Bab 12 -Kemunculan Lelaki Misteri (4)

117 2 0
                                    

Guru Mahmud tersenyum seorang diri di ruang tamu rumahnya yang terletak di tepi pantai itu.

Mengikut perkiraannya, sudah lebih daripada separuh anak-anak di kampung ini sudahpun mengikuti kelas pengajian silatnya. Jika hal ini berterusan, tidak mustahil dirinya akan dikenali sehingga seantero daerah Dungun ini. Untung semakin masuk! Jual ubat pun orang boleh percaya!

Tapi apabila difikirkan kembali ada kebarangkalian juga tembelangnya bakal pecah di kemudian hari jika dirinya semakin dikenali. Guru Mahmud sedar, tidak mustahil ahli Persatuan Silat Seni Gayong Singapura turut berada di negeri Terengganu ini. Bila-bila masa sahaja mereka boleh muncul dan menangkap Guru Mahmud.

Guru Mahmud mula mengurut dagu.

Sedang asyik Guru Mahmud memikirkan cara untuk melarikan diri, dia terdengar namanya dipanggil.

Dipanggil dengan nada yang mencemaskan sekali.

"Guru Mahmud! Guru Mahmud!!" seorang lelaki memanggil nama Guru Mahmud berulangkali dalam keadaan dirinya yang dibasahi peluh. Guru Mahmud dengan tenang memunculkan dirinya di hadapan pintu.

"Hah? Ada apa?" tanya Guru Mahmud dengan kehairanan.

"A-ada orang cari Guru Mahmud! Kat warung Haji Hassan! Sekarang!" jawab lelaki yang berusia dua puluhan itu.

"Ada orang cari aku?!" Guru Mahmud terkejut. Adakah orang daripada persatuan seni silat gayong dah muncul? Guru Mahmud mula gelabah.

"O-orang tu nak ajak lawan silat!" sambung lelaki itu lagi.

"Ajak lawan silat?"

Guru Mahmud berfikir lagi. Ini bukannya ajaran persatuan silat seni gayong. Mereka tidak menggalakkan perbuatan cabar mencabar seperti ini. Ini mungkin orang daripada persatuan yang lain atau ahli silat yang bukan berpersatuan. Guru Mahmud serta merta berasa lega.

"Baiklah. Akan aku ke sana. Mana Kadir?" jawab Guru Mahmud. Dia turut mencari Kadir, dengan niat untuk menyuruh Kadir sahaja yang berlawan silat dengan orang itu.

"Saya tak tahu. Saya ingatkan dia ada dengan Guru Mahmud!" jelas lelaki itu.

"Tak apalah. Kau pergi cari Kadir suruh dia pergi ke sana. Sekarang tidak mengapa aku bergerak ke sana terlebih dahulu.." kata Guru Mahmud.

Setelah bersiap dengan memakai pakaian yang bersesuaian, Guru Mahmud melangkah turun daripada rumahnya dan pergi ke warung Haji Hassan. Setibanya di sana, dia melihat ramai penduduk kampung sedang menunggu dengan wajah yang penuh dengan kebimbangan. Guru Mahmud sedikit pelik dengan situasi tersebut.

Mata Guru Mahmud kemudiannya menangkap kelibat seorang lelaki misteri yang berbadan sasa yang sedang duduk di atas kerusi di hadapan warung Haji Hassan. Pada pengamatan Guru Mahmud, mungkin itulah lelakinya yang mengajak dirinya untuk berlawan silat.

Sebaik sahaja melihat kedatangan Guru Mahmud, penduduk kampung mula bersorak. Mereka meraikan kedatangan Guru Mahmud bagaikan seorang wira. Guru Mahmud tersenyum. Tidak dinafikan populariti dirinya di kampung ini sudah mencapai tahap sangat memuaskan.

"Kau ke gerangannya pesilat paling handal di kampung ini?"

Terkejutnya Guru Mahmud bukan kepalang apabila dia mendengar suara asing hinggap di telinganya. Dia memandang ke kiri dan kanan dengan perasaan yang hairan. Namun tiada siapa pun kelihatan. Siapa yang bercakap tu?

"Ilmu Bisik Angin juga kau tidak tahu. Pesilat handal apa macam ni?" suara itu berkata lagi. Guru Mahmud kemudian berpaling ke arah lelaki misteri berbadan sasa yang sedang duduk di hadapan warung Haji Hassan tersebut.

Barulah Guru Mahmud menyedari, ini adalah suara lelaki misteri itu. Dia mampu menghantar suara bisikannya kepada Guru Mahmud walaupun berada dalam kedudukan yang jauh daripada Guru Mahmud.

Pada saat ini, Guru Mahmud mula menyedari dia sudah melakukan suatu kesilapan besar. Orang itu adalah ahli silat yang bukan sebarangan. Dia tidak sepatutnya datang bersendirian ke warung ini. Dia sepatutnya menunggu Kadir terlebih dahulu. Apa yang boleh dia buat seorang diri dalam keadaan macam ni?


AMATWhere stories live. Discover now