PERMAISURI SARAH MARLINA melihat batang tubuhnya yang terbias di cermin panjang dalam kamar persiapan khas buat permaisuri.
Baju kebaya labuh berwarna putih dengan corak sulaman berkerawang berwarna emas itu benar-benar bakal menyerlahkan dirinya buat malam tari menari yang diadakan di Istana Sahmura hari ini.
Qori yang bertungkus lumus menyiapkan permaisuri itu mengambil selendang putih bersulam emas dan meletakkan ia ke atas kepala permaisuri yang sudah lengkap memakai tudung berwarna putih. Selendang dengan jenis kain organza itu dipinkan ke atas tudung bawal dan selebihnya dibiarkan jatuh hingga ke betis. Manakala lebihan kain di sebelah kanan pula diselitkan ke tepi lengan Permaisuri Sarah.
"Macam ada yang kurangkan?" tanya Qori kepada Dina.
Dina yang memerhati dari tepi melihat semula batang tubuh Permaisuri Sarah dari hujung kepala hingga ke hujung kaki yang memakai sepatu tinggi berwarna putih.
"Crown?" kata Dina.
"Oh ya! Mahkota!" Qori membawa keluar beberapa koleksi mahkota permaisuri yang tersimpan elok di dalam kaca.
Dina agak terkejut melihat reka bentuk mahkota yang dikeluarkan Qori. Semuanya terlalu besar dan ia kelihatan sangat lama serta ada yang sudah berkarat.
"Tak ada yang baharu?" tanya Dina. Wajahnya cuba membuat mimik pelik tapi dia cuba mengawalnya dengan melemparkan senyuman kerana tidak mahu permaisuri tersinggung lagi dengan perilakunya seperti apa yang berlaku pagi tadi.
Qori menggeleng. "Tapi... saya ada bawa perhiasan kepala."
"Tunjukkan. Mana tahu ada yang okey."
Qori membawa keluar beberapa perhiasan kepala seperti sanggul lintang, gandik, cucuk sanggul dan perhiasan telinga. Tidak cukup dengan itu, di dalam kota besinya yang juga tersimpan gelang tangan dan pending serta dokoh yang begitu klasik rupanya.
"Wah, ini macam barang muzium!" Mata Dina bersinar-sinar melihat perhiasan yang dibawa Qori.
"Ini barang butiklah! Mungkin lepas ini tuanku bolehlah tambah koleksi perhiasan. Patik tengok perhiasan yang tuanku ada semuanya sudah ketinggalan zaman," kata Qori dengan berhati-hati.
Permaisuri Sarah hanya ketawa kecil mendengarnya. Dia kemudian menuding jari pada gandik emas yang mempunyai lapan buah manik-manik halus yang tergantung di bawahnya.
"Saya nak cuba yang itu dan pending emas yang ada batu permata tu," kata Permaisuri Sarah.
Dina dan Qori membantu permaisuri memakai aksesori tersebut dengan cermat sekali. Apabila semuanya sudah selesai, Permaisuri Sarah sekali lagi berdiri di depan cermin melihat dirinya yang telah berubah lebih daripada apa yang dia sangkakan sebelum ini.
"Bagaimana tuanku?" tanya Dina yang berharap semuanya disukai permaisuri itu.
"Saya suka. Terima kasih sebab bantu saya untuk malam ini," kata Permaisuri Sarah. "Beginilah, saya rasa sebaiknya awak pergi dulu ke majlis itu untuk melihat keadaan. Saya akan pergi dengan kenderaan daripada sultan. Jadi saya akan tiba sedikit lewat."
Dina membeliakkan mata. Dia melihat pakaian yang dipakainya. Baju kurung cotton pagi tadi yang sudah busuk dan tidak menyerlah langsung itu tidak sesuai untuk menghadiri majlis tari menari tersebut.
"Saya nak pergi dengan siapa tuanku?" tanya Dina yang mahu memberi alasan untuk tinggal di istana sahaja jika tiada orang yang mahu membawanya ke sana.
"Dengan Adlishah, anakanda saya. Adlishah!" Permaisuri Sarah memanggil anakandanya.
"Ya bonda." Kapten Adlishah yang memasuki bilik persalinan itu terkejut melihat penampilan bondanya yang sangat mempersonakan.

YOU ARE READING
Dunia Sebelah Sana
FantasyCinta merentas masa mungkin kita pernah dengar. Bagaimana pula dengan cinta merentas dimensi? Wan Dina Maisara kehilangan ibunya saat dia berusia 10 tahun lagi. Wanita itu hilang entah ke mana, manakala ayahnya pula dituduh menjadi punca kehilangan...