Prolog

20 0 0
                                    

WAN DARIA merenung ke jendela di biliknya. Hatinya terasa bagai nak pecah. Rumah yang dia bersama anak-anak dan suami duduki kini bakal dijual. Mereka tidak punya wang lagi selepas kesemuanya digunakan untuk rawatan penyakit misteri yang dialami anak bongsunya, Dania.

Pelbagai cara sudah mereka lakukan, tak kiralah perubatan secara moden mahupun tradisional. Dania tetap dalam keadaan yang sama. Tubuhnya lumpuh tidak dapat bergerak. Makanan tidak dapat diberi daripada mulut dan harus menggunakan tiub.

Doktor yang merawat anaknya juga seperti berputus harapan. Dia menyuruh Wan Daria dan suaminya, Zamarul berdoa kepada Allah SWT. Semoga dipermudahkan urusan Dania untuk ke negeri abadi.

Tiada gunanya berharap dengan lebih jauh kerana keadaan tubuh Dania makin lama makin memburuk. Organ dalamannya juga satu persatu menunjukkan tanda tidak dapat berfungsi dengan baik.

Wan Daria akur. Dia akur jika itu takdir Tuhan kepada anaknya. Namun apa yang membuatkan dia pilu ialah sikap Zamarul.

Lelaki itu berkurung di dalam makmal di rumah mereka dengan alasan mahu mencari jalan supaya Dania boleh terus hidup. Walhal Wan Daria tahu, suaminya begitu obses dengan ciptaan mesin barunya itu.

Mesin yang katanya bakal merubah kehidupan manusia. Mesin yang akan membawa manusia ke dunia baru. Dunia yang mungkin ada jawapan kepada penyakit yang dialami anaknya. Namun ujikaji yang dilakukan Zamarul itu tidak berjaya.

Ya, tidak pernah berjaya! Entah apa masalahnya, Wan Daria pun tidak tahu.

Daria mengesat air jernih yang membasahi pipinya. Dia menyarung sweater biru gelap yang tergantung di belakang pintu. Lalu perlahan-lahan Wan Daria menyelinap keluar daripada kamarnya dan menuju ke makmal Zamarul yang terletak di tingkat bawah rumah.

Lampu samar-samar dan berkedip kelihatan saat Wan Daria menolak buka pintu bilik itu. Kelihatan Zamarul tertidur nyenyak di atas meja tulisnya yang terletak di hujung bilik.

Wan Daria tidak mahu mengejutkan suaminya. Kakinya melangkah ke arah mesin itu. Mesin itu kelihatan seperti kotak pameran bagi anak patung bersaiz mega. Tapaknya berbentuk empat segi dan terdapat penutup kaca setinggi tujuh kaki menutup platform tersebut.

Mata Wan Daria kemudian melilau ke sekeliling makmal. Mencari sesuatu yang boleh dia gunakan sebagai senjata. Matanya kemudian tertancap kepada sebatang kayu besbol yang tersandar di tepi kerusi.

Kayu besbol itu diambil dan ia dihayunkan ke cermin kaca mesin itu dengan sepenuh hati. Bam bam bam! Punah mesin itu dihancurkannya. Air mata Wan Daria mengalir deras saat dia melakukan hal tersebut. Tiada penyesalan! Dia tertunduk ke lantai sambil memerhati serpihan kaca yang berderai. 

Dunia Sebelah SanaWhere stories live. Discover now