Bab 1 -Amat

593 15 0
                                    

Bukit Besi, 1960.

Di pinggir sebuah kebun rambutan yang keluasannya kira-kira dua ekar itu, kelihatan seorang budak lelaki yanf berumur lingkungan sepuluh tahun sedang asyik melibas semak samun di hadapannya dengan menggunakan sebilah parang. Parang itu pula diikat dengan dua biji batu sebesar penumbuk. Sesekali budak lelaki itu berhenti seketika daripada melakukan pekerjaannya, mengambil sedikit nafas sebelum menyambung kembali melibas semak samun di sana sini.

Seorang lelaki tua umurnya lingkungan enam puluhan yang sedang memasukkan buah rambutan di dalam bakul buah tersenyum melihat budak lelaki yang sedang asyik membersihkan semak samun itu. Matanya kemudian menyedari sesuatu, iaitu terdapatnya dua biji batu yang diikat pada pangkal parang yang dikatakan tadi. Lelaki tua itu berkerut.

Sebaik sahaja budak lelaki itu berhenti melibas dengan nafas yang termengah-mengah, segera lelaki tua itu menegur.

"Amat..!"

Budak lelaki itu segera berpaling.

"Ya, Pak Awang?"

"Itu apahalnya pula kau ikat batu kat parang tu? Kau nak baling sama ular ke apa Amat?" tanya lelaki tua, atau Pak Awang tersebut.

"Eh, bukan Pak Awang! Ini Amat nak bagi parang ni jadi berat sikit Pak Awang!" jawab Amat sambil mengangkat parangnya.

"Kau mau kasi parang itu berat? Orang nak parang jadi ringan supaya senang buat kerja kau nak kasi berat pula? Kenapa?"

"Amat nak latih tangan Amat. Supaya jadi lagi kuat lagi!" kata Amat sambil menepuk-nepuk lengannya.

Tergamam Pak Awang sebaik sahaja mendengar kata-kata Amat tersebut. Namun seketika kemudian, dia tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Terlupa pula memang itulah perangai Amat. Dia memang obses untuk menjadi kuat.

Tidak pasti pengaruh ingin mejadi kuat itu datangnya dari siapa. Nak dikatakan datang dari bapanya tidak mungkin. Pak Awang sangat mengenali bapa Amat. Bapa Amat, Isnin bin Tahir adalah seorang yang sangat lemah lembut dan terpelajar. Dia juga adalah seorang guru Matematik yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Besi yang terletaknya di dalam kampung ini. Tidak mungkin Amat ingin menjadi kuat hasil daripada pengaruh bapanya sebagai seorang guru. Kalau bapanya seorang askar, mungkin. Tapi guru? Kedengarannya seperti tiada kaitan.

Maka Pak Awang meneka, mungkin Amat obses menjadi kuat disebabkan oleh pengaruh daripada filem pendekar.

Timbul pula rasa simpati Pak Awang kepada Amat selepas itu. Ini kerana di kampung ini, tiada sebarang gelanggang silat dibuka. Tiada guru silat yang berminat untuk mengajarkan silat kepada anak-anak kampung di sini. Kalaulah ada gelanggang silat, sudah tentu ini akan membuka peluang kepada Amat untuk meneruskan minatnya dengan lebih mendalam. Dengan kata lain, ketiadaan gelanggang yang mengajarkan silat di kampung ini akan membuatkan minat Amat akan mati dan terhenti dengan sendirinya suatu hari nanti.

Kira-kira satu jam kemudian, selesailah kerja Amat membersihkan semak samun di kebun rambutan Pak Awang itu. Dua biji batu yang digantung di pangkal parang tadi dicabut dan dicampaknya sekuat hati oleh Amat ke tengah-tengah kebun. Dan parang itu diberikan kembali kepada Pak Awang. Setelah digantung parang tersebut di dinding pondok kebun, Pak Awang segera menyeluk sakunya dan memberikan wang kertas not dua ringgit kepada Amat.

"Terima kasih Pak Awang!" ucap Amat dengan senyuman yang melebar. Dalam kepalanya Amat sudahpun merancang untuk menyimpannya ke dalam tabung, mengumpul wang bagi membeli sebuah basikal.

Pak Awang tersenyum melihat Amat.

"Amat...kau nak belajar silat tak?" tanya Pak Awang tak semena-mena.

AMATWhere stories live. Discover now