ZAMARUL perlahan-lahan mengatur langkah masuk ke biliknya semula dengan tongkat kayu disepitkan ke ketiak sebelah kanan.
Dia menolak daun pintu kayu itu dengan kuat. Tongkatnya pula dibuang ke katil. Zamarul berdiri tegak dan berjalan seperti biasa, seakan-akan dia tidak pernah sakit sebelum ini.
Pandangannya matanya terarah pada meja solek yang dahulunya pernah menjadi tempat paling disukai Wan Daria. Wan Daria gemar bersolek dan memakai gincu berwarna merah tetapi tidak terlalu pekat. Dia hanya melayang-layangkan gincu itu sekadar ingin menampakkan bibirnya kelihatan kemerahan, namun bukan merah pekat.
Bayang-bayang gelagat Wan Daria seakan bermain di hadapan matanya. Namun cepat-cepat Zamarul tepis semua kenangan itu apabila dia mengingatkan kejadian yang berlaku pada malam itu.
Memang kalau ikutkan hatinya, dia ingin menghabisi nyawa Wan Daria. Namun dia tidak melakukannya kerana terlalu mencintai wanita itu. Ingatan pada malam itu menerjah ke minda Zamarul.
***
2010 - 13 TAHUN YANG LEPAS...
"DARIA! Apa ini semua?" Zamarul tersedar daripada lenanya. Dia mengangkat kepalanya daripada meja tempat dia melepaskan lelah bila penat melakukan kerja di waktu malam.
Wan Daria dilihat memegang kayu besbol dan tangannya habis berdarah terkena serpihan kaca daripada mesin buatan Zamarul yang telah dipecahkannya.
"Aku pecahkannya. Aku dah tak tahan lagi!" jerkah Wan Daria.
"Kau tahu kan, mesin itu segala-galanya bagi aku! Aku korbankan kehidupan, masa, darah dan kerjaya hanya nak cipta benda tu!"
"Lalu kami ini apa? Aku ini apa? Aku dah penat, Zamarul. Penat memikirkan cara bagaimana kita harus hidup untuk hari mendatang. Kita lupakan semua ini dan reda saja jika itu takdir Dania. Kita reda saja, Zamarul."
Wan Daria jatuh terduduk. Dia sudah terlalu penat memikirkan masalah kesakitan Dania dan wang yang perlu mereka keluarkan untuk membayar rawatan anak itu.
Manakala Zamarul hanya fikirkan soal mesin itu saja yang entah apa fungsinya. Angan-angan Zamarul kononnya untuk selamatkan Dania menggunakan mesin itu hanya tinggal omongan kosong.
"Kau, kau tak boleh cakap macam tu! Aku cakap kita akan usaha, kita akan usaha!"
Wan Daria tiba-tiba bingkas berdiri. Dia mengambil semula kayu besbol yang dia jatuhkan tadi. Matanya mencerlung pandang Zamarul dengan perasaan marah yang mendalam.
"Usaha? Ini kau cakap usaha?" Kayu besbol di tangan Wan Daria diarahkan ke mesin tersebut yang sudah lompong penutup kacanya.
Tanpa berfikir panjang, Wan Daria menghayunkan sekali lagi kayu besbol itu ke penutup kaca mesin itu. Kesabarannya sudah di tahap akhir. Habis berserakan kaca di atas lantai makmal tersebut.
Zamarul yang melihat kejadian itu pula jadi menggigil menahan marah. Tanpa berfikir panjang, dia menolak Wan Daria jatuh ke lantai dan mula mencekik wanita itu dengan sekuat hati.
Wajah Wan Daria mula memucat. Manakala Zamarul pula bagaikan kerasukan. Kedua-duanya seperti sudah tidak dalam diselamatkan lagi.
***
ZAMARUL menepuk-nepuk mukanya setiap kali ingatan itu kembali menerjah. Dia tidak boleh menerima kenyataan perkara itu berlaku dan dia telah melakukannya kepada Wan Daria, isteri yang paling dia cinta.
Dia tidak mahu perkara yang sama terjadi pada Dina. Dina satu-satunya anak yang dia ada sekarang selepas pemergian Dania.
Dina memang salin tak tumpah wajahnya seperti Wan Daria. Cantik, bijak dan mempunyai semangat keazaman yang sangat tinggi. Dina juga tidak pernah mengalah dalam apa sahaja perkara yang dia lakukan.
Jika Dina berminat dengan mesin itu, sudah pasti Dina juga akan berusaha untuk mencari tahu mengenai dengan apa yang berlaku pada malam itu.
Zamarul takkan biarkan perkara itu berlaku. Dia takkan biarkan perkara yang sama menimpa Dina pula.
***
SUASANA panas membahang pada waktu malam yang juga dikenali sebagai malam tropika itu membuatkan Dina tidak dapat melelapkan mata.
Bajunya basah dengan peluh dan tilamnya pula terasa seperti kuali hitam yang sedang dipanaskan. Dina memutuskan untuk menukar gaun tidurnya ke warna putih daripada warna maroon yang menyerap lebih banyak haba.
Ingatan Dina masih mengimbau kepada apa yang berlaku pagi tadi. Ayahnya kelihatan sangat berbeza. Tidak lemah seperti selalunya dan sangat marah dengan tindakan Dina mendekati mesin itu.
Apa yang ada pada mesin itu yang membuatkan ayahnya terlalu marah? Adakah kerana ia mempunyai kaitan dengan kehilangan ibunya?
Dina menjadi sangat curiga dengan kelakuan ayahnya. Dia mahu melihat mesin itu sekali lagi. Namun kali ini dia harus melakukannya secara senyap-senyap.
Dina mengatur langkah ke bilik makmal itu bertemankan lampu iPhone di tangan. Dia menyuluh ke tombol pintu dan memulasnya dengan perlahan-lahan. Langkah diatur masuk ke dalam bilik itu dengan sangat berhati-hati. Dia tidak mahu mengejutkan ayahnya yang berada di bilik bersamaan tingkat atas makmal itu.
Lampu bilik tersebut dipetik buka. Dina mengatur langkah ke arah mesin tersebut.
'Apa yang mengganggu ayah sehingga dia tak bagi aku ke sini?' getus hati Dina.
Tangannya memegang bahagian cermin mesin itu yang berlompong dan dia kemudian menunduk ke arah panel mesin itu di bahagian platform.
"Machina Tempus? Time machine dalam bahasa Latin?" Dahi Dina berkerut dalam.
Matanya kemudian teralih pada sesuatu yang kelihatan tertonjol keluar dari bawah platform mesin itu. Tangannya masih ke bawah platform dan menggagau untuk membawanya keluar.
Kelihatan satu peranti seperti alat kawalan jauh televisyen dengan butang pelbagai warna. Dina membelek-belek depan serta belakang peranti itu dan dek kerana begitu berminat tentang kegunaannya, dia telah menekan butang merah besar yang bertulis 'Launch' pada alat kawalan jauh itu.
Tak semena-mena mesin di hadapannya bagaikan bergegar sendiri. Dina mengundur ke belakang terkejut dengan apa yang berlaku. Gegaran pada mesin itu makin lama makin menguat. Ayahnya pasti akan tersedar daripada tidur.
Dina cuba menekan butang-butang lain pada alat kawalan jauh itu tetapi satu pun tidak mengubah keadaan yang sedang berlaku sekarang. Dina sudah mati akal untuk berbuat apa-apa lagi.
Dia mendekati mesin itu dan memegang ia kuat-kuat dengan harapan ia berhenti. Tiba-tiba Dina merasa tubuhnya seakan melayang-layang ditarik satu daya yang berada pada panel mesin itu.
Dina melihat kedua-dua belah tangannya. Kulitnya seakan tertarik-tarik seperti jeli. Zapppp! Dina lenyap. Lenyap ditelan mesin itu!
YOU ARE READING
Dunia Sebelah Sana
FantasyCinta merentas masa mungkin kita pernah dengar. Bagaimana pula dengan cinta merentas dimensi? Wan Dina Maisara kehilangan ibunya saat dia berusia 10 tahun lagi. Wanita itu hilang entah ke mana, manakala ayahnya pula dituduh menjadi punca kehilangan...