Bab 5 -Guru Silat Dari Singapura (2)

145 9 0
                                    

"Ada pun kedatangan saya ke mari adalah atas dasar jemputan Tok Mansur, teman seguru saya semasa belajar silat di Singapura dahulu..." Guru Mahmud memulakan ceritanya di hadapan Tok Mansur dan Haji Hassan.

Guru Mahmud, atau nama sebenarnya Mahmud bin Abu Bakar adalah berasal dari Singapura. Tok Mansur adalah sahabat segurunya. Mereka berjumpa semasa Tok Mansur berkelana mencari pekerjaan di Singapura. Kerana ingin melindungi diri dari ancaman kongsi gelap Singapura pada masa itu, Tok Mansur mengambil keputusan untuk belajar silat melalui suatu pertubuhan silat di Singapura. Ketika itulah dia bertemu dengan Mahmud.

"Nama saja sahabat perguruan. Tapi saya ni masih di pantat kuali. Sahabat kita ni pula sudah di langit. Hahaha!" Tok Mansur mengusik sahabatnya Guru Mahmud.

"Ah, kau Mansur. Suka sangat melawak. Aku juga masih di pantat kuali Sur.." Guru Mahmud tersenyum.

"Tapi bukankah kau sudah mendapat gelaran Guru?" Tok Mansur bertanya.

"Ia. Tapi.."

"Tapi apa lagi? Hahahaha!" Tok Mansur ketawa sambil menepuk-nepuk meja berulang kali. Haji Hassan tersenyum melihat gelagat Tok Mansur.

Bagi Haji Hassan, jarang sekali dia melihat Tok Mansur ketawa sebegini. Nampaknya Tok Mansur benar-benar gembira dengan kehadiran sahabat lamanya Guru Mahmud ini.

"Maafkan saya kalau saya bertanya..." giliran Haji Hassan pula berbicara.

"Mau tanya apa Haji?" kata Guru Mahmud.

"Sebenarnya Guru Mansur ajar silat seni apa ya? Setahu saya, silat ini banyak cabang seninya.." tanya Haji Hassan.

"Oh. Saya ni daripada Silat Seni Gayong Singapura, yang diasaskan oleh Mahaguru Meor Abdul Rahman bin Uda Abdul Hashim ," jawab Guru Mahmud.

"Silat Seni Gayong? Saya pernah dengar. Tak silap saya itu silat seni terbesar di Singapura."

"Betul Haji. Walaupun Mahaguru Meor Besar berasal dari Taiping, seni silat Gayong kami ini mula berkembang dengan pesat sekali di Singapura. Tapi, besar tidak besar juga lah Haji. Segalanya atas hasil usaha bersama kami semua.." kata Guru Mahmud dengan nada merendah diri.

"Alhamdulillah. Harapnya Guru Mahmud sudi lah mengajarkan anak-anak di kampung ini seni silat. Sebenarnya di kalangan penduduk kampung di sini memang sudah ada yang tahu bersilat. Tapi kebanyakan belajar semasa masuk askar dahulu. Mereka tiada kelayakan untuk mengajar. Salah ajar, lain pula jadinya nanti hahaha!" Haji Hassan berseloroh. Mereka sama-sama ketawa terbahak-bahak selepas itu.

Mata Tok Mansur kemudian menangkap sesuatu. Dia melihat Talib dan Amat memasuki warung Haji Hassan. Tok Mansur menegur Talib sebelum menyambung kembali perbualannya dengan Guru Mahmud dan Haji Hassan.

Guru Mahmud berpaling ke belakang melihat gerangan orang yang ditegur oleh Tok Mansur itu.

"Siapa anak muda itu Sur?" tanya Guru Mahmud kepada Tok Mansur.

"Itu namanya Talib. Anak jati kampung ini. Dulunya dia kerja sebagai kelasi kapal," jawab Tok Mansur.

"Ia? Sekarang dia buat apa?" tanya Guru Mahmud lagi.

Tok Mansur berpaling kepada Haji Hassan. Wajah Haji Hassan juga kelihatan serba salah.

"Talib itu sekarang menganggur. Tiada melakukan pekerjaan apa-apa," jawab Haji Hassan, sedikit malu kepada Guru Mahmud yang merupakan orang luar kampung ini.

"Kenapa? Dia sakit kah?"

"Tidak Mud. Dia memang tidak bekerja. Katanya sedang mencari sesuatu dalam hidupnya.." jelas Tok Mansur kepada Guru Mahmud.

"Ah, kedengaran sepertinya orang pemalas!" bingkas Guru Mahmud. Tok Mansur dan Haji Hassan yang mampu tersenyum tawar sahaja.

Kedengaran suara Talib ketawa bersama-sama dengan Siti selepas itu gara-gara mengusik Amat yang mahukan secawan kopi. Guru Mahmud tidak berasa selesa dengan keadaan sedemikian.

"Anak muda seharusnya keluar bekerja. Banting tulang empat kerat. Tidak boleh bermalasan bergelak ketawa sedemikian," kata Guru Mahmud lagi.

"Tak apalah Mud. Biarkan saja dia. Dia bukannya buat kacau di kampung ini," pujuk Tok Mansur.

"Aku sebenarnya ada bawa pembantu aku dari Singapura. Namanya Kadir. Anak muda juga. Tapi sangat bagus! Rajin. Selalu menolong aku dan orang lain dalam pertubuhan silat kami di Singapura. Aku sangat bangga dengannya. Inilah contoh anak muda yang sepatutnya!" Guru Mahmud memuji pembantunya yang dikenali sebagai Kadir itu.

Tok Mansur dan Haji Hassan saling berpandangan. Kedengarannya seperti Guru Mahmud memandang rendah kepada anak muda di kampung ini. Namun mereka hanya tersenyum sahaja enggan membalas apa-apa. Guru Mahmud adalah tetamu di kampung ini. Mahu tak mahu, mereka perlu menghormati dan meraikan Guru Mahmud sebagai tetamu.

"Baiklah. Mahukan Guru Mansur memberikan kata-kata kepada Talib sepatah dua? Mungkin boleh mengajarkan sesuatu kepadanya?" Haji Hassan memberi cadangan. Tok Mansur agak terkejut dengan cadangan Haji Hassan tersebut, namun dia tidak dapat membalas apa-apa.

"Baiklah kalau begitu. Panggil dia ke mari," kata Guru Mahmud. Serta merta Tok Mansur menepuk dahi.

"Talib! Datang ke sini sekejab!" Haji Hassan memanggil Talib untuk pergi ke mejanya. Dengan perasaan terpinga-pinga Talib bangun dari kerusinya dan menuju ke meja Tok Mansur, Haji Hassan dan Guru Mahmud.

"Ada apa Haji?" Talib kehairanan apabila dipanggil oleh Haji Hassan. Dia melihat ke arah Tok Mansur. Tok Mansur hanya tersenyum sahaja. Manakala seorang lagi lelaki tua yang tidak dikenali Talib memandang Talib dengan wajah yang garang.

"Kenalkan. Ini Guru Mahmud. Dialah yang bakal mengajarkan silat di kampung ni..." Haji Hassan memperkenalkan Guru Mahmud kepada Talib. Dengan rasa hormat kepada orang tua, Talib bersalaman dengan Guru Mahmud walaupun Talib menyedari Guru Mahmud seolah tidak menyukai dirinya.

"Silat seni apa yang Guru Mahmud ajarkan?" tanya Talib kepada Guru Mahmud.

"Silat seni Gayong. Mesti kamu tidak pernah dengar bukan?" jawab Guru Mahmud. Talib menggelengkan kepalanya. "Mari sini aku mahu cakap sikit sama kamu..." kata Guru Mahmud lagi.

Selepas itu, Guru Mahmud berleter kepada Talib. Talib hanya mampu berdiri dan mendengar sahaja. Manakala Siti dan Amat pula memandang dengan perasaan yang aneh. Apa pula kesalahan Talib yang membuatkan dirinya dimarahi seperti itu?

Selesai dileteri oleh Guru Mahmud, Talib kembali ke mejanya. Amat bertanya kepada Talib tentang apa yang berlaku. Namun Talib mengangkat bahunya. Dia sendiri tidak pasti apakah yang sedang berlaku. Tanpa mempedulikan perkara itu, Talib menyambung perbualan dengan Amat mengenai burung ayam-ayam.

AMATWhere stories live. Discover now