Bab 3

3 0 0
                                    

DAHI Zamarul basah dengan keringat peluh. Dia seakan-akan ditimpa mimpi yang maha dahsyat. Malah lebih mengejutkan, dia telah tersedar tidur dek kerana mendengar sebuah bunyi yang kuat berasal dari bilik makmalnya.

Zamarul perlahan-lahan mengangkat tubuhnya yang lesu itu bangun dari pembaringan. Dia mencapai tongkat di tepi katil dan bingkas ke pintu bilik.

Kakinya mengarah ke bilik Dina. Alangkah terkejutnya dia apabila kamar itu dibuka, ia kosong tanpa penghuni. Hati Zamarul mula bergelodak pelbagai rasa. Dia dapat mengagak ada sesuatu yang tidak elok bakal berlaku.

Tanpa berlengah dia terjengket-jengket melangkah ke tangga menuju ke bilik makmal. Jantungnya berdebar kencang saat memulas pintu bilik itu. Dia menolak pintu bilik itu dengan berhati-hati.

"Dina! Dina!" Zamarul memanggil.

Keadaan bilik itu kelihatan berselerak. Kertas berterbangan dan jatuh ke atas lantai. Mesin binaan Zamarul pula kelihatan bergegar-gegar tanpa henti.

Terbeliak mata Zamarul melihatnya. Dia mengangkat tongkat di tangan dan mengetuk-ngetuk mesin tersebut sehingga pecah kesemua penutup kaca yang masih tersisa di mesin itu.

"Mesin gila! Gila! Apa kau dah buat dengan Dina?!"

Zamarul jatuh terjelepuk ke lantai. Sakit dada mula menyerang kuat. Tangannya terasa kaku dan lidahnya terasa kelu. Dalam kepayahan dia mengeluarkan telefon Samsung dan mula mendail nombor kakaknya, Wan Safura.

"Dina dah hilang. Kejadian 10 tahun lepas kembali berulang..." gumam Zamarul.

***

WILAYAH SEPUTEH BAYU

KESULTANAN SULAIMAN IBRAHIM 2023

TUBUHNYA terbujur kaku di atas padang pasir yang luas terbentang. Tidak terganggu oleh apapun kecuali desiran angin yang menghembus perlahan ke wajahnya dan lengan yang tidak ditutupi kain baju.

Tanpa dia sedar, dia kini berada di wilayah yang terkenal dengan pusat perindustrian, perladangan dan perikanan yang menjadi sumber makanan bagi negara itu. Sebahagian daripada sumber-sumber ini juga telah diimport ke luar negara kerana hasilnya yang berlebihan.

Namun satu perkara yang menarik dengan wilayah ini, ia mempunyai kawasan padang pasir sebesar dua buah padang bola dan berdekatan dengan Pantai Harapan yang menjadi pusat perikanan negara tersebut.

Dari kejauhan, dua orang lelaki berpakaian baju Melayu lusuh dengan dengan kain pelikat menyelubungi kepala berjalan mendekatinya.

Kaki mereka yang melangkah masuk ke padang pasir itu menimbulkan kesan lekukan pada tanah dan mereka agak terkejut apabila melihat sekeliling wanita itu tiada satupun kesan tapak kaki yang menandakan si dia ada berjalan masuk ke dalam kawasan itu.

"Siapa ni? Macam mana boleh ada di sini?" tanya lelaki yang berbaju Melayu biru pucat.

Rakannya tergaru-garu kain yang tersangkut di kepala. "Entah! Tak ada pula tanda-tanda diangkat dan diletakkan di sini."

"Dia jatuh dari langit?"

Rakannya tersengih dan menggeleng. "Mungkin... ini kes jenayah! Cuba kau periksa nadi dia, masih hidupkah?"

Lelaki berbaju Melayu biru itu meletakkan jari telunjuk dan tengahnya pada leher wanita itu. Terasa denyutan nadi perlahan berdegup.

"Hidup! Telefon polis. Kita biar mereka saja yang siasat," putus lelaki itu.

Tak sampai 10 minit mereka menghubungi polis, beberapa orang anggota polis sudah berada di tempat kejadian dan mereka mengarahkan pihak ambulans membawa wanita itu ke hospital.

Dunia Sebelah SanaWhere stories live. Discover now