Bab 13 -Kemunculan Lelaki Misteri (5)

106 4 0
                                    

Orang kampung hanya mampu melihat sahaja Guru Mahmud dibelasah, ditumbuk dan ditendang oleh lelaki misteri berbadan sasa itu. Mereka sama sekali tidak mampu berbuat apa-apa. Seolahnya kaki, tangan dan mulut mereka sudah terkunci. Sebahagian daripada mereka juga hanya mampu mengalirkan air mata sahaja kerana terlampau sebak.

Tidak perlu menjadi ahli silat pun sudah tahu. Setiap pukulan yang dibuat oleh lelaki misteri berbadan sasa kepada Guru Mahmud itu bukanlah pukulan yang dibuat dengan sepenuh hati. Pukulan itu hanyalah pukulan main-main sahaja. Namun ia sudah cukup menjadikan Guru Mahmud cedera parah sehingga wajahnya tidak dapat dicam lagi.

Setelah puas menjadikan Guru Mahmud sebagai barang permainan, lelaki misteri berbadan sasa itu mencampak Guru Mahmud ke dalam semak berhampiran umpama membuang satu bungkusan sampah. Lelaki misteri itu kemudiannya duduk di kerusinya tadi dengan riak wajah yang kecewa.

"Itu kau kata pesilat paling handal di kampung ini? Adakah kamu semua main-main sama aku!?" Lelaki misteri itu menengking kepada penduduk kampung sehingga terketar-ketar mereka dibuatnya.

"K-kami tidak menipu tuan. Guru Mahmud adalah guru silat di kampung ini. Dia adalah ahli silat Seni Gayong..." jelas Haji Hassan dalam keadaan jantungnya berdegup kencang.

"Apa? Silat seni gayong? Macam itu kamu kata dia silat seni gayong? Aku rasa kamu semua ini sudah kena main sama keparat tu! Dia bukan ahli silat gayong! Dia bukannya ahli silat mana-mana!" lelaki misteri itu menunjukkan jarinya ke arah Guru Mahmud yang entah apa nasibnya di dalam semak itu.

Haji Hassan tidak menjawab dakwaan lelaki misteri itu.

Ini kerana dakwaan lelaki misteri itu ada benarnya. Berdasarkan dengan apa yang dilihat oleh Haji Hassan tadi, Guru Mahmud langsung tidak menunjukkan gerak geri seorang pesilat yang bergelar guru. Bunga silat dan langkahnya sangat berterabur dan serba tidak kena.

Lelaki misteri itu kemudian dilihat menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Sebenarnya tujuan dirinya ke kampung ini adalah untuk mencari jaguh silat. Pada bulan lepas dia mendapat khabar daripada khadam jinnya bahawa telah terdapat pertarungan silat ghaib di kampung ini. Walaupun pertarungan itu tidak ditamatkan dengan sempurna, pertarungan itu telah mengambil nyawa seorang ahli silat ghaib yang lain.

Sebaik sahaja mendengar khabar berita ini, jiwa pendekar lelaki misteri itu mula membahang. Dia ingin sekali bertarung dengan ahli silat tersebut. Dia ingin melihat siapakah yang paling handal di antara mereka.

Namun melihat kepada keadaan sekarang, lelaki misteri itu membuat kesimpulan bahawa ahli silat tersebut tiada di kampung ini. Besar kemungkinan kampung ini hanyalah menjadi gelanggang pertarungan secara kebetulan sahaja. Ahli silat itu nampaknya bukan orang asal daripada kampung ini.

Selesai berfikir panjang, lelaki misteri berbadan sasa itu kemudiannya bangun dari kerusinya. Dia memandang pada setiap wajah penduduk kampung yang berada di situ.

Lelaki misteri itu ketawa.

"Hahaha! Baik. Aku akan buat satu cabaran. Kalau ada di antara kamu dapat menumbuk wajah aku, akan aku bagi ganjaran yang sangat besar kepadanya. Wang, emas, berlian akan aku bagi kepadanya tanpa banyak bicara! Hahahhaha!" lelaki misteri itu terus ketawa.

Namun, tak ada seorang pun daripada penduduk kampung yang melihat berani menyahut cabaran itu. Tidak sepadan dengan nyawa yang bakal dipertaruhkan. Lagipun, bagaimana mampu lelaki asing yang kelihatan daif ni memberikan wang atau emas semua tu?

"Ya...aku tahu kalian semua tidak percaya dengan tawaran wang dan emas aku! Tapi tidak mengapa... lihat ini!" lelaki misteri itu membuka tapak tangan kirinya. Dia kemudian mengambil sehelai kain dari dalam sakunya dan menutupi tapak tangan kirinya tersebut.

Mulutnya berkumat-kumit menyebut sesuatu.

Tak semena-mena, kain tersebut terangkat dengan sendirinya seolah ada sesuatu telah muncul di bawah kain tersebut. Dengan senyuman yang penuh licik, lelaki itu mengalihkan kain tersebut sepenuhnya dari tapak tangan kiri itu.

Benda yang timbul di bawah kain tersebut telah diperlihatkan, iaitu beberapa biji emas berbentuk seperti batu ladung.

Hal ini sangat mengejutkan penduduk kampung yang melihat. Mereka sama sekali tidak menjangka hal ini boleh berlaku. Dari mana biji-biji emas itu datang?

"Hahahaha! Bagaimana? Sudah ada yang sanggup menerima tawaran aku?" Lelaki itu ketawa besar.

Namun, masih tiada seorang pun yang menyahut. Penduduk kampung ini sebenarnya sedar bahawa lelaki misteri ini sangat mencurigakan. Walaupun tawaran emas ini dilihat sangat baik dan menguntungkan, adalah lebih baik jika tidak terlibat langsung dengan lelaki misteri ini.

Lelaki misteri berbadan sasa itu mula berasa kecewa. Nampaknya hati penduduk kampung ini lebih kuat dan teguh daripada apa yang dia sangkakan. Mereka langsung tidak goyah dan tertarik dengan harta yang ditunjukkan.

Perasaan kecewa itu secara perlahan bertukar menjadi kemarahan.

Darahnya mendidih. Dirinya merasa seperti telah dihina!

Lelaki itu merancang untuk menumpahkan darah di kampung ini!

Akan tetapi, perasaannya itu kembali tenang selepas melihat ada seseorang telah melangkah ke hadapan untuk menyahut cabarannya.

Penduduk kampung juga terkejut melihat orang tersebut secara tiba-tiba mara ke hadapan untuk menyahut cabaran lelaki misteri itu.

Orang tersebut hanyalah seorang kanak-kanak.

Amat. Kanak-kanak tersebut ialah Amat.

AMATWhere stories live. Discover now