BAB 1

7 0 0
                                    

2023 - PASCA COVID-19

JENDELA dikuak, buka. Dina memandang sepi suasana di luar bilik yang pernah didiami oleh arwah adiknya, Dania.

Sudah seminggu Dania meninggalkan dia dan ayah. Namun tidak sedikit pun rasa sedih itu menghilang di hatinya. Mungkin terlalu awal untuk dia pulih daripada kesedihan itu.

Masakan tidak, dia telah mula menggalas tanggungjawab menjaga arwah adiknya itu semenjak dia berusia 10 tahun lagi. Pada ketika itu, Dania pula berusia tujuh tahun. Dialah yang menyuap Dania makan setiap hari, menukar pakaian adiknya itu dan membawa Dania bersiar-siar di taman depan rumah jika berkelapangan.

Orang sekelilingnya selalu mengatakan yang Dania tidak mampu bertahan sehingga dewasa atau lebih tepat ke usia 18 tahun oleh kerana penyakit misteri yang dialaminya. Ramai juga yang mengagak Dania akan meninggal muda, namun ternyata tanggapan mereka salah.

Adiknya meninggal ketika di usia 20 tahun. Dania sempat melihat Dina menggenggam segulung ijazah diploma. Dania juga sempat melihat Dina mendapat pekerjaan pertamanya walaupun sekadar pelayan di kedai kopi terkenal.

Malah Dania berada lebih lama di sisinya daripada ibu mereka yang pergi terlebih dahulu.

Dina mengesat air mata panas yang mengalir di pipi. Dia mengambil beberapa helai selimut yang sudah dilipat kemas di atas katil dan membawanya keluar dari kamar itu.

Kakinya mengatur langkah ke dapur dan seterusnya memasuki ruangan dobi di dalam rumah. Kesemua selimut tadi disumbat masuk ke dalam mesin basuh. Ia adalah selimut bertekstur lembut yang disukai Dania.

Sebaik Dina keluar daripada bilik dobi, matanya dialihkan ke meja makan yang berada di ruang tengah dapur. Kelihatan Mak Cik Safura tersenyum manis memandangnya.

"Dah sarapan? Kalau belum, mak cik ada gorengkan bihun siam. Makanlah panas-panas ni," jemput Mak Cik Safura.

Bihun siam itu disenduk dan letak di atas pinggan pyrex putih bercorak bunga-bunga biru. Lalu Mak Cik Safura menyuakan ia ke tangan Dina.

Dina tidak sempat menolak pelawaan Mak Cik Safura. Sebenarnya perut Dina masih terasa sebu. Dia tidak dapat menelan apa-apa makanan kerana masih teringatkan Dania.

"Ayah dah bangun ke mak cik?" kata Dina sambil menarik kerusi meja makan untuk duduk. Dia menggulung-gulung bihun tersebut dengan garpu dan menyuapkan ia masuk ke mulut. Sedap tetapi terasa berat untuk dikunyah.

"Sudah. Mak cik dah pun beri dia makan. Nanti tengah hari sikit mak cik nak bawa dia ke klinik. Check-up bulanannya kan, hari ini," kata Mak Cik Safura sebelum menyuap segulung bihun ke mulutnya pula.

Dina mengeluh berat. Bihun itu memang tak lepas ke tekaknya. Ia terasa mual dan mahu saja dia luahkan keluar, namun demi menghormati Mak Cik Safura yang sudah bersusah payah menyediakan sarapan untuknya, Dina menelan dengan rasa terpaksa.

"Terima kasih mak cik sebab selalu tengokkan ayah. Sejak mama tak ada, ayah seperti orang tak ada daya. Dina sebenarnya banyak terhutang budi dengan mak cik sekeluarga sebab tolong tengokkan ayah selalu," kata Dina.

"Zamarul itu kan adik mak cik juga. Mak cik kenalah jaga, Dina. Kita keluarga, kalau kita ada masalah, kita kena sama-sama selesaikannya."

Dina tersenyum kelat. Keluarga. Mungkin bagi ibunya, mereka bukan keluarga. Sebab itulah ibunya memilih untuk menghilang?

Bihun di pinggan Dina tinggal separuh. Dia mengambil lebihan bihun dan menolak ia masuk ke dalam bekas mangkuk pyrex yang lebih besar.

"Dah kenyang," kata Dina. "Nanti Dina sambung makan lagi. Dina nak kemaskan lagi bilik arwah tu dan simpan kerusi rodanya di bilik bawah."

"Bilik bawah?" Wajah Mak Cik Safura berubah serta merta. "Tak payahlah. Tinggalkan saja di bilik arwah. Bilik bawah tu dah lama orang tak masuk. Kotor dan berhabuk. Ei! Macam-macam lagilah."

Senyuman merekah di bibir Dina apabila mendengar pelbagai alasan daripada mak ciknya itu yang menghalangnya pergi ke bilik bawah yang juga asalnya bilik makmal ayah.

Seingat Dina, dia hanya masuk ke bilik itu setahun sekali sahaja. Selain membersihkannya daripada habuk, dia juga memeriksa barang-barang di dalam bilik itu jika ada yang rosak. Bilik itu akan ditinggalkan sehinggalah tiba tahun baharu dan bilik itu akan dibersihkan lagi.

"Alah bukan ada apa-apapun, mak cik. Bilik tu tak ada hantulah! Bilik tu cuma gelap dan banyak habuk aje. Kalau kita kerap masuk dan bersihkan, tak adalah bilik tu nampak seram sangat," balas Dina.

Mak Cik Safura hanya mampu akur dengan penjelasan Dina. Yang penting Dina tidak mengajaknya untuk turun ke bawah. Dia lebih rela mengemas satu rumah sebesar dua tingkat itu daripada mengemas satu bilik di tingkat bawah yang pernah menjadi makmal adiknya.

***

DINA memusing tombol bulat pintu bilik makmal ayahnya. Hama kecil menusuk masuk ke dalam rongga hidung membuatkan Dina terbersin dua tiga kali.

Dengan pantas Dina menyeluk poket seluar palazzo hitamnya dan mengeluarkan sapu tangan kecil berwarna merah jambu. Air jernih yang mengalir daripada hidung dilap ringkas.

Sinaran matahari menerobos masuk ke dalam bilik itu melalui satu tingkap kecil di belah kirinya mencucuk mata Dina. Kelihatan samar-samar juga barang milik ayahnya yang sudah berhabuk.

Komputer lama, tembikar kaca yang tidak digunakan lagi dan ratusan kertas putih berlonggok di atas lantai simen yang sudah tebal habuknya.

Dina menjenguk keseluruhan ruang bilik jika masih ada tempat untuk dia simpan kerusi roda milik arwah adiknya. Bilik itu kelihatan padat dan berbau kepam. Kalau seseornag itu ada alahan terhadap habuk yang teruk, mungkin sudah pijar mata dan bernanah tekak mereka akibat bersin tak henti-henti.

Mata Dina meliar lagi ke sudut kanan bilik itu, kelihatan sebuah platform kecil berbentuk empat segi dengan penutup kaca yang sudah lompong sana sini. Sekilas pandang ia kelihatan seperti kotak menyimpan patung mainan namun panel yang ada di hadapan platform itu terlihat sangat futuristik.

Ada pelbagai butang berwarna merah, biru, hijau dan kuning. Malah tertera juga tulisan 'Machina Tempus' di sudut tepi platform itu.

Setiap kali Dina memasuki bilik itu, dia pasti terpegun dengan mesin itu. Dia pernah bertanya kepada ayahnya tentang kegunaan mesin tersebut. Namun Zamarul tidak pernah memberi jawapan.

Lelaki itu hanya diam dan tidak mahu memberi reaksi apa-apa. Pernah juga ayahnya marah bila dia terlalu banyak bertanya mengenai mesin itu. Mesin itu kata Mak Cik Safura adalah saksi kejadian hari kehilangan ibunya.

Ramai yang mendakwa ayahnya jadi gila kerana mesin itu. Pernah juga ada yang menuduh ibunya hilang kerana dibunuh ayahnya sendiri dek kerana mesin itu. Namun hasil siasatan polis mendapat tiada bukti yang menunjukkan ayahnya berbuat sedemikian walaupun ramai yang berpandangan sebaliknya.

Dina mengesat air hangat yang mengalir ke pipi mulusnya apabila mengingat situasi getir itu. Dia, ayah dan Dania bagaikan hilang arah bila ibu mereka tiada. Wan Daria adalah manusia yang paling bersemangat yang pernah Dina kenal.

Pernah juga Dina menyalahkan ayahnya dan percaya dengan kata-kata orang. Kalau benar ayah tidak melakukannya, kenapa ayah mendiamkan diri. Membantah kata orang pun tidak, mengiyakan pun tidak. Kenapa?

"DINA!"

Bagaikan spring kepala Dina tertoleh ke belakang. Kelihatan Zamarul berjalan dalam keadaan bertongkat mendekatinya dengan riak membengis. Ayahnya mengangkat tongkat kayunya lalu mengarah ke muka Dina.

"KELUAR! Jangan dekat dengan benda tu!"

Degupan jantung Dina berdetak kencang. Dia tidak pernah melihat ayahnya sebengis itu. Malah dengan kudrat lemah yang ayahnya ada kini, Dina tidak menyangka lelaki itu terlihat begitu berdaya untuk mengangkat tongkat kayu setinggi itu.

Dunia Sebelah SanaWhere stories live. Discover now