Bab 10 -Kemunculan Lelaki Misteri (2)

123 3 0
                                    

Wajah Tok Mansur berkerut.

Dia gembira apabila melihat semakin ramai anak-anak di kampung ini mempelajari silat dengan Guru Mansur dan Kadir, namun tidak dapat tidak dia melihat seperti ada sesuatu yang tidak kena apabila langkah silat yang ditunjukkan oleh anak-anak tersebut agak sumbang.

Bukan itu sahaja.

Tok Mansur telah mendapat berita mengenai peristiwa pergaduhan di kalangan budak-budak lelaki di kampung ini. Budak-budak lelaki yang mempelajari silat dengan Guru Mahmud dan Kadir tiba-tiba mencari pasal dengan budak lelaki dari kampung sebelah. Apabila disuarakan tentang kejadian ini kepada Guru Mahmud, dia hanya ketawa sahaja dan beranggapan itu hanyalah permainan budak-budak.

Bagi Tok Mansur, hal ini tak sepatutnya berlaku. Bukankah seni silat ini boleh mengajar seseorang untuk menjadi lebih sabar dan berdisplin?

Apa yang diajarkan oleh Guru Mahmud dan Kadir sebenarnya?

Tok Mansur datang menghampiri Guru Mahmud yang sedang bersantai di bawah pokok sambil memerhatikan Kadir mengajar gerakan silat kepada anak-anak muridnya.

"Mud.." Tok Mansur menegur Guru Mahmud.

"Eh, Mansur?" Guru Mahmud terkejut dengan kehadiran Tok Mansur. Kelam kabut dia memperbetulkan kedudukannya kembali. "Tidak perasan pula aku kau datang," kata Guru Mahmud lagi.

"Aku datang ini suka-suka sahaja Mud. Nak melihat bagaimana budak-budak ini semua belajar silat," kata Tok Mansur sambil melihat ke arah murid-murid silat Guru Mahmud dan Kadir. Dia kemudian menyedari sesuatu.

"Eh? Mana Amat?" tanya Tok Mansur kepada Guru Mahmud.

"Amat? Siapa tu?" Guru Mahmud terpinga-pinga.

"Yang budak kamu pernah jumpa di warungnya Haji Hassan tu? Anaknya Cikgu Isnin?"

"Anak Cikgu Isnin? Setahu aku tiada anak cikgu belajar silat di sini?"

"Tidak belajar silat di sini?" Tok Mansur agak terperanjat. Amat adalah budak yang paling meminati silat di kampung ini. Masakan dia tidak menyertai kelas silat Guru Mahmud ini? Lagipun Tok Mansur menjemput Guru Mahmud untuk mengajar silat di kampung ini antara sebabnya adalah kerana Amat juga.

"Tak apalah..." kata Tok Mansur. "Nantilah aku pergi jumpa ayahnya Cikgu Isnin tanya tentang perkara ini.." kata Tok Mansur lagi.

Pada petang itu, Tok Mansur pergi ke rumah Amat untuk bertemu dengan ayah Amat, Cikgu Isnin. Sebaik sahaja melihat sebuah motorsikal buruk di hadapan rumah, Tok Mansur tersenyum. Nasibnya baik, Cikgu Isnin sudahpun pulang dari sekolah.

"Assalamualaikum!" Tok Mansur memberi salam.

"Waalaikumussalam!" tanpa menunggu lama, salam Tok Mansur dijawab oleh seorang lelaki dewasa. Di balik tingkap, kelihatan seorang lelaki dewasa tiga puluhan berkaca mata menjenguk kepalanya dan melihat ke arah Tok Mansur.

"Eh, Tok?" spontan lelaki itu, atau Cikgu Isnin berkata. Cikgu Isnin kemudiannya pergi ke pintu utama dan mempersilakan Tok Mansur untuk masuk ke rumahnya.

"Silakan masuk Tok. Sila, sila."

Dengan bersahaja, Tok Mansur menaiki tangga dan memasuki rumah Cikgu Isnin. Ini bukanlah kali pertama Tok Mansur memasuki rumah Cikgu Isnin. Sudah banyak kali Tok Mansur bertandang ke rumah Cikgu Isnin untuk berbincang dengannya mengenai banyak perkara. Cikgu Isnin adalah seorang yang sangat bijak dan banyak buah fikiran. Dia selalu memberikan pandangan yang bernas kepada Tok Mansur.

Namun kedatangannya kali ini bukanlah kerana ingin berbincang mengenai hal ehwal kampung atau sekolah. Sebaliknya, dia ingin bertanya tentang Amat.

"Cikgu, tadinya saya pergi ke gelanggang silat Guru Mahmud. Tapi saya tak menemui Amat di sana. Kenapa Amat tak mahu belajar silat? Setahu saya Amat adalah budak yang paling meminati silat di kampung ni.." Tok Mansur bertanyakan kepada Cikgu Isnin.

Sambil menuang air teh ke dalam cawan Tok Mansur, Cikgu Isnin menjawab, "Amat masih minat silat Tok. Cumanya dia tak nak belajar dengan Guru Mahmud dan Kadir tu..."

"Tak mahu belajar dengan Guru Mahmud? Kenapa pula?" tanya Tok Mansur lagi.

"Katanya Guru Mahmud tu tak tahu bersilat. Menurutnya lagi anak muda si Kadir itu tahu bersilat, tapi Amat tidak sukakan Kadir pula.."

"Nanti dulu Cikgu! Guru Mahmud tidak tahu bersilat? Masakan demikian? Dia adalah guru silat daripada Persatuan Seni Silat Gayong Singapura!" Tok Mansur sedikit terasa. Ini kerana dialah yang membawa Guru Mahmud ke kampung ini untuk mengajarkan silat. Kenyataan Guru Mahmud tidak tahu bersilat itu serba sedikit menjadi kehinaan bagi Tok Mansur.

"Saya pun tak pasti mengenai perkara ini Tok. Jujurnya dari pandangan mata saya sendiri, saya tidak pernah melihat Guru Mahmud bersilat sebenarnya. Tapi, tidaklah bermaksud Guru Mahmud tidak tahu bersilat. Apa yang saya nak kata, kita tak boleh sewenang-wenangnya mengakui perkara yang kita belum lihat hanya kerana latar belakang dirinya.." jawab Cikgu Isnin dengan tenang tetapi penuh berisi, menampakkan sifat semulajadinya sebagai seorang guru.

Tok Mansur mula terfikir. Dia sendiri juga tidak pernah melihat Guru Mansur bersilat. Selama dia melawat gelanggang silat Guru Mahmud, selalunya Kadir yang berada di hadapan mengajar budak-budak di kampung ini bersilat. Guru Mahmud hanya memerhatikan sahaja mereka dari tepi sambil berpeluk tubuh.

Adakah Guru Mahmud menipu aku? Getus hati Tok Mansur.

Ah, tidak mungkin! Tok Mansur berperang dengan perasaannya sendiri.

Sedang Tok Mansur dan Cikgu Isnin menyambung perbualan mereka, mereka dikejutkan dengan panggilan seseorang yang mencari Tok Mansur. Habis berterabur selipar di tangga rumah Cikgu Isnin kerana terlampau tergesa-gesa mendapatkan Tok Mansur. Terperanjat Tok Mansur dan Cikgu Isnin dibuatnya. Mereka segera ke muka pintu bagi mendapatkan lelaki tersebut.

"Kau dah kenapa Din?!" Tok Mansur sedikit marah. Kalau di rumahnya sendiri, tak apalah. Tapi orang kampungnya ini buat kecoh di rumah Cikgu Isnin pula.

"M-maaf Tok! Cikgu! W-warung Haji Hassan! Ada orang mengamuk nak berlawan silat!!"

"Apa?!"

AMATWhere stories live. Discover now