Bab 4

3 0 0
                                    

ISTANA SAHMURA

WILAYAH GEMA SAKTI, PUSAT NEGARA

SULTAN Sulaiman Ibrahim termenung sepi di meja makan. Santapan yang sedap-sedap sudah disediakan oleh dayang istana buatnya yang kini sudah berusia 63 tahun hari ini.

Majlis keraian bagi menyambut hari lahirnya sudah disambut secara besar-besaran oleh rakyat semalam. Para tetamu yang merupakan menteri-menteri, diplomat-diplomat, dif-dif kehormat dan rakyat jelata yang terdiri daripada ahli perniagaan dan mereka yang ternama telah memberikannya pelbagai jenis hadiah.

Hadiah-hadiah itu juga telah disimpan rapi dalam sebuah bilik di dalam istana yang mungkin tidak akan dibukanya sehinggalah pada tahun depan untuk dikemaskan dan dikosongkan supaya hadiah baru pula dapat ditempati di situ.

Sultan Sulaiman memandang ke arah meja makannya yang kosong tanpa penghuni. Pinggan mangkuk yang bersusun cantik dia atas meja itu juga kelihatan licin tidak tercemar dengan sebarang sisa makanan.

Kedua-dua orang puteranya entah ke mana, manakala isteri-isterinya pula sibuk dengan hal sendiri. Mungkin benar tanggapannya, manusia yang paling ramai didekati orang sebenarnya yang paling sunyi tanpa teman. Hidup di dalam istana besar dengan ahli-ahli keluarga yang dia sayangi, namun tiada seorang pun yang menyapa mahupun mengucapkan selamat hari lahir kepadanya.

"Tuanku, silakanlah... dayang-dayang sudah sediakan semuanya untuk tuanku pada malam ini," kata Dayang Ani yang membawa dulang terakhir berisi mangga harum manis yang sudah dipotong dadu.

Sultan Sulaiman menghembus nafas panjang. Dia melihat kesemua makanan itu dengan rasa memuakkan. Perutnya mungkin terasa lapar, namun hati berasa kenyang dengan segala jenis perasaan.

"Di mana anakanda-anakanda beta, dayang?"

Dayang Ani tersenyum meleret. "Tengku Adlishah ada urusan kerja di pejabatnya. Tengku Adrishah pula, tuanku pasti tahu dia ke mana. Saya tak perlu jelaskan lagi."

"Seorang sibuk dengan kerja, seorang lagi? Entah apa hendak jadi. Dia keluar dengan gadis mana pula kali ini, dayang?" soal Sultan Sulaiman, murka.

Dayang Ani hanya mampu memberikan senyuman lagi. Dia tidak tahu hendak berkata apa. Tengku Adlishah atau lebih dikenali ramai sebagai Kapten Adlishah seorang yang sangat berprinsip dan baik tingkah lakunya. Beliau juga sangat fokus dengan kerja dan urusan-urusan kerajaan.

Manakala adiknya, Tengku Adrishah pula sangat berbeza 180 darjah daripada abangnya. Tengku Adrishah gemar berfoya-foya dengan banyak wanita dan hampir sahaja bernikah dengan gadis yang tidak menjadi pilihan tuanku sultan dan permaisuri.

Pekerjaan sehari-hari Tengku Adrishah adalah bercuti, berparti dan bertukar-tukar wanita. Sikapnya juga sering menjadi bualan hangat rakyat yang sering membandingkan adik beradik kandung berlainan ibu itu yang dianggap sama ada boleh menjatuhkan atau membangunkan negara tersebut. Namun semuanya masih dalam keadaan terkawal kerana belum ada bukti bergambar yang boleh membenarkan cerita-cerita panas mengenai putera itu.

"Isteri-isteri beta pula di mana? Permaisuri utama dan permaisuri kedua tidak mahu bersantap juga dengan beta?" tanya Sultan Sulaiman lagi.

"Tuanku tahu kan, Permaisuri Sarah lebih gemar berdiam di istananya. Dia sudah lama tidak turun ke sini. Manakala Permaisuri Dara, dia..."

Belum sempat Dayang Ani menjawab, kedengaran derap kaki berjalan memasuki ruangan santapan istana.

"Dinda ada di sini, kanda."

Permaisuri Dara Halina masuk ke ruang santapan diraja itu dengan penuh tertib dan adab. Dia memberi sembah hormat terlebih dahulu dan mempamerkan wajahnya yang berseri dengan senyuman menawan kepada sultan itu.

Dunia Sebelah SanaWhere stories live. Discover now