan bayangan Luqman.

Ketika kopi ais diletakkan di atas mejanya, Eshal terperanjat sedikit tetapi senyum terukir di wajahnya. "Abang Luqman selalu macam ni. Susah-susah je," katanya perlahan, walaupun tangannya sudah mencapai cawan itu. Sebenarnya, dia tidak marah pun, malah hatinya berbunga. Tetapi, jauh di sudut hati, dia tahu. Ini mungkin perasaan yang harus ditepis. Dia tidak boleh terlalu berharap.

Tapi bagaimana? Luqman dengan mudahnya memasuki hidupnya, dan lebih dari itu, hati Eshal. Setiap tingkah Luqman yang lembut, tutur kata yang sopan, serta caranya melayan Eshal membuatkan gadis itu tak mampu untuk tidak jatuh hati.

"Berangan ke?" tegur Luqman dengan senyuman yang menghiasi wajahnya, memerhatikan Eshal yang seakan-akan berada di dunia sendiri. Eshal tersentak, tersipu malu apabila menyedari dirinya asyik mengelamun.

"Eh, tak... Tak ada apa-apa," balas Eshal sambil cepat-cepat menyedut caramel latte yang baru sahaja diterimanya. Namun, saat Luqman berdiri rapat di sebelahnya, mengintai skrin komputernya, degupan jantung Eshal semakin laju. Hatinya berdegup kencang, seolah-olah mahu terhenti apabila wajah Luqman begitu dekat dengannya. Wangian Luqman yang menyegarkan memenuhi ruang udara di sekelilingnya.

Luqman tersenyum lagi, seolah-olah sedar akan reaksi Eshal, tetapi tidak memberi apa-apa komen. Dia hanya bertanya, "Kenapa Eshal yang buat kerja Kak Ja? Mana Kak Ja?"

"Kak Ja cuti minggu ni. Jaga mak dia di hospital, jadi Nana minta Eshal ambil alih kerja dia buat sementara. Lagipun, Nana nak cepat surat ni." Suara Eshal kedengaran lebih tenang kali ini, walaupun di dalam hatinya masih bergelora.

"Baguslah Eshal tolong, tapi jangan terlalu paksa diri," nasihat Luqman sambil menepuk lembut puncak kepala Eshal sebelum berundur sedikit. "Abang nak balik dah. Dah settle meeting dengan Ummar."

Eshal mengerutkan dahi. "Dah nak balik? Habis tu abang naik semula ke sini sebab nak hantar kopi untuk Eshal je ke?" Soalan itu diajukan sambil tersenyum, separuh berharap tekaannya betul.

"Ya. Sebab abang singgah kafe depan office ni. Teringat pula Eshal suka caramel latte kafe tu, jadi abang singgah beli sekejap. Tak jauh pun nak patah balik." Jawapan Luqman terlalu manis untuk ditolak. Hati Eshal bergetar, dan senyuman tak dapat disembunyikan lagi.

"Abang tak boleh teman Eshal makan malam hari ni. Abang nak jumpa orang. Jumpa nanti." Dengan satu lambaian mesra, Luqman berjalan meninggalkan Eshal yang masih terdiam, terpaku di tempat duduknya.

Setelah Luqman pergi, Eshal menghela nafas panjang. Jika beginilah layanan Luqman hari-hari, salahkah jika aku terjatuh hati? fikirnya dalam diam. Wajahnya merah, hatinya kian keliru antara realiti dan angan-angan.

Tetapi, walau apapun yang dirasakannya, Eshal tahu satu perkara. Raja Luqman telah berhasil mengisi ruang yang selama ini kosong di hatinya.

Dalam hati yang sedang berombak, suara garau milik Ummar terdengar di muka pintu bilik lelaki itu. Wajah yang beku dan sering menjadi tatapan Eshal. Dia memberi signal kepala, menyuruh Eshal masuk ke dalam biliknya. "Print surat yang aku suruh siapkan tadi. Sekarang," arah Ummar dengan tegas.

"Ha? Ta... tapi... saya belum siap..."

"Kenapa belum siap?" potong Ummar dengan suara yang garang. Eshal yang terkedu itu dia pandang dengan tajam. Sejak dari tadi dia memerhati dari dalam bilik, Eshal dan Luqman yang kelihatan akrab dari hari ke hari itu menyakitkan hatinya. Mendengar kerja Eshal yang belum siap itu semakin menaikkan darahnya.

"Bagi... bagi saya lima minit. Saya akan siapkan segera." Eshal menelan liurnya lalu kerusinya ditarik merapat ke meja. Lincah tangannya menaip. Hatinya sudah mahu pecah. Janganlah Ummar marah dia teruk-teruk.

"One minute. Aku nak semuanya ada atas meja aku atau aku akan potong elaun kau bulan ni." Pintu dihempas kuat sebaik sahaja Ummar menghabiskan kata-katanya itu, meninggalkan Eshal yang sudah menahan rasa.





Tak lama mengambil masa untuk siapkan, Eshal kini sudah menyerahkan salinan surat rasmi yang dia kerjakan tadi. Dia berdiri di hadapan meja Ummar, masih menelitinya dalam hening. Jelas wajahnya tiada mood untuk hari itu. Dalam hati Eshal sudah berdoa, tolonglah segala urusannya dipermudahkan.

            "Kenapa format dia tak sama dengan surat-surat rasmi sebelum ni? Kau ubah?" soal Ummar garang. Ah, sudah! Ada format tersendiri ke untuk surat-menyurat ni? Eshal tak tahu sedangkan dia tidak pernah mengerjakan bahagian menulis surat sebelum ini. Sekilas Ummar melirik ke arah Eshal yang kaku. Eshal menggeleng laju.

            "Mana suara kau? Bisu ke?" Eshal lantai dek rasa takutnya menerjah. Dia cuba atur nafas dengan baik sebelum menjawab soalan Ummar,

            "Saya cuma diberitahu untuk buat surat rasmi yang akan dihantar kepada pihak universiti untuk program workshop bersama pelajar. Dan saya cuma ikut format surat rasmi yang ada di internet, tuan." Eshal jujur. Memang itulah yang dia lakukan. Tak akan dia nak cakap dia taip pakai AI pula?

            "Tak ada orang bagi tahu kau yang kita ada templat khas untuk surat rasmi? Dalam templat tu ada cukup lengkap dengan logo syarikat, ayat yang lebih proper dan tandatangan digital aku. Yang kau bagi pada aku ni apa? Sampah?"

            Suasana diam buat beberapa saat sebelum Ummar menghempas kertas itu di atas meja. Jarinya mengetuk permukaan kertas, tepat di atas namanya.

            "Eja nama aku salah, kau macam baru masuk semalam kan?" tambah Ummar lagi. Eshal terkebil-kebil memandang kertas itu. Salah? Seingatnya, dia sudah menghafal nama panjang majikannya itu.

            "Nama siapa kau letak ni?" sekali lagi suasana menjadi hening dengan soalan Ummar tadi. Eshal ambil kertas daripada tangan Ummar.

            Ar. IDr. Raja Umar Bin Raja Ismail.

            "Betullah ni nama tuan kan? Raja Umar..." Eshal soal dengan penuh berhati-hati. Sering dia dengar Mar dan Luqman memanggil majikannya dengan nama itu. Tetapi, mata Eshal membulat ketika matanya melihat ke arah name plate berwarna hitam dan emas yang terletak betul-betul di hadapannya sekarang ini.

            Ar. IDr. Raja Ummar Bin Raja Ismail.

            Terasa masa seakan terhenti. Kebas wajah Eshal terasa tatkala darah menyerbu. Ditambah pula dengan wajah bekeng milik Ummar yang menatapnya tak mahu lepas. Macam mana dia boleh tertinggal satu lagi 'M'? Nafas yang tersekat di kerongkong dia cuba hela perlahan-lahan. Tenang, Eshal!

            "Saya minta maaf, tuan. Saya akan buat balik..."

            "Tak payah. Buang masa aku. Kalau nama aku pun kau salah eja, kau tak patut handle bahagian surat-menyurat ni. Dah, kau boleh balik sekarang." Tanpa memandang ke arah Eshal lagi, Ummar meneruskan kerjanya.

            Kaku Eshal di situ, air matanya yang cuba ditahan itu mula menitik laju. Cepat-cepat dia seka sebelum Ummar melihatnya. Sebelum melangkah keluar, dia sempat memohon maaf sekali lagi walaupun tiada respons daripada majikannya itu.

            Di titik itu, Eshal mempersoalkan keupayaannya. Apa yang dia punya untuk membuktikan kepada semua orang bahawa dia mampu? Satu kesalahan pada hari ini cukup mengganggunya yang masih berbaki dua bulan di sini.

[BAKAL TERBIT] Raja for AngelWhere stories live. Discover now