Bab 14 -Kemunculan Lelaki Misteri (6)

108 4 0
                                    

Lelaki misteri berbadan sasa ketawa kegirangan melihat Amat berdiri di hadapannya.

"Hahaha! Budak seperti kamu ini nak sahut cabaran aku? Biar betul kau ni budak? Hahahaha!"

Amat yang sedang berdiri di hadapannya langsung tidak terkesan dengan tawaan lelaki misteri itu. Sebaliknya, dia terus merenung wajah lelaki misteri itu tanpa sekelumit pun perasaan takut.

Melihat Amat yang sedang merenungnya dengan pandangan tajam, lelaki itu mendekatkan wajahnya kepada Amat. Mata mereka kini saling bertentangan tanpa berkelip.

"Hey, budak! Mari aku bagitau sama kau. Aku-"

Belum pun sempat lelaki misteri itu habis bercakap, Amat terus menumbuk pipi lelaki misteri itu dengan pantas dan sekuat hati dengan tangan kanannya. Tangan Amat terasa sangat sakit selepas itu, namun dia menahannya.

Lelaki misteri itu pula tergamam dengan tindakan tiba-tiba daripada Amat. Jelas wajahnya menunjukkan riak wajah yang terkejut. Walaupun tumbukan itu tidak mendatangkan apa-apa kesan kepadanya, tumbukan itu tetap menjadi suatu yang terpahat kukuh di hatinya.

Penduduk kampung yang melihat terkejut dengan tindakan Amat sehingga berderau darah setiap daripada mereka. Ada juga sebahagian daripada mereka lemah kakinya dan terus melutut ke tanah kerana terlampau gementar memikirkan nasib buruk yang bakal terjadi kepada Amat selepas ini.

Begitu juga dengan Haji Hassan. Dia juga bimbang dan takut memikirkan nasib Amat. Dalam kepalanya terus memikirkan tentang Cikgu Isnin. Bagaimana dia nak berhadapan dengan Cikgu Isnin selepas ini?

Namun, jangkaan Haji Hassan dan penduduk kampung meleset sama sekali. Kelihatannya Amat masih selamat. Ini kerana seketika kemudian lelaki misteri itu ketawa dengan sekuat hatinya.

"Hahahaha! Bagus, budak! Bagus! Kau memang bijak budak. Bijak sekali! Hahaha!" lelaki misteri itu memuji Amat sambil menepuk-nepuk bahunya.

Pujian tersebut, seperti tadinya juga langsung tidak terkesan kepada Amat. Dia terus memandang lelaki misteri itu dengan pandangan yang tajam.

"Baiklah budak. Seperti yang aku janjikan, kau boleh ambil emas di tangan aku ini," lelaki misteri itu menghulurkan tangan kirinya ke hadapan Amat sambil tersenyum.

Namun Amat menggelengkan kepalanya, enggan menerima emas tersebut.

"Eh? Kau tak mahu emas ini budak? Ambil lah. Kau jual di pekan. Dapat duit, kau belanja sama kawan-kawan kau. Mesti mereka semakin suka sama kau nanti!" kata lelaki misteri itu.

"Aku tak mahu!" tegas Amat.

"Eh, tak mahu juga? Habis tu apa yang kau mahu budak?"

"Aku mahu kau keluar dari kampung ini!" kata Amat dengan kuat sekali sehingga jelas kedengaran di telinga penduduk kampung yang lain.

Keberanian yang ditunjukkan oleh Amat mula mengusik hati penduduk kampung yang lain. Pak Karim secara spontan melangkah ke hadapan dengan wajah yang bersemangat.

"B-betul! Keluar dari kampung ini! Tiada apa yang kau boleh buat kat sini lagi. Jangan buat kacau di sini lagi!" kata Pak Karim.

Umpama kesan domino, penduduk kampung yang lain juga mula mara selangkah ke hadapan. Keadaan mula kecoh seperti rusuhan apabila setiap daripada mereka mula mendesak lelaki misteri itu supaya keluar daripada kampung ini.

Lelaki misteri itu tersenyum.

"Bagus! Bagus! Inilah jiwa melayu! Bangsa pelaut! Berani!" kata lelaki misteri tersebut. "Baiklah, hamba keluar dari kampung ini..." kata lelaki misteri itu lagi sambil mengangkat kedua tangannya ke atas.

Penduduk kampung untuk sekalian kalinya menghembuskan nafas kelegaan. Nampaknya situasi dapat dikawal dengan baik tanpa berlaku perkara buruk lagi.

Lelaki misteri itu kemudian memandang kepada Amat dan tersenyum.

"Budak kecik, siapa nama kau?" tanya lelaki misteri itu dengan lembut.

"..Amat," jawab Amat dengan perlahan. Wajahnya berkerut. Dia dapat merasakan sesuatu yang tidak enak akan berlaku.

"Baik, Amat. Aku suka kau. Kau ikut aku," kata lelaki misteri itu sambil menghulurkan tangannya.

"Ikut?"

"Ikut aku. Aku ingin jadikan kau sebagai anak murid aku. Akan aku turunkan segala ilmu yang aku ada kepada kau. Sudah lama aku mencari seseorang seperti kau Amat. Aku tahu, kau ingin menjadi seorang yang kuat dan hebat bukan?"

Amat terkejut. Bagaimana dia dapat membaca keinginannya?

"Ikut aku. Keluar daripada kampung ini. Tiada apa yang kau boleh lakukan di sini. Kau ikut aku dan aku akan perlihatkan kepada kau dunia aku yang sebenarnya!"

Amat masih terkejut. Segalanya berlaku terlalu pantas. Tidak pernah dia terfikir perkara ini terjadi kepadanya.

"Ikut aku! Ini bukan pilihan! Mahu tak mahu aku tak peduli! Akan aku ikat dan tarik kau keluar dari tempat ini!"

Mendengar sahaja lelaki misteri itu berkata sedemikian, Amat terus melompat ke belakang cuba untuk menjauhkan diri dari lelaki misteri itu. Namun tindakannya itu tiada gunanya. Lelaki misteri itu tetap berada di hadapan Amat.

Lelaki misteri itu kemudian menghulurkan tangannya cuba untuk menangkap Amat. Namun tanpa disangka tangannya telah dipegang oleh seseorang dengan kuat sekali, menghalang dirinya daripada menangkap Amat. Lelaki misteri itu terkejut dengan keadaan tersebut. Dia berpaling ke kanan dan melihat seorang lelaki sedang memandang dengan pandangan bengis sekali.

"Abang Talib!"

Amat tersenyum kegembiraan. Talib akhirnya muncul.

AMATWhere stories live. Discover now