PESAWAT khas yang membawa Sultan Sulaiman Ibrahim, pemerintah Malaysia 2 mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Gema Putra.
Sebaik sultan itu turun menjejak tanah airnya, pengiringnya, Datuk Baharom datang mendekat sambil membawa sebuah peranti tab di tangan.
"Tuanku sultan, patik ada perkara yang nak disampaikan ni," katanya dalam keadaan berbisik ke telinga Sultan Sulaiman.
Sultan Sulaiman yang tersenyum menghadap beberapa orang wartawan dan rakyat jelata yang berada di lapangan terbang itu hanya mengangguk memberi peluang kepada Datuk Baharom untuk berbicara.
Datuk Baharom menghulurkan peranti di tangannya ke tangan sultan itu. Sultan Sulaiman kemudian meneliti imej yang terkeluar daripada skrin kaca peranti itu. Matanya terbuka luas dan jejarinya menguis-nguis cuba membesarkan imej agar ia kelihatan lebih jelas.
"Apa ini?" Sultan Sulaiman menoleh ke arah Datuk Baharom meminta penjelasan. "Ini permaisuri kan?"
"Benar tuanku." Datuk Baharom mengangguk.
Gambar yang muncul di peranti itu memaparkan susuk tubuh Permaisuri Sarah sedang menyantuni warga Rumah Kasih Sayang. Wajah Permaisuri Sarah yang tersenyum manis itu membuatkan Sultan Sulaiman sedikit tersentak. Belum pernah dia melihat wajah isterinya begitu berseri-seri sejak sekian lama ini.
"Dari mana awak dapat gambar ini? Bila gambar ini dirakam?" kata Sultan Sulaiman. Dia memberhentikan langkahnya saat berada di hadapan kenderaan rasmi.
"Saya dapat tadi daripada pegawai yang bertugas mengiringi permaisuri. Ia dirakam awal pagi ini, tuanku."
"Hari ini? Kenapa saya tidak tahu isteri saya ada buat lawatan rasmi ke sini? Tak ada yang beritahu saya pun." Wajah Sultan Sulaiman ternyata mengukir kemurkaan.
"Sebenarnya, kami pun tidak tahu. Ia dilakukan agak last minute. Semuanya perancangan Tengku Adlishah, tuanku."
Sultan Sulaiman menarik nafas dalam-dalam. Dia sejujurnya tidak marah, malah dia lebih menyukai isterinya berubah menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Namun dia agak terkejut kerana semuanya berlaku dengan begitu drastik. Tambahan pula, dia langsung tidak diberitahu mengenai perkara tersebut. Hatinya ternyata tersinggung.
"Malam ini ada majlis tari menari itu bukan?"
Datuk Baharom mengangguk. Malam ini merupakan hari majlis tari menari bagi meraikan kepulangan Permaisuri Rohana dan Puteri Mewangi ke negara mereka, Bianglala Biru.
"Pastikan Permaisuri Sarah Marlina hadir. Hantar kereta untuk menjemputnya datang. Katakan kepada dia, ia adalah arahan daripda sultan yang murka dan berasa tersinggung dengan sikapnya yang tidak memaklumkan mengenai lawatan kebajikan hari ini," kata Sultan Sulaiman dengan nada tegas. Dia kemudian masuk ke dalam kereta tanpa berbicara lebih lagi.
Datuk Baharom hanya mampu mengangguk faham. Dia kemudian tersenyum sendiri melihat gelagat sultan yang bagai si kekasih merajuk akan teman wanita itu. Mungkin hubungan Permaisuri Sarah dan sultan itu masih boleh diselamatkan.
***
ISTANA KARUNIA
KEDIAMAN PERMAISURI SARAH MARLINA
PERKHABARAN yang dibawa daripada baginda sultan agak mengejutkan Permaisuri Sarah Marlina. Malah Dina yang mendengar bait-bait kata daripada Datuk Baharom yang membawa berita tersebut juga berasa kecut perut.
Dia tidak mahu menjadi penderhaka sultan di dunia yang ini. Masakan di dunia yang sana pun dia tidak berani hendak meninggalkan komen yang bukan-bukan mengenai kerabat diraja di media sosial. Inikan pula di dunia yang bukan dunia asalnya. Takut kalau-kalau hukumannya berat dan boleh menjerumuskan Dina ke penjara buat selama-lamanya.
"Saya faham tuanku permaisuri mungkin merasa agak terkejut dengan apa yang saya katakan ini, tapi percayalah apa yang dikatakan tuanku sultan itu hanya di mulut sahaja. Di hatinya mungkin berbeza," jelas Datuk Baharom dengan penuh santun.
Mata si pengiring sultan itu tak lepas daripada memandang wajah permaisuri yang kelihatan manis dengan solekan tipis di muka. Sudah lama dia tidak melihat Permaisuri Sarah bersiap cantik sedemikian rupa.
"Saya faham apa yang datuk sampaikan. Beritahu kepada dia yang saya akan hadir. Saya pun mahu juga kenal dengan puteri yang dikatakan bakal calon isteri anakanda saya itu," kata Permaisuri Sarah.
Datuk Baharom tersenyum menerima jawapan Permaisuri Sarah. Dia kemudian cepat-cepat pulang kerana ingin membawa berita tersebut kepada sultan dan ingin membuat perancangan lebih lanjut mengenai majlis malam ini. Lebih banyak kerusi nampaknya perlu ditambah di balairung seri memandangkan permaisuri utama bakal hadir.
YOU ARE READING
Dunia Sebelah Sana
FantasyCinta merentas masa mungkin kita pernah dengar. Bagaimana pula dengan cinta merentas dimensi? Wan Dina Maisara kehilangan ibunya saat dia berusia 10 tahun lagi. Wanita itu hilang entah ke mana, manakala ayahnya pula dituduh menjadi punca kehilangan...