PERMAISURI DARA duduk bersantai di hadapan televisyen di bilik tamu. Sambil-sambil itu, dia mengambil beberapa biji kacang yang tersedia di atas meja kecil di hadapan televisyen dan mengunyah untuk mengisi masa lapangnya.
Tiba-tiba pintu bilik tamu itu ditolak buka, anakandanya, Tengku Adrishah melangkah masuk dengan wajah marah. Dia bercekak pinggang melihat tingkah laku bondanya yang bagaikan endah tidak endah akan kehadirannya di situ.
"Bonda," panggil Tengku Adrishah tegas.
"Ya anakanda ada apa?" Permaisuri Dara yang dilihat memakai blaus biasa bersama seluar ala bootcut hitam dengan rambutnya diikat ponytail ke belakang itu menggesek-gesek kedua-dua belah tangannya yang dipenuhi habuk kacang.
Pakaian Permaisuri Dara agak jauh berbeza daripada pakaian kebiasaan penduduk di Malaysia 2 yang berbaju kurung walaupun ketika bersantai di rumah. Pakaiannya itu dijahit khas oleh pereka fesyen terkenal negara.
"Bonda tahu mana dayang itu?" tanya Tengku Adrishah dalam nada tegang.
"Dayang yang mana?"
"Bonda jangan berdalih. Adri tahu bonda tahu siapa yang anakanda cakapkan ini." Tengku Adrishah bagaikan hilang sabar dengan sikap bondanya. Dia tahu wanita itu sedang menyembunyikan sesuatu yang dia tidak tahu.
Permaisuri Dara mengerutkan dahinya. Dia tahu siapa yang Tengku Adrishah maksudkan tetapi dia sengaja tidak mahu menyebutnya.
"Bonda! Tolong jangan buat anakanda begini. Bonda tahukan anakanda mencari dayang itu ke sana, ke mari." Puncak amarah Tengku Adrishah sudah sampai ke tahapnya.
"Untuk apa anakanda cari dia lagi?" Permaisuri Dara bangun daripada sofa. Dia berdiri bertentangan dengan Tengku Adrishah.
"Anakanda ingin bertanggungjawab. Anakanda juga tahu, Dayang Intan... bonda pasti sudah lakukan sesuatu kepadanya. Dia tidak ada di Istana Sahmura!" tebak Tengku Adrishah.
Permaisuri Dara tersenyum sumbing. "Anakanda, dayang di istana kita pun bonda tak terurus hal mereka, ada pula masa bonda nak uruskan dayang di Istana Sahmura."
"Bonda, tolonglah beritahu anakanda sebelum anakanda bertindak di luar kawalan. Mungkin anakanda tak dapat mengahwininya, tapi sekurang-kurangnya berilah anakanda kesempatan untuk bertanggungjawab ke atas anak yang dikandung Dayang Intan!" luah Tengku Adrishah.
Permaisuri Dara menjeling tajam anakandanya yang dianggap sangat menyusahkan. Banyak perkara yang dilakukan Tengku Adrishah masih boleh dimaafkan dan diselesaikan olehnya dengan pelbagai cara. Tapi masalah yang ini, paling berat untuk seorang ibu sepertinya lalui.
"Bonda sudah uruskan berkenaan anak itu. Anakanda tak perlu fikirkan lagi."
"Uruskan bagaimana bonda?" Tengku Adrishah jadi makin cemas. Dia takut ada perkara tak elok yang sudah dilakukan bondanya.
"Anakanda sudahlah... keluar dan tenangkan diri. Tinggalkan bonda sendirian," arah Permaisuri Dara.
Tengku Adrishah memaksa kakinya melangkah keluar dari bilik tamu itu. Jauh di sudut hatinya, dia tahu hanya satu orang ini sahaja yang boleh membantunya dengan ikhlas. Dia harus bertemu dengan abang tirinya, Tengku Adlishah demi menyelesaikan masalah ini.
***
ISTANA KARUNIA
KEDIAMAN PERMAISURI SARAH MARLINA
KAPTEN ADLISHAH tiba di istana bondanya dengan membawa dua orang individu yang mampu mengubah penampilan Permaisuri Sarah yang sekarang ini menjadi sesuatu yang berbeza sebentar nanti.
YOU ARE READING
Dunia Sebelah Sana
FantasíaCinta merentas masa mungkin kita pernah dengar. Bagaimana pula dengan cinta merentas dimensi? Wan Dina Maisara kehilangan ibunya saat dia berusia 10 tahun lagi. Wanita itu hilang entah ke mana, manakala ayahnya pula dituduh menjadi punca kehilangan...