Bab 20

69 4 1
                                        

"PLEASE wake up, chica..."

Fadh masih setia berada di sisi gadis yang masih tidak sedarkan diri. Ingin saja Fadh menyumpah dirinya sendiri kerana lambat selamatkan Naaila. Tambahan pula, dia lupa janjinya hari ini.

Bam!

Pintu dibuka luas dan Tuan Nadhir masuk ke dalam bersama dua orang lelaki. Terus Fadh bangun dari kedudukannya dan memberi ruang kepada bapa saudara Naaila itu.

"Naaila..."

Suara Tuan Nadhir kedengaran begitu kesal. Terasa dirinya gagal untuk melindungi Naaila. Lama dia memandang puterinya yang terbaring lemah. Kemudian, barulah dia mendekati Fadh. Tangan anak muda itu juga dipegang erat.

"Terima kasih sebab selamatkan anak saya. Saya terhutang budi dengan kamu."

Fadh hanya kaku apabila Tuan Nadhir berada di hadapannya. Terkebil-kebil dia memandang lelaki dewasa di hadapannya ini. Tolong, katakan semua ini mimpi. Semua ini, tidak nyata, kan?

"Anak muda."

Terus mati lamunan Fadh apabila suara Tuan Nadhir menyapa gegendang telinganya. Fadh tundukkan kepalanya sedikit bagi menghormati Tuan Nadhir. Rasa sesak dadanya tadi, ditolak ke tepi.

"Tuan tak perlu terhutang budi dekat saya. Saya ikhlas. Lagi pula, Naaila turut bermakna untuk saya."

Dua ulas bibirnya mengukir senyum paksa. Fadh tidak boleh berlama di sini. Boleh jadi, dia yang hilang kawalan. Daripada semua itu terjadi, Fadh cepat-cepat meminta izin untuk mengundurkan diri.

"Saya rasa saya perlu pulang sekarang. Nanti ada masa, saya lawat Naaila lagi. Saya pergi dulu."

Fadh melangkah keluar. Pintu bilik rawatan Naaila ditutup. Secara tiba-tiba, lutut jejaka itu terasa longgar. Tak mampu tampung diri, Fadh rebah ke lantai. Tubir matanya terasa panas. Seketika, dia pejamkan mata. Buliran air matanya pun jatuh membasahi pipi. Dada juga dipegang. Nafasnya seperti terputus. Sesak dan sakitnya sekarang, hanya Tuhan yang tahu.

"Fadh, kau kenapa? Naaila okey je kan?"

Waail mendapatkan sahabatnya itu. Fadh dipapah untuk duduk di atas kerusi.

"Aku..."

"Fadh, kau kenapa?" soal Waail, cemas. Bingung dengan sikap sahabatnya sekarang. Masih tiada jawapan bagi soalan yang diajukan. Sudahnya, Fadh terus mengalirkan air mata. Rasa dirinya dikhianati yang amat dahsyat. Kebenaran apa yang baru dia dengar tadi?

Naaila anak Tuan Nadhir?

Fadh memandang Waail dengan matanya yang masih merah.

"Aku nak tahu siapa Naaila Natasha yang sebenarnya."
.
.
.
.
.

MATA dibuka perlahan. Berat sekali untuk mengangkat kelopak mata sendiri. Melihat Naaila yang sudah sedar, Fitri mendekati sahabatnya itu.

"Naaila, syukur kau dah sedar."

"Air..."

Gelas diambil dan Fitri membantu Naaila untuk minum. Kemudian gadis itu bersandar pada kepala katil.

"Lama ke aku pengsan?"

"Satu malam. Kau tahu tak jantung aku nak tercabut bila Tuan Nadhir cakap kau masuk hospital. Patutlah aku call kau tak dapat-dapat. Telefon kau mati ke?" Fitri terus menyoal.

Naaila baru teringat apabila Fitri menujahnya dengan bermacam-macam soalan. Dia pengsan dan Naaila tahu Fadh yang selamatkan dia.

"Mana Fadh?" Soalan Fitri tadi dibiarkan tidak berjawab.

HUG : THE TRUTH UNTOLDTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang