KEDENGARAN burung-burung bersiulan dari luar kamar wad yang menempatkan Dina. Cahaya matahari yang terang benderang juga mulai meninggi dan menerobos masuk ke dalam wad berkenaan.
Terpisat-pisat mata Dina cuba menghalang bahang kepanasan itu yang mula menyengat di kelopak mata. Perlahan-lahan kelopak matanya dibuka dan Dina melihat keadaan sekeliling.
'Ah aku kat sini lagi, ingatkan semalam itu mimpi!'
Kantuk yang masih bersisa membuatkan Dina menguap sepenuh hati dan mula menggeliat ke kiri dan ke kanan. Namun belum sempat dia mengalihkan badan, matanya tertancap pada susuk tubuh seorang lelaki yang sedang tersengih melihat tingkah lakunya itu.
"Ah!" Dina menjerit terkejut. "Kau buat apa kat sini?"
"Dah bangun?" Kapten Adlishah tersenyum meleret.
"Dah lama awak di situ?"
Kapten Adlishah menggaru-garu dagunya. "Adalah dekat sejam."
Dina cepat-cepat memperbetulkan pakaian dan rambutnya yang sudah kusut. Dia memandang ke keliling dinding kamar wad itu. Kali ini dia ditempatkan di wad dengan dinding batu berwarna putih dan bukan lagi dinding kaca transparen sebelum ini.
"Sekarang jam berapa?" tanya Dina.
Kapten Adlishah mengerling ke jam digitalnya. "Tepat 9.00 pagi. Sebenarnya ada banyak perkara yang ingin saya bincangkan dengan Cik Dina."
"Sebelum itu, saya nak tanya. Awak beragama Islam?" tanya Dina tiba-tiba.
Seingat dia, semenjak di sini dia langsung tidak menunaikan solat. Sepanjang hari dia pengsan dan apabila tersedar, dia dikejutkan dengan pelbagai hal hingga membuatkan dia pengsan semula.
"Err, ya saya Muslim. Kenapa?"
"Saya nak solat. Boleh pinjamkan saya telekung?"
Kapten Adlishah bagaikan tidak percaya dengan apa yang diminta Dina. Tidak disangka dalam keadaan terumbang-ambing seperti ini, Dina masih mengingati Tuhan.
"Ya sebentar, saya minta dengan nurse."
Usai Dina qada' solat-solat yang tertinggal, Kapten Adlishah menghulurkan sepersalinan baju kurung kain satin biru yang tidak bercorak kepadanya. Dia menyuruh wanita itu menukar pakaian.
Dina menurut tanpa bertanya lebih panjang meskipun sejujurnya dia berasa lemas memakai baju kurung dan lebih suka jika diberi t-shirt dan jeans biasa.
"Begini, semasa awak pengsan semalam, kami dah ambil darah awak dan buat ujian DNA. Hasil ujian mendapati yang awak tiada ahli keluarga di negara ini dan kami menyimpulkan yang awak kemungkinan besar dari negara luar," jelas Kapten Adlishah panjang lebar.
Berkerut dahi Dina mendengarnya. Selama dia dilahirkan sehinggalah berusia 23 tahun, dia tidak pernah ke luar negara walaupun sekali.
"Look, saya memang orang Malaysia. Saya dilahirkan di Kuala Lumpur. Ayah dan ibu saya dua-dua berasal dari Kedah. Saya dibesarkan di Putrajaya.
"Sepanjang saya hidup, saya tak pernah ke Singapura atau Indonesia atau Thailand. Itu negara yang paling dekat dengan Malaysia. Bila awak cakap dengan saya, awak ada dengar saya cakap dengan slanga negara lain ke sampai awak kata saya orang luar?" bidas Dina bak peluru berpandu.
"Kami buat ujian dan ini hasil kajian yang terperinci berdasarkan sains."
"Sains awak salah," kata Dina pantas memotong kata Kapten Adlishah.
"Cuba awak beritahu saya macam mana awak ke sini?"
Dina menggeleng. "Saya tak ingat. Yang saya tahu saya pegang remote ayah lepas tu mesin tu tarik saya ke sini."
YOU ARE READING
Dunia Sebelah Sana
FantasyCinta merentas masa mungkin kita pernah dengar. Bagaimana pula dengan cinta merentas dimensi? Wan Dina Maisara kehilangan ibunya saat dia berusia 10 tahun lagi. Wanita itu hilang entah ke mana, manakala ayahnya pula dituduh menjadi punca kehilangan...