Bab 15

1 0 0
                                    

SATU persembahan tarian berlatarkan lagu Sirih Pinang dipersembahkan kepada Sultan Sulaiman, Permaisuri Sarah Marlina dan Permaisuri Dara Harlina yang menggabungkan ketiga-tiga jenis tarian daripada berlainan bangsa.

Sultan bersama isteri-isterinya yang berada di takhta masing-masing tersenyum manis dan bertepuk tangan saat melihat persembahan tersebut yang sangat menghiburkan. Dina dan Kapten Adlishah yang berada di tengah-tengah ballroom ikut sama terbuai dengan alunan lagu tersebut sedikit rancak.

Usai persembahan itu tamat, Sultan Sulaiman berkalih pandang pada isteri pertamanya, Permaisuri Sarah yang dilihat tersenyum lebar. Ia adalah satu pemandangan yang sudah lama tidak dilihatnya akan isterinya itu. Malah dia juga mula perasan, wajah Permaisuri Sarah sangat berseri-seri pada malam itu sehinggakan parut yang selalunya jelas kelihatan pada tepi wajah permaisuri itu seakan menghilang ditelan senyuman lebar isterinya.

"Adinda, mari kita menjamu selera," ajak Sultan Sulaiman. Tangannya menghulur untuk membantu Permaisuri Sarah bangun daripada takhta.

Permaisuri Sarah hanya mengangguk dan bangun daripada kerusi takhta. Pasangan itu kemudian berjalan beriringan ke meja santapan utama bersama-sama tetamu kehormat lain untuk menikmati makan malam pada majlis itu. Dalam pada itu, Permaisuri Dara yang berada di belakang mereka mula merasakan dirinya seperti tidak diendahkan.

"Duduk di sini adinda." Sultan Sulaiman menarik kerusi buat Permaisuri Sarah.

Permaisuri Sarah mengambil tempatnya di sebelah Permaisuri Rohana daripada kerajaan Bianglala Biru bersama puterinya yang duduk di sebelah kiri. Manakala Permaisuri Dara pula duduk di sebelah kanan Sultan yang mana sedikit jauh daripada Permaisuri Rohana dan lain-lain tetamu.

"Tuanku permaisuri, saya sangka kita tidak akan bertemu." Permaisuri Rohana menghulur tangan berjabat salam dengan Permaisuri Sarah.

"Oh jangan kata begitu. Saya memang nak datang hari ini demi bertemu Engku Rohana dan anakanda Puteri Mewangi. Takkanlah saya tidak mahu bertemu dengan bakal menantu saya ini, kan?"

Puteri Mewangi yang duduk di sebelah bondanya itu hanya mampu tersipu malu. Dia menoleh ke kiri dan kanan mencari kelibat Kapten Adlishah, namun keberadaan lelaki itu tiada di mana-mana.

"Baguslah kalau tuanku permaisuri mahu bercakap tentang hal itu. Saya memang sudah lama di sini, ternanti-nanti juga bila perkara ini akan dibincangkan oleh kita semua. Sudah terlanjur di sini, lebih baik kita bincangkan saja, bukan?" kata Permaisuri Rohana.

Sultan Sulaiman terangguk-angguk setuju. "Betullah tu, saya sebenarnya memang tunggu isteri saya hadir bersama. Barulah lengkap nak berbincang mengenai hal mereka. Dayang! Panggilkan anakanda saya Adlishah untuk makan bersama."

Dayang Lini yang mendengar arahan Sultan Sulaiman itu dengan pantas bergerak ke tengah dewan mengarah para pengawal mencari keberadaan putera raja itu. Masa-masa ini jugalah dia nak hilang!

Tidak sampai lima minit kemudian, Kapten Adlishah tiba namun dia memilih untuk tidak duduk di meja berkenaan dan hanya berdiri di belakang bondanya. Kapten Adlishah yang kelihatan patuh dengan kehendak sultan untuk hadir ke meja tersebut bertentang mata dengan Puteri Mewangi, namun pada masa yang sama fikirannya seakan menerawang ke tempat lain.

"Anakanda, rasanya tidak perlu ayahanda dan bonda perjelaskan lagi mengenai kamu dan Puteri Mewangi, kan?" kata Sultan Sulaiman sambil mengambil beberapa ketul ayam daripada mangkuk hidangan dan meletakkan ia ke pinggan Permaisuri Sarah.

"Ya ayahanda," balas Kapten Adlishah sambil menunduk.

Dalam pada itu, Permaisuri Dara yang melihat layanan Sultan Sulaiman kepada isteri pertamanya membuatkan dia tidak senang duduk. Hatinya bagai dicincang-cincang. Makanan di pinggan pun masih belum dijamahnya lagi!

Dunia Sebelah SanaWhere stories live. Discover now