Bab 9

1 0 0
                                    

ISTANA DIAMANTE

KEDIAMAN PERMAISURI DARA HALINA

TITIS-TITIS air hujan yang menitik pada malam itu menimbulkan bulatan besar dan kecil di dalam kolam yang tenang dipenuhi ikan koi pelbagai warna itu.

Permaisuri Dara Halina yang duduk di dalam pondok kecil yang dibina berhadapan dengan kolam tersebut hanya termenung tanpa berbuat apa-apa. Pandangannya kosong dan fikirannya juga melayang-layang entah ke mana.

Hatinya tiba-tiba terasa sayu pada malam itu dan berkurung di istana tanpa berbuat apa-apa hanya akan membuatkan dia bertambah sedih. Tiada apa yang mampu membuatkan hatinya gembira selain melihat ikan koi tersebut berenang-renang di dalam kolam. Namun akibat hujan, kebanyakan ikan itu menyorok di bawah jambatan kecil yang dibina merentasi kolam tersebut.

Untuk meredakan hatinya yang sayu, boleh sahaja dia ke Istana Sahmura bersama suaminya di sana. Namun Sultan Sulaiman pula tidak ada di istana dua ke tiga hari ini kerana ada lawatan rasmi di negara luar. Lalu apa yang boleh dia lakukan hanyalah terperuk di istana megah ini pada waktu malam tanpa sebarang aktiviti yang bermakna sehinggalah hujung minggu ini, di mana majlis tari menari akan diadakan di istana utama bagi meraikan kepulangan mereka Permaisuri Rohana dan anakandanya itu.

"Tuanku!"

Permaisuri Dara berpaling dan kelihatan seorang lelaki lengkap berbaju Melayu putih berdiri di tepi pondoknya meminta izin untuk masuk.

"Ada apa Ramzi?" Permaisuri Dara memberi kebenaran.

"Saya ada satu benda nak disampaikan berkenaan Permaisuri Sarah."

"Katakan saja."

"Petang tadi ada yang nampak anakandanya, Tengku Adlishah tiba di Istana Karunia membawa seseorang ke sana."

Permaisuri Dara menaikkan keningnya. "Siapa?"

"Seorang wanita. Tapi kami pun tidak kenal siapa dia."

"Wanita? Untuk apa?"

Ramzi hanya menggeleng tanda tidak tahu. "Yang kami tahu selepas itu Tengku Adlishah pulang bersendirian tanpa membawa wanita itu bersamanya. Kemungkinan wanita itu tinggal di istana permaisuri utama."

Permaisuri Dara mengusap-usap dagunya memikirkan sesuatu. "Dia dah ada calon isteri lain ke?"

"Maksud tuanku, Tengku Adlishah sudah ada pilihan hati yang lain dan menolak untuk kahwini Puteri Mewangi?" Ramzi membuat tebakan.

"Hmm, terlalu awal untuk kita berteka-teki. Tak apa, teruskan memantau keadaan di istana itu. Buat masa ini jangan bertindak apa-apa. Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku," kata Permaisuri Dara dengan senyuman senget terukir di bibir.

***

ISTANA KARUNIA

KEDIAMAN PERMAISURI SARAH MARLINA

MALAM yang sejuk membuatkan Dina bergumpal di dalam selimut di kamar tamu istana milik bonda Kapten Adlishah. Dia masih tidak boleh melelapkan mata.

Pandangannya terarah pada siling kamar itu yang mempunyai corak-corak kerawang bermotifkan bunga raya. Meskipun istana ini kecil, namun setiap sudut istana ini dihiasi dengan perincian seni yang sangat indah. Pasti orang yang membuat istana ini sangat tekun dan bersungguh-sungguh dalam menyiapkan hasil kerjanya.

Tubuh Dina berkalih ke sebelah kanan katil pula. Dari situ dia dapat lihat jendela yang tertutup rapat dengan bayangan cahaya lampu yang bergemerlapan datangnya daripada kediaman orang kenamaan yang dia bersama Kapten Adlishah lalu petang tadi.

Dunia Sebelah SanaWhere stories live. Discover now