Bab 9 -Kemunculan Lelaki Misteri

130 4 0
                                    

Pak Meon adalah seorang pemburu yang handal. Dia lebih mengenali kawasan hutan berbanding rumahnya sendiri. Sebut sahaja apa, harimau, gajah, ular sawa kesemuanya pernah dihadapi oleh Pak Meon. Dia tidak pernah berasa takut kepada satu apa pun.

Namun pada hari ini untuk sekalian kalinya Pak Meon berasa takut kepada sesuatu.

Ketika berburu ayam hutan tadi, Pak Meon terlihat suatu susuk manusia lelaki berambut panjang hingga ke bahu dan berbadan sasa sedang bertapa di atas batu berhampiran dengan air terjun di dalam hutan. Pada pengamatan Pak Meon, lelaki tersebut umurnya masih muda mungkin dalam lingkungan tiga puluhan.

Tanpa mempedulikan hasratnya untuk berburu, Pak Meon terus memerhatikan lelaki itu dari jauh kerana ingin mengetahui apa yang ingin lelaki itu lakukan. Jelas di mata Pak Meon terhadap asap nipis kehitaman keluar dari badan lelaki sasa yang sedang bertapa itu. Pak Meon semakin tertarik, siapa lelaki itu sebenarnya? Kenapa badan dia berasap?

Ketika sedang asyik memerhati, tanpa disangka lelaki tersebut berpaling melihat tepat ke arah Pak Meon dengan laju sekali. Lelaki badan sasa bermata kemerahan itu menjerit dengan kuat sekali sehingga berterbangan burung-burung di sekitar kawasan hutan tersebut.

Dengan kaki yang berketar-ketar, Pak Meon melarikan diri. Gerak hatinya sebagai seorang pemburu memberitahunya sesuatu.

Dia akan menjadi buruan selepas ini!

Dengan menggunakan segala pengalaman dan ilmu hutan yang ada, Pak Meon berjaya juga keluar daripada kawasan hutan. Setelah mendapatkan basikalnya, Pak Meon cepat-cepat mengayuh pulang ke kampung supaya dia dapat bebas dari perasaan ketakutan ini.

Namun sebaik sahaja Pak Meon menjejakkan kakinya ke kampungnya, perasaan takut itu masih tidak hilang. Dia masih terasa yang dirinya akan menjadi buruan selepas ini. Peluh sejuk masih mengalir deras di kepalanya.

"Woi, Meon! Kosong je tangan kamu? Tak ada bawak balik apa-apa ke dari hutan tu?" seorang penduduk kampung yang memakai kain pelikat menegur Pak Meon dengan nada mengusik. Pak Meon berpaling ke arah penduduk kampung tersebut tanpa sebarang senyuman di wajahnya.

Penduduk kampung berkain pelikat itu ketawa.

"Kamu dah kenapa ni Meon? Baru terserempak dengan hantu dalam hutan? Ke ada rimau? Hahahaha!" Penduduk kampung berkain pelikat itu ketawa dengan kuat sekali.

Tawaannya tiba-tiba terhenti, selepas dia melihat kemunculan seorang lelaki asing yang sedang berjalan dengan menyinga sekali di hujung jalan.

"Eh, siapa pulak tu? Tidak pernah aku lihat pun di kampung ini?" Penduduk kampung berkain pelikat itu menggaru kepalanya.

Dengan bulu yang meremang, Pak Meon berpaling ke belakang dengan perlahan untuk melihat orang yang diperkatakan oleh penduduk kampung berkain pelikat itu.

Sebaik sahaja melihat, kakinya tiba-tiba terasa lemah. Dia terus rebah melutut di atas tanah. Pak Meon terasa ketakutan yang teramat sangat.

Ini kerana lelaki tersebut adalah lelaki yang dilihatnya di dalam hutan tadi! Pak Meon yakin lelaki itu sedang mencari dirinya!

"Kamu!!!!" lelaki bermata merah itu menjerit dengan lantang sekali. Penduduk kampung berkain pelikat itu serta-merta pengsan setelah mendengar suara pekikan yang kuat itu. Manakala Pak Meon pula terkencing di seluarnya.

Lelaki bermata merah itu kemudian semakin mendekati dan mendekati...

Keesokan harinya, semenanjung Tanah Melayu digemparkan dengan satu kes pembunuhan di sebuah kampung di pantai timur. Mangsanya mengalami kecederaan yang sangat parah dipercayai telah dipukul oleh seseorang.

Yang menghairankan, kecederaan yang dialami oleh mangsa terlalu dahsyat, seolah dilanggar oleh sesuatu secara berulang-ulang kali. Langsung tidak kelihatan seperti kecederaan akibat dipukul.

Anehnya lagi, tiada sebarang cap jari ditemui pada badan mangsa. Seolahnya mangsa dipukul oleh sesuatu yang bukan manusia..

AMATWhere stories live. Discover now