PUNGGUNG dilabuhkan di sebelah anak saudaranya yang masih khusyuk merenung bintang malam. Sudah dua hari berlalu dan mereka dua beranak masih belum berbaik. Tuan Nadhir rasa tak seronok jika dia perlu menjalani hari-harinya begini. Selalunya, Naaila yang banyak berceloteh. Dua hari ini, anak gadisnya hanya menjauhkan diri.
"Naaila marahkan baba lagi?"
Diam. Naaila masih tak menjawab.
"Tell me, how can I fix this?"
Tuan Nadhir mula merayu. Entah kenapa, sikap Naaila sekarang benar-benar buatkan dia rasa dia gagal sebagai seorang ayah. Bunyi esakan yang ditahan tidak mampu lagi dibendung. Naaila mula berpaling menghadap ayah saudaranya. Kepala yang sedang menunduk itu dipandang.
"Percayakan Naaila. Itu yang baba perlu buat."
Tidak lagi tersisa rasa marah. Malam ini, Naaila mahu leraikan semua yang berselirat di antara mereka berdua.
"I'm not a kid anymore. Fitri bukan penjaga Naaila. Dia sahabat Naaila. Kalau Fitri tak ada, Naaila takkan ada kawan. Naaila akan rasa sunyi. Fitri dah macam abang untuk Naaila. Sekalipun Naaila tak pernah anggap dia orang asing."
Apa yang terbuku di hati, perlu diluahkan malam ini. Naaila sudah penat jika ada orang lain yang dipersalahkan jika dia diapa-apakan.
"Suruh Fitri ada dengan Naaila sebagai penjaga itu buatkan Naaila rasa sesak. Tak cukup dengan tu, baba hantar lagi orang untuk ikut Naaila dari jauh. Apa tu, baba? Naaila rasa baba tak percayakan Naaila. Apa guna semua seni mempertahankan diri yang Naaila belajar selama ni? Baba suruh Naaila belajar semua tu, bukan ke untuk lindungi diri sendiri? Naaila boleh jaga diri dan Naaila hanya perlukan Fitri sebagai sahabat. Dia satu-satunya manusia yang boleh terima kehidupan Naaila sebagai kawan. Naaila tak nak hilang dia, baba."
Dengar saja tanggapan Naaila tentang Fitri membuatkan Tuan Nadhir rasa ditikam berkali-kali. Begitu banyak jasa Fitri terhadap anak saudaranya. Bukan setakat menjadi penjaga malah dianggap sahabat. Tuan Nadhir tidak dapat menafikan bahawa kehidupan Naaila sangat sunyi tanpa watak yang dipanggil kawan. Hanya Fitri yang sudi berkawan dengannya.
"Naaila nak baba lepaskan Naaila?"
Kepala digeleng. Naaila rasa, babanya sudah salah faham. Tangan tua itu dipegang.
"Bukan lepas tapi percaya. Naaila nak baba percaya yang Naaila boleh jaga diri, boleh pertahankan diri sendiri tanpa bantuan sesiapa, tanpa diekori sesiapa. Fitri tu, Naaila nak dia ada di sisi Naaila selalu sebagai sahabat. Boleh kan?"
Sekarang, barulah Tuan Nadhir mengerti. Dia sedar bahawa dia agak kasar dengan pekerjanya beberapa hari lalu. Tak pernah-pernah dia hinggapkan tangan di wajah bersih Fitri. Itu pertama kali.
Mata dipejam. Nafas dihembus perlahan sebelum Tuan Nadhir kembali memandang anak gadisnya. Sungguh, berat sekali untuk biarkan Naaila sendirian tanpa orang pantauannya.
"Baba percayakan Naaila."
Air mata Naaila mengalir tanpa dipinta sebaik sahaja matanya dipejam. Cukup dengan sebaris ayat itu, dia rasa lega dan bebas berterbangan di awangan. Ini merupakan satu petanda bahawa Tuan Nadhir sudah boleh melepaskan anak gadisnya yang sudah berusia dua puluh empat tahun ini.
"Terima kasih, baba. Terima kasih."
Tangan tua itu dikucup. Lama. Naaila lega kerana Tuan Nadhir sudah boleh mula percayakan dirinya.
"AKU dah tak nak buat semua tu. Fadh nak bunuh aku kalau aku muncul depan dia!"
Tania mula menjerit seperti orang yang dirasuk. Sudah lama dia dikurung di dalam bilik usang ini. Entah bila dia akan dilepaskan. Tawa jahat mula bergema di dalam kamar itu. Terhinjut-hinjut bahunya ketawakan ayat yang Tania ucapkan.

ANDA SEDANG MEMBACA
HUG : THE TRUTH UNTOLD
Romance[TELAH TERBIT DI BAWAH PENERBITAN FAJAR PAKEER] Life is short... kerana itu dia inginkan hidup yang tenang. Namun, untuk mewujudkan keinginan itu, akan bermula malapetaka yang dibubuh dengan kebencian, permusuhan dan badai yang tertinggal dari masa...