CUACA panas mencecah 30 darjah celsius membuatkan tubuh Tengku Adrishah berpeluh-peluh dengan luar biasa sekali.
Usai bersenam di gim, dia duduk di hadapan pool dekat dengan kamarnya untuk mengambil angin seketika sebelum mandi. Namun rehatnya sedikit terganggu apabila menerima mesej daripada bondanya yang meminta anak kedua Sultan Sulaiman itu untuk hadir ke Istana Sahmura bersantap makan tengah hari bersama baginda sultan.
Lalu Tengku Adrishah bergegas mandi dan menyiapkan diri dengan segak sekali. Baru dua hari lepas dia pulang dari Dubai dan penat pulang daripada percutian itu masih bersisa lagi.
Harapannya dapatlah dia berehat di rumah persendirian miliknya tanpa diganggu sesiapa dalam seminggu ini, namun perkara itu hanyalah khayalan semata-mata. Permintaan bondanya untuk dia hadir menghadap sultan hari ini sudah semestinya hal penting kerana jarang-jarang bonda mengganggunya jika dia baru pulang bercuti.
"Bonda," tegur Tengku Adrishah yang segak berpakaian jubah putih yang baru dibelinya dari Dubai.
"Ah anakanda dah tiba! Mari ikut bonda," kata Permaisuri Dara sambil menarik lengan anaknya masuk ke ruangan bersantap.
"Kenapa bonda? Bonda tahu kan anakanda baru sahaja pulang dari Dubai dua hari lepas. Anakanda tak sempat nak berehat lagi," keluh Tengku Adrishah.
"Ayahanda kamu sudah bertanya tentang kamu dari beberapa hari lepas lagi. Bonda tak mahu dia lupakan kamu. Sudahlah susah betul nak jumpa dengan kamu ni. Asyik keluar negara saja."
Sebaik mereka memasuki ruang santap tersebut, Tengku Adrishah mengangkat sembah dan menyalami ayahandanya yang berdiri di tepi meja makan.
Mereka tiga beranak kemudian menjamu selera selepas kesemua makanan selesai dihidangkan para dayang. Sambil bersantap, mata Tengku Adrishah tak lepas daripada memandang setiap dayang yang keluar masuk daripada dapur. Dia tercari-cari seseorang yang sudah lama dia tidak jumpa sejak dua bulan lepas.
"Adrishah," panggil Sultan Sulaiman.
"Haa? Apa ayahanda?" Tengku Adrishah terkejut tiba-tiba namanya dipanggil.
"Ayahanda dah buat keputusan mahu mengahwinkan abang kamu dengan Puteri Mewangi dari Bianglala Biru. Kamu sudah ada calon jugakah untuk bernikah?" tanya Sultan Sulaiman.
"Belum." Tengku Adrishah menunduk. Soalan tersebut membuatkan hatinya berasa berat.
"Bonda kamu sudah adukan banyak hal mengenai kamu kepada ayahanda. Namun setiap kali ada saja perkara yang berlaku, bonda kamu juga antara orang sentiasa cuba melindungi kamu.
"Ayahanda tak mahu memberatkan fikiran bonda kamu lagi dengan ulah kamu yang macam-macam. Jadi ada baik juga kalau kamu bernikah saja supaya kamu tidak lagi dilihat dengan berlainan wanita setiap hari," kata Sultan Sulaiman tegas.
"Ayahanda... saya belum bersedia ke arah itu."
Permaisuri Dara mengerling ke anak lelakinya. "Anakanda jangan cakap yang anakanda masih ingatkan perempuan itu?"
Tengku Adrishah berhenti makan. Dia bingkas bangun daripada kerusi dan membersihkan tangannya. Dengan perasaan marah yang masih bersarang di hati, dia keluar dari Istana Sahmura tanpa sebarang kata.
Permaisuri Dara dan Sultan Sulaiman tercengang melihat kelakuan Tengku Adrishah. Langsung hilang hormatnya kepada sultan dan permaisuri hanya kerana seorang wanita.
Saat Tengku Adrishah berjalan keluar daripada pekarangan istana itu, bahunya terlanggar bahu Kapten Adlishah yang juga dikenali sebagai Tengku Adlishah, abangnya. Kepalanya terangkat dan Tengku Adrishah cepat-cepat berjalan ke depan.
YOU ARE READING
Dunia Sebelah Sana
FantasyCinta merentas masa mungkin kita pernah dengar. Bagaimana pula dengan cinta merentas dimensi? Wan Dina Maisara kehilangan ibunya saat dia berusia 10 tahun lagi. Wanita itu hilang entah ke mana, manakala ayahnya pula dituduh menjadi punca kehilangan...