"APA?! Saya tak salah dengar kan?"
Dina terpempan mendengar kisah yang keluar daripada mulut Kapten Adlishah. Lelaki segak berbaju kehormat polis berwarna putih ini bukan calang-calang lelaki dan bukan juga pegawai polis biasa. Dia adalah pewaris bagi kerajaan Malaysia 2 dan juga anak kepada Sultan Sulaiman, pemerintah negara ini!
Sejenak Dina berasa dirinya di awang-awangan kerana impian bertemu dengan putera raja akhirnya menjadi kenyataan. Di Malaysia 1, peluang bertemu dengan anak raja atau kerabat di raja sesebuah negeri itu memang satu dalam seribu kerana mereka semestinya mempunyai kehidupan sendiri dan sering dikelilingi oleh bodyguard setiap masa.
Lainlah kalau anak-anak kerabat diraja ini turun padang dan bertemu dengan rakyat dalam satu majlis rasmi. Masa itulah mungkin rakyat kebanyakan boleh berjumpa dengan mereka dan beramah mesra.
"Ya betul." Kapten Adlishah terpaksa mengakuinya. Wajah teruja yang ditonjolkan Dina membuatkan dia terasa sedikit malu.
"Jadi bonda awak, maksud saya tuanku ialah... Permaisuri Sarah Marlina yang kita lihat di skrin banner pintu masuk ke wilayah hari tu kan?" tanya Dina lagi teragak-agak.
"Saya rasa tak perlulah ber 'tuanku' dengan saya. Awak panggil saya kapten macam biasa," kata Kapten Adlishah. "Dan jawapannya, ya itu bonda saya."
"Seperti saya katakan tadi, bonda saya... dia mengalami masalah untuk bertemu dengan rakyat jelata. Dia juga mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri kepada pemerintah kerajaan ini. Sekarang ini, kebanyakan tugas dibuat oleh bonda tiri yang mana dia juga menunggu masa untuk menjatuhkan bonda saya," jelas Kapten Adlishah.
Dina berminat mendengar permasalahan yang dihadapi Kapten Adlishah dengan lebih lanjut. Baginya, bukan senang nak dengar kisah dalaman mengenai keluarga diraja. Tak sangka pula keluarga diraja di Malaysia 2 ini penuh dengan drama.
"Apa yang bonda kapten perlukan ialah sokongan dan rasa percaya diri. Saya rasa bonda kapten rasa rendah diri sebab keadaan fizikal wajahnya dan kurangnya sokongan daripada orang sekeliling seperti suaminya sendiri, Sultan Sulaiman.
"Kalau bonda kapten betul-betul nak buat kemunculan semula kepada rakyat, kita kena buat kemunculan semula itu sebagai sesuatu yang bakal diingati ramai dan sekaligus buat orang ramai lupa atas apa yang pernah berlaku kepada tuanku permaisuri sebelum ini," kata Dina panjang lebar.
"Macam mana kita nak buat macam itu? Macam mana kita nak buat bonda saya lebih menonjol daripada bonda tiri saya?" Kapten Adlishah berminat mengetahui lebih lanjut.
"Tuanku permaisuri pasti ada advisor... maksud saya penasihatnya tersendiri kan?"
Setahu Dina, golongan artis, menteri mahupun orang kenamaan terutama sekali mereka yang berpangkat tinggi seperti Sultan atau Permaisuri sudah semestinya mempunyai beberapa orang penasihat yang membantu mereka dalam membuat keputusan mahupun menjaga penampilan mereka apabila bertemu dengan orang ramai.
Jadi ia merupakan perkara biasa untuk orang kenamaan seperti ini mempunyai kakitangan perhubungan awam mereka tersendiri dalam menguruskan hal-hal sebegitu bagi menjaga imej diri supaya sentiasa kelihatan terbaik di hadapan orang ramai.
Kapten Adlishah yang sedari tadi mendengar pertanyaan Dina itu hanya terdiam. Setahunya, bonda tidak mempunyai sebarang penasihat. Segalanya diuruskan bondanya seorang diri. Lainlah kalau Permaisuri Dara, apa sahaja yang bonda tirinya tidak ada. Semua yang wanita itu mahu, pasti akan ditunaikan ayahandanya.
"Bonda saya tak ada sesiapa. Dia memang dari dulu lagi dia menguruskan hal berkaitan dirinya seorang diri," jawab Kapten Adlishah.
"She needs one now! Kalau dia nak berubah, dia perlukan seseorang untuk bantu dia tonjolkan diri kepada orang awam. Dia perlukan PR!" kata Dina dengan nada terkejut. Bagaimana seorang permaisuri hidup tanpa sebarang pembantu atau penasihat? Patutlah wanita yang disegani rakyat itu hidup dalam keadaan terumbang-ambing begitu.
YOU ARE READING
Dunia Sebelah Sana
FantasiCinta merentas masa mungkin kita pernah dengar. Bagaimana pula dengan cinta merentas dimensi? Wan Dina Maisara kehilangan ibunya saat dia berusia 10 tahun lagi. Wanita itu hilang entah ke mana, manakala ayahnya pula dituduh menjadi punca kehilangan...