Bab 11

1 0 0
                                    

HARI ini hari Ahad. Genap dua hari Sultan Sulaiman berada di luar negara atas urusan melawat ke beberapa negara jiran. Sepanjang masa itulah juga Permaisuri Dara Halina menghabisi masanya dengan bersantai di istana dan juga keluar mengiring Permaisuri Rohana dan anakandanya, Puteri Mewangi ke keliling ibu kota Malaysia 2 iaitu Gema Sakti.

Disebabkan hari ini hari Ahad, permaisuri itu hanya mahu menghabisi masanya di kediamannya sahaja dan tidak mahu berbuat apa-apa. Tambahan pula katanya, Sultan Sulaiman bakal pulang hari ini ke ibu negara. Jadi dia harus mengumpul tenaga yang cukup untuk tampil segar dan cantik di hadapan suaminya itu.

Lalu pada hari Ahad ini, Permaisuri Dara memilih untuk bangun lewat. Jam berdiri antik yang diperbuat daripada kayu jati yang terletak di kamarnya itu sudah berdenting beberapa kali menandakan ia sudah masuk jam 12 tengah hari.

Namun, Permaisuri Dara masih nyenyak tidur di atas tilam dan bantalnya yang empuk bersarungkan cadar satin berwarna emas. Sleep mask berwarna putih yang masih terletak di matanya sudah cukup menandakan bahawa permaisuri itu masih belum bersedia untuk bangun daripada lenanya yang panjang.

Krap! Langsir di kamarnya ditolak buka. Para dayang memasuki kamar permaisuri itu dan menarik selimutnya turun. Mereka juga meletakkan segelas air putih di meja tepi katil bertiang empat itu.

"Tuanku, tuanku permaisuri. Sudah pukul 12 ni. Dayang utama minta kami kejutkan tuanku supaya tuanku boleh jemput sultan pulang dari airport hari ini," kata Dayang Alina dalam nada takut-takut.

Permaisuri Dara menolak buka sleep mask yang dipakainya dan menoleh ke jendela yang sudah terang benderang cahaya dari luar masuk ke dalam kamar itu.

"Dah pukul 12? Cepatnya," kata Permaisuri Dara sambil menggeliat. Dia kemudian bingkas bangun dan duduk di gigi katil.

Robe berwarna putih dipakaikan ke tubuhnya. Dia kemudian meneguk segelas air putih yang diletakkan dayang sebentar tadi di tepi katil. Matanya masih terasa kabur dan terpisat-pisat. Lama sungguh dia tidur sampai badan terasa lemau-lemau.

"Siapkan air mandian saya. Saya nak ke bilik tamu dulu dan kamu pilihkan baju yang sesuai untuk saya ya?" kata Permaisuri Dara lagi sambil mengikat rambut ikal mayangnya berwarna hitam menjadi sanggul toncet di atas kepala.

Kasut berbulu putih disarung Permaisuri Dara dan kakinya diarahkan ke bilik tamu yang berada di sebelah kamar rasminya. Sebaik dia masuk sahaja ke bilik itu, tangannya mencapai alat kawalan jauh dan dia membuka saluran utama di televisyen. Punggung dihempas duduk ke atas sofa lembut berwarna hitam.

Rancangan di televisyen biasa-biasa sahaja pada pagi itu. Dia menukar ke beberapa saluran sehinggalah jarinya berhenti menekan apabila sarapan pagi dihantar masuk ke dalam bilik itu. Ia berupa air susu dan sesikat pisang bersama beberapa biji blueberry.

"Rancangan apalah ini." Permaisuri Dara menggeleng-geleng. Namun sebaik sahaja jarinya ingin menekan ke saluran lain, tiba-tiba gerak jarinya terhenti.

Imej yang muncul pada skrin televisyen 58 inci itu membuatkan dia agak terkejut dan keliru seketika. Kelihatan seorang wanita berbaju kebarung berwarna kundang sedang menyantuni anak-anak kecil daripada rumah anak yatim di Seputeh Bayu. Wanita itu memakai tudung bawal berwarna lilac yang diikat kemas dan menutupi bahagian dada.

Yang paling mengejutkan Permaisuri Dara ialah wajah wanita itu hanya nampak bersahaja dan cantik dengan solekan tipis tanpa warna-warna berat di wajah. Wanita itu juga kelihatan sangat ceria dan kemesraannya dengan rakyat jelata juga tidak dibuat-buat.

"Apa ni?" Permaisuri Dara mendekati televisyen tersebut. Dia menyentuh skrin itu bagaikan tidak percaya.

"Dayang! Dayang!" panggilnya dengan nada hampir histeria. Terkocoh-kocoh beberapa orang dayang masuk ke dalam bilik tamu itu.

Dunia Sebelah SanaWhere stories live. Discover now