Bab 8 -Guru Silat Dari Singapura (5)

131 4 0
                                    

"Kau memang otak geliga Kadir!"

Guru Mahmud menepuk-nepuk belakang Kadir yang tersenyum bangga di anjung rumah mereka. Rumah mereka yang terletak di berhampiran dengan kawasan pantai itu disediakan oleh Tok Mansur sebagai tempat tinggal mereka sepanjang mereka mengajar silat di kampung ini.

"Biasalah Tok. Nak hidup. Otak kena geliga. Zaman sekarang mana ada pakai kekuatan lagi. Zaman sekarang kita kena pakai otak!" Kadir menunjukkan jari telunjuk ke arah kepalanya.

Guru Mahmud mengangguk kepalanya bersetuju sambil tersenyum.

Petang tadi ketika berjalan-jalan, Kadir telah menemui seorang pemuda kampung ini yang pada pengamatan Kadir pemuda kampung itu bersifat sangat kasar. Kadir terus mendapat idea untuk mempergunakan pemuda tersebut bagi mengangkat imejnya di kalangan penduduk kampung ini. Secara terbuka, Kadir telah menyindir pemuda kampung tersebut dengan tujuan untuk mengapi-apikannya. Hasrat Kadir tercapai apabila pemuda kampung tersebut dengan mudahnya berasa marah dan terus menyerang dirinya. Dengan serba sedikit ilmu persilatan yang Kadir miliki, Kadir mengelak serangan pemuda kampung itu. Situasi tersebut kemudiannya menarik perhatian orang kampung yang melihat. Secara tak langsung, mereka menyaksikan kehebatan Kadir yang dapat mengelak serangan dari pemuda kampung yang dipercayai bernama Mail itu. Imej dan kemasyhuran Kadir terangkat dengan sendirinya selepas itu.

"Bila orang dah memandang tinggi kepada kita, barulah mudah untuk orang percaya pada kita! Kita akan pastikan semua penduduk kampung di sini hantar anak-anak mereka untuk belajar silat dengan kita. Selepas itu kita kutip bayaran yang lumayan!" kata Kadir dengan teruja.

"Hahahaha! Betul Kadir! Betul!" Guru Mahmud ketawa besar.

Guru Mahmud dan Kadir.

Mereka bukanlah daripada persatuan Silat Seni Gayong Singapura. Mereka sebenarnya adalah bekas ahli persatuan yang sudah pun dibuang kerana telah mempergunakan nama persatuan untuk menipu dan mengutip wang. Demi menjaga imej persatuan, Guru Mahmud dan Kadir terus dibuang dengan serta merta. Sejak daripada itu, mereka terus berkelana di Singapura mencari duit dengan menipu dan memperdayakan orang ramai.

Di saat Guru Mahmud dan Kadir diburu oleh Persatuan Silat Seni Gayong Singapura kerana terus menerus menipu dengan nama persatuan, Tok Mansur telah menghubungi Guru Mahmud untuk memintanya datang ke kampung bagi mengajar anak-anak di kampung ini bersilat. Guru Mahmud dan Kadir mengambil kesempatan ini untuk keluar dari Singapura dan pergi ke tempat baru untuk menjalankan kerja-kerja penipuan mereka.

Guru Mahmud dan Tok Mansur memang saling mengenali. Cumanya semasa mereka berkawan, Guru Mahmud masih berada dalam persatuan. Tok Mansur sama sekali tidak mengetahui tentang Guru Mansur yang sudahpun dibuang oleh persatuan. Dia juga tidak maklum yang Guru Mansur ini tidak tahu bersilat kerana sudah lama tidak mengamalkan seni bela diri tersebut.

"Apa perancangan kau selepas ini Kadir?" tanya Guru Mahmud kepada Kadir.

"Kita akan berjalan ke serata kampung. Saya pergi sebelah barat, Tok pergi ke sebelah timur. Kita tunjuk muka kepada orang kampung. Barulah mereka semua mengenali kita dan semakin percaya kepada kita!" jawab Kadir lagi dengan penuh keyakinan dan licik.

Guru Mahmud ketawa lagi berdekah-dekah.

Namun tawaan dan keseronokan mereka tidak kekal lama.

Kerana mereka bakal berdepan dengan seorang ahli silat ghaib yang akan membuat kacau di kampung ini nanti.

AMATWhere stories live. Discover now