Bab 2 -Talib

236 9 0
                                    

Dari jauh, Amat sudahpun dapat melihat Talib yang sedang duduk seorang diri di meja warung Haji Hassan. Amat tahu, Talib sedang menunggunya.

Di dalam kampung ini, hanya Amat seorang sahaja yang boleh dikatakan rapat dengan Talib. Walaupun kehadiran Talib di kampung ini masih diterima, pada masa yang sama juga Talib dipandang rendah oleh sebahagian besar orang kampung. Sampai satu tahap, pernah sekali Talib dituduh mencuri dan menjual ayam kampung milik Kak Leha di hujung kampung yang pada akhirnya dibuktikan bahawa terdapat seekor ular sawa besar yang sebenarnya membaham ayam-ayam milik Kak Leha itu. Sampai sekarang Kak Leha tidak pernah meminta maaf kepada Talib.

Sikap Amat yang sering berkawan dengan Talib juga sedikit sebanyak membimbangkan orang kampung. Mereka risau jika Amat terpengaruh dengan sikap pemalas yang ditunjukkan oleh Talib. Pernah juga orang kampung menyuarakan pandangan ini kepada Cikgu Isnin, ayah kepada Amat itu. Namun Cikgu Isnin mengambil langkah memerhatikan dahulu dan memantau dari jauh. Dia risau jika dia menghalang Amat daripada berkawan dengan Talib nanti akan mengakibatkan kesan buruk kepada Talib pula, memandangkan Talib adalah yatim piatu yang tidak punyai sesiapa. Sekurang-kurang dengan adanya Amat, Talib mempunyai seseorang untuk berkawan dan bercakap.

Walaupun langkah yang diambil oleh Cikgu Isnin itu tidak dipersetujui oleh orang kampung, pada akhirnya mereka membiarkan sahaja. Maka berkawanlah Amat dengan Talib tanpa dihalang oleh orang kampung.

"Lama tunggu abang Talib?" Amat menegur Talib sebaik sahaja datang menghampiri Talib.

"Lama tak lama jugaklah Amat.." kata Talib sambil membuang rokok daun di mulutnya. Talib sebenarnya selalu menghisap rokok. Tapi di hadapan Amat dia akan serta merta membuang rokok tersebut. Dia tidak akan sesekali hisap rokok di hadapan Amat. Sikap ini jugalah antara faktor yang membuatkan Cikgu Isnin mempercayai Talib untuk terus berkawan dengan anaknya.

Talib kemudiannya memesan minuman oren untuk Amat. Haji Hassan segera ke dapur untuk menyiapkan air oren untuk Amat. Air oren tersebut bukanlah air jus yang diperbuat daripada buah limau. Sebaliknya hanyalah air berperisa oren daripada botol kaca yang dituangkan ke dalam gelas berisi ais.

Mail Botak yang sejak dari tadi bermain dam haji dengan kawannya di meja yang bertentangan mencuri pandang kepada Talib yang memesan minuman oren tersebut.

Entah kepada pada ketika itu Mail Botak terdetik hati untuk mengganggu Talib. Mungkin kerana mood dia tak bagus, selepas kalah bermain dam haji berturut-turut dengan kawannya itu. Sebaik sahaja Haji Hassan memasuki dapur untuk menyiapkan air oren untuk Amat, Mail Botak terus menyindir Talib.

"Woi, Talib! Kau ada duit ke nak bayar orang lain punya air tu?" kata Mail Botak sambil menunjukkan lagaknya. Kawannya yang sedang menyusun buah dam di atas papan terus ketawa berkekeh-kekeh.

Talib hanya mendiamkan diri tidak membalas sindiran Mail Botak. Dia sudahpun biasa menghadapi situasi seperti ini dengan orang-orang kampung yang lain. Namun dia lebih gemar mengambil langkah tidak mempedulikan sindiran mereka.

Tapi tidak bagi Amat. Inilah kali pertama dia melihat kawannya diperlakukan macam tu. Menyedari Amat sedang panas hati, serta merta Talib menendang sedikit kaki Amat di bawah meja, memintanya supaya bersabar sahaja.

Melihat Talib seperti tidak menghirau ejekan yang dibuatnya, Mail Botak terus berkata lagi.

"Bukan apa Talib. Kau tu tak ada kerja. Duit kau makin hari makin kurang. Pakai duit kau tu untuk diri kau sajalah. Janganlah berlagak banyak duit pulak mau belanja orang lain hahaha!" Mail Botak ketawa sambil menghentak-hentak meja. Kawannya di hadapan ketawa berkekeh-kekeh.

Namun Talib masih lagi mendiam dan tersenyum sahaja.

Melihat Talib tidak membalas sindiran Mail Botak, serta merta Amat terus bangun dari kerusinya. Talib terkejut, serta-merta dia menyuruh Amat duduk.

AMATWhere stories live. Discover now