PERMAISURI DARA HARLINA sudah tiba di Istana Sahmura hampir sejam yang lalu. Namun sehingga kini dia tidak mahu keluar daripada kenderaannya dan terperuk di kereta jenis limosin itu tanpa sebarang bicara.
Ramzi selaku pengawal yang bertugas mengiringi permaisuri kedua itu tidak berani bertanya kenapa. Dia selalunya tidak membantah kata-kata permaisuri dan apa sahaja kehendak wanita itu dia turutkan sahaja tanpa banyak kata. Namun kali ini, gelodak hati Ramzi merasa ada yang tidak kena. Ingin sahaja dia ringankan mulut bertanya kenapa, namun lidahnya bagaikan terkunci tidak terkeluar kata-kata.
"Permaisuri utama sudah tiba atau belum?" Permaisuri Dara tiba-tiba bersuara.
"Belum tuanku. Mungkin dalam perjalanan ke sini," jawab Ramzi ringkas.
Permaisuri Dara menarik nafas dalam dan kemudian menghembus perlahan-lahan. "Saya nampaknya tak boleh tunggu lagi. Kita kena keluar dahulu dan bertemu dengan tetamu dan juga Permaisuri Rohana serta anakandanya. Mereka sudah pasti lama menunggu."
"Benar tuanku." Ramzi membukakan pintu buat Permaisuri Dara. "Tuanku, kalau boleh saya tanya."
"Hmm, apa?"
"Kenapa tuanku tidak mahu keluar dari tadi?"
Permaisuri Dara meletakkan tangannya ke kepala. Fikirannya tiba-tiba terasa berat. "Entahlah, saya dapat rasa ada yang tak kena dan ada sesuatu yang akan berlaku hari ini."
"Tuanku fikirkan tentang permaisuri utama ke? Bagi saya dia tiada tandingannya dengan tuanku. Tuanku sendiri tahu tentang hal itu, bukan?"
Permaisuri Dara hanya terdiam. Dia teringat akan penampilan Permaisuri Sarah yang dipaparkan dalam siaran langsung di televisyen beberapa hari lepas.
"Saya tahu tapi, saya rasa dia ada rancangan yang kita tak tahu. Lagi satu, kamu dah siasat tentang wanita yang tinggal bersama dia tu? Yang Tengku Adlishah bawa ke istana tempoh hari?"
"Kami belum dapat apa-apa mengenai wanita itu, tuanku. Dia jarang sekali keluar dan tiada siapa yang mengenalinya," jawab Ramzi.
"Pastikan kamu siasat dengan lebih teliti. Saya yakin wanita itu pun pasti datang ke majlis ini, pada malam ini."
Permaisuri Dara yang sudah bosan menunggu terus berjalan masuk ke dalam istana menggunakan pintu belakang. Lorong yang dimasukinya bersama para pengiring kemudian membawanya terus naik ke ballroom tempat di mana majlis diadakan.
Sebelum pintu ballroom dibuka, Permaisuri Dara memberi isyarat agar dia diberikan masa seminit untuk memperbetulkan pakaiannya.
Isteri kedua kepada Sultan Sulaiman ini memakai sepersalinan baju kebaya labuh berwarna merah yang berkain renda dengan butiran batu memenuhi busana itu. Kain pelayang dengan jenis kain renda yang sama juga dipakaikan ke atas kepalanya yang menutupi sanggul dan kemudian memanjang hingga menyeret lantai.
Permaisuri Dara memakai tiara kecil di atas kepalanya dan kakinya disarungkan kasut tumit tinggi tiga inci yang berwarna kelabu. Dia kemudian menarik kain kecil yang tersangkut di tepi pelayang kepala dan menutupi separuh daripada wajahnya.
"Sekarang awak boleh buka," arah Permaisuri Dara.
***
PUTERI MEWANGI tidak senang duduk melihat ke kiri dan kanan. Dia mencari sosok tubuh yang membuatkan hatinya teringat-ingat sejak hari pertama menjejakkan kaki ke negara asing ini.
Tidak puas hati kerana pandangannya terhalang, Puteri Mewangi bangun daripada kerusinya dan mula menjengketkan kaki. Sepasang matanya terpandang pada seorang jejaka yang kelihatan tampan berbaju Melayu kelabu. Lelaki itu kelihatan sedang berbicara dengan seorang gadis yang tidak kurang cantiknya juga.
YOU ARE READING
Dunia Sebelah Sana
FantasyCinta merentas masa mungkin kita pernah dengar. Bagaimana pula dengan cinta merentas dimensi? Wan Dina Maisara kehilangan ibunya saat dia berusia 10 tahun lagi. Wanita itu hilang entah ke mana, manakala ayahnya pula dituduh menjadi punca kehilangan...