Bab 12

14 2 0
                                    

TOMBOL pintu ditolak. Mentang-mentanglah tak sarapan lagi, Naaila bersarapan dengan 'roti' milik Fadh.

"Fadh Qayeed!"

Pintu kembali ditarik untuk menutup pemandangannya yang indah sebentar tadi. Dari luar, Naaila dengar bunyi gelak Fadh yang terbahak-bahak.

"Come in! Aku dah pakai baju."

Nafas dihembus. Fuh! Nasib dah pakai baju! Naaila pun masuk ke dalam kamar Fadh dengan pintu yang tertutup separa. Bekas makanan yang dibawa, diletakkan di atas meja.

"Amacam view pagi? Indah tak?"

Fadh mula mengusik apabila Naaila mahu menghidangkan sarapan mereka. Mata gadis itu mengecil. Geram betul dengan sikap mengada Fadh ni.

"Hotak kau indah! Haram tahu tak? Habis kena samak balik mata aku yang suci ni."

"Salah kaulah. Siapa suruh aci redah je? Tak ketuk dulu."

"Iyalah! Aku tahu aku salah. Jangan bahas lagi boleh tak?"

Rahang diketap. Geram! Erm, lebih kepada malu sebenarnya. Si gadis tahu Fadh sedar pipinya mula berubah warna. Bahang. Sumpah, Naaila mahu ketuk kepalanya sendiri kerana main masuk aje kamar rawatan Fadh tanpa ketuk pintu terlebih dahulu. Tak pasal-pasal dapat tengok badan Fadh yang sememangnya sasa dan berotot. Gagah sunguh!

"Okey. Janganlah merah sangat pipi tu. Aku rasa, kalau aku masak daging burger atas pipi kau pun boleh tu."

Naaila tak layan. Kalau dilayan, boleh jadi dia demam panas terus. Bubur ayam yang dia masak pagi tadi dihidangkan untuk Fadh.

"Makanlah."

Tanpa banyak soal, Fadh hanya makan. Selepas beberapa suap, dia memandang Naaila di sisi. "Tak rasa macam bubur McDonald pun. Kau masak ke?"

Bibir menguntum senyum. "Ya, aku masak pagi tadi."

"Patutlah tak sedap," balas Fadh selamba.

Terus berubah riak wajah Naaila. Ingatkan nak puji sedap. Penat dia bangun awal pagi dan sediakan sarapan Fadh. Bukannya nak cakap terima kasih. Tak sedap dia cakap? Hampeh betul!

"Kalau tak sedap, tak payah makan. Aku balik, buang je."

Si gadis cemberut. Dia bersandar pada kerusi dan berpeluk tubuh. Fadh yang melihat reaksi Naaila tersenyum nipis. Sebenarnya, sedap sangat bubur yang Naaila masakkan. Cuma, dia sengaja ingin bergurau dengan gadis ini. Suka mengusik.

"Aku suka kalau kau marah. Nampak lagi menawan," puji Fadh selamba.

Rasa bengang tadi terus diganti dengan debaran yang dahsyat. Naaila tahu, ini bukan petanda yang baik. Dia takut dia semakin hanyut dengan perasaan yang belum boleh ditamatkan.

"Diamlah. Makanlah cepat. Aku kena jumpa pensyarah lepas ni. Nak dapatkan surat intern."

"Suaplah."

Terus kepala Naaila terangkat memandang Fadh yang sedang tersengih. Apa yang suka sangat tu?

"Boleh. Tapi aku suap guna kaki. Nak ke?"

Tawa Fadh meletus juga akhirnya. "Kau cakap jelah aku ni buat kau risau. Nak teman, tapi garang. Lagi aku suka tahu tak?"

Nafas ditarik dalam-dalam dan gigi pun diketap. Ya Allah! Susah betul berurusan dengan lelaki bernama Fadh Qayeed ni!

"Kenapa kau menangis satu malam?"

Soalan Fadh tiba-tiba membuatkan Naaila terkaku. Wajah Fadh dipandang. Tiada lagi senyuman manis seperti tadi. Di depannya ketika ini adalah Fadh yang berwajah tegang seperti malam sebelum Fadh ditikam.

HUG : THE TRUTH UNTOLDWhere stories live. Discover now