Keluar dari tandas, terkesiap Syed Adi Uzam melihat sang isteri yang sedang menyusun pakaiannya di dalam almari. Perlahan-lahan dia tutup daun pintu.
Dek kerana kesunyian malam, perbuatannya itu menghasilkan bunyi sehingga mengundang perhatian Engku Khadija. Wanita itu sekadar melihatnya dengan renungan kosong sebelum dia kembali melakukan kerjanya.
Syed Adi Uzam ambil tempat di birai katil. Berdekatan dengan sang isteri. Sisi wajah yang masih cantik dan tidak dimamah usia langsung itu, ditatap sayu.
"Abang dengar Eima dah sedar."
Mendadak berhenti tangannya. Dia pandang sang suami dengan renungan yang agak tajam.
Syed Adi Uzam tersenyum tipis. Dia gelengkan kepala sekali. "Abang tak akan ganggu Eima dan Altaf lagi. Abang dah minta orang keluarkan kenyataan tentang apa yang terjadi."
Berubah wajah Engku Khadija. Jika itu adalah perkara yang benar, sesungguhnya dia dapat tarik nafas lega. Jika lelaki ini masih tetap dengan keputusannya sementelah apa yang telah Eima korbankan, dia tidak tahu lagi apakah suaminya ini masih boleh dipanggil sebagai seorang manusia!
"Dhija masih tekad dengan keputusan Dhija untuk tuntut fasakh?"
Engku Khadija tergamam. Tidak terduga olehnya bahawa mereka akan berbahas tentang topik ini lagi.
Mendapat diam daripad wanita itu, Syed Adi Uzam tarik senyuman palsu.
Tersentak wanita itu apabila dia tiba-tiba merasakan sentuhan di pergelangan tangannya. Seperti dihipnotis, dia bergerak ke arah lelaki itu setelah ditarik mendekat. Menunduk dia pandang sang suami.
"Abang tahu, selama ini Dhija bertahan dengan abang hanya sebab anak-anak. Abang sedar... sejak Dhija kahwin dengan abang, abang dah hilang Dhija abang yang dulu." Engku Khadija yang tersenyum setiap kali menyebut namanya. Engku Khadija yang tersipu malu apabila dia menatap wanita itu. Dan wajah yang akan merona kemerahan setiap kali mulutnya manis memuji.
Sekarang, itu hanyalah sebuah kenangan manis yang sudah terpateri dalam hidupnya. Kenangan yang dia yakin tidak akan berulang lagi.
"Cuma abang nafikan semua itu sendiri. Berkali-kali abang ingatkan diri yang Dhija masih cintakan abang, Dhija masih sayangkan rumah tangga kita. Seperti abang, Dhija juga bahagia. Abang percaya yang perkahwinan kita adalah sebuah kisah yang sempurna." Di hujung ayat, dia tidak dapat menahan tawa sinis. Terhibur dengan kebodohan sendiri.
"Tapi abang silap, Dhija. Itu hanyalah apa yang abang nak percaya sedangkan Dhija dah banyak terseksa. Dhija tak bahagia dengan abang. Pada Dhija, abang cumalah abi kepada anak-anak Dhija, seorang suami yang perlu Dhija taati. Abang bukan lagi seorang yang Dhija mahukan. It's my doing that our love has lost its magic, sayang..."
Kekura sang isteri diusap sayu. Dia memerhati tangan lembut itu. Sepasang tangan yang sudah membesarkan kelima-lima orang anaknya dengan penuh kasih. Sepasang tangan yang sekian lama bertahan atas nama tanggungjawab seorang isteri.
Engku Khadija ketap bibir. Kelopak matanya berkedip sendiri. Kolam matanya mula bertakung. Setiap aksara tersebut, telah menghantar sesuatu rasa yang menjerat jiwa.
Syed Adi Uzam angkat wajah. Memandang redup sepasang mata cantik yang berkaca-kaca itu.
"Abang sedar, perkataan maaf yang keluar dari mulut abang tak akan pernah mampu menagih simpati dan juga keampunan daripada Dhija." Segugus keluhan berat dia lepaskan. Pegangannya dikemaskan.
YOU ARE READING
ALTAF'S SAVIOUR
RomanceNur Eima X Syed Altaf Qhadi Tolong jangan baca❗️ Sinopsis tak ada. Author dia tak reti nak karang sinopsis. Entah apalah dia ni reti pun tak tahu 🤷🏻♀️