Bab 10

20 5 0
                                        

TIKAR sejadah dipilih sebagai tempat dia bersujud malam itu. Sesukar apa pun kehidupan, jangan lupa untuk merintih kepada sang pencipta. Itu yang Naaila pilih. Bukan ketika dia rasa gundah-gelana sahaja tetapi sejadah akan jadi tempat gadis itu mencari ketenangan setiap masa. Namun dalam keadaan sekarang, dia benar-benar ingin bercerita dengan Tuhannya.

Tangan diangkat, menadah dan ingin mulakan penceritaannya.

"Ya Allah, ujian ini... Akan bantu aku untuk terus kuat, kan?"

Sebaik sahaja ayat itu diluah, empangan air mata Naaila pecah. Sesiapa sahaja yang mendengar suaranya itu pasti akan merasakan bahawa dunia gadis ini sedang runtuh satu persatu.

"Ya Allah, kenapa sesukar ini dugaannya? Kenapa... Aku selalu diuji dengan orang-orang yang aku sayang? Adakah tiada bahagia untuk aku..."

Sejak kecil, Naaila mula rasa kehilangan. Bermula dengan atuk kesayangannya lalu orang tuanya. Atuknya meninggal kerana sakit jantung. Ibu dan ayahnya pergi kerana ingin melindungi dirinya. Masih segar dalam ingatan Naaila, bagaimana ibu dan ayahnya kemalangan lalu ditembak kejam hanya kerana ingin memastikan dirinya selamat.

"Aku penat, Ya Rabb. Tapi aku tahu, kemampuanku lebih daripada ini. Sebab itulah, aku diuji begini. Kalau ini caranya Engkau mahu menjadikan aku hamba yang taat, aku reda. Aku ikhlas. Namun, dalam masa yang sama, Engkau selalulah kirimkan rasa kuat supaya semua ini akan berakhir dengan baik. Jaga orang-orang yang aku sayang, Ya Allah."

Malam itu, Naaila Natasha yang selama ini gah di hadapan mata orang lain, menjadi seorang gadis cengeng apabila menghadap Tuhannya. Hanya tangisan yang lebat menemani. Ingin bercerita dengan manusia lain, adakah orang akan memahami perasaannya?

Dunia kejar-mengejar yang dia sedang hidup di dalamnya ini, takkan mudah untuk diceritakan kepada orang lain. Disebabkan itu, Naaila perlu bertahan sehingga perjuangannya untuk jernihkan semua ini, berakhir tanpa perlu adanya permulaan menyakitkan yang baru.
.
.
.
.
.

"NAAILA."

Bahu anak perempuannya digoncang perlahan. Tuan Nadhir cuba mengejut Naaila yang lena di atas tikar sejadah. Selepas subuh tadi, Naaila terlelap di situ. Perlahan-lahan, matanya dibuka. Tangan mula menggosok mata supaya pandangan kabur itu berubah menjadi jelas.

"Kenapa tidur atas sejadah?" soal Tuan Nadhir.

"Naaila terlelap tadi lepas subuh. Sekarang dah pukul berapa, baba?"

"Pukul sepuluh. Kenapa? Ada nak ke mana-mana?"

Naail mendiamkan diri kejap kerana dia masih belum sedar sepenuhnya. Masih mamai dalam mengantuknya.

"Nak keluar dengan Fitri kejap. Baba izinkan?"

"Kalau dengan Fitri, baba izinkan. Naaila kena jaga diri betul-betul. Ada apa-apa yang mencurigakan, terus bagi tahu baba. Faham?"

"Okey, baba."

"Sebelum tu, baba nak tanya. Semalam balik pukul berapa? Kata ada majlis dekat universiti. Baba balik pukul dua belas semalam, kamu dah ada dekat rumah. Biasanya tengah pagi baru balik sebab nak kemas-kemas kan?"

Liur ditelan. Kerongkong mula terasa pedih. Nampaknya, Naaila perlu berbohong kepada ayah saudaranya. Untungnya semalam, tiada anak buah Tuan Nadhir yang mengikutnya dari jauh. Jadi, kejadian semalam masih tersimpan rapi tanpa pengetahuan sesiapa kecuali Fitri.

"Naaila balik pukul sebelas semalam. Lepas habis je busking, Naaila terus balik. Tak sedap badan sikit"

"Habis tu, larat ke nak keluar ni? Kalau tak sedap badan, tak payah keluar."

HUG : THE TRUTH UNTOLDTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang