PROLOG

64 3 2
                                    

“Tolong!!!”

Kuat kedengaran  suara meminta tolong. Berselang-seli dengan nada merayu. “Tolong. Lepaskan aku! Lepaskan aku! Jangan buat aku macam ni.”

Badan digerakkan berulang kali. Cuba melepaskan diri. Tak berjaya bahkan mengundang perit serta letih; letih setelah berulang kali bergelut dengan tali yang mengikat tubuh. 

“Tolong! Lepaskan aku!” Sekali lagi dia menjerit melolong meminta bantuan. Namun telinga hanya menjamah suara cengkerik. Saling beradu kenyaringan dengan katak dan kelawar. Sesekali kedengaran suara sang riang-riang. Petanda kegelapan malam ini milik mereka.

Air mata pun jatuh tak tertahan. 

Dalam sendu tangis yang beraja mata Nesreen membulat. Cuba mengenal pasti tempat dia berada. Sungguh dia tak nampak apa-apa. Keadaan yang gelap-gelita ini mengundang debaran maha hebat. Dia takut sehingga tak mampu menghela nafas dengan lancar. 

Di mana dia sekarang ini. Kenapa tubuhnya diikat. Siapa yang buat dia begini. Sungguh orang itu begitu zalim. Sanggup memperlakukan dirinya bagaikan penjenayah. 

Dia bukan siapa-siapa. Tak ada harta. Tak ada rupa. Hanya gadis biasa yang mengharapkan kebahagiaan sehingga ke akhir masa. Namun dia tak nampak cahaya bahagia. Mereka yang membawanya ke tempat ini telah memadam cahaya kebahagiaan sebelum sempat hendak dinyalakan. 

Tubuhnya menggigil ketakutan. Air mata pula tak berhenti meluruh. Pun begitu mata tetap melilau ke sana sini. Walau tak nampak dia tetap hendak melihat. 

Tiba-tiba…. 

“Bướm.”

Pantas tubuhnya meremang sejuk. Rambut-rambut halus sudah tegak berdiri. Dia tersentak. 

Ada suara berbunyi. Dia tak pasti. Kedengaran panjang namun lemah. 

“Bướm.”

Sekali lagi suara itu memanggil. Terus kepalanya menoleh ke kiri ke kanan. Mencari arah bunyi yang kedengaran namun tak dapat dikenal pasti kerana suara sang  unggas begitu kuat bersahutan. Berselang-seli dengan suara angin yang berhembus kuat. 

Dalam rasa takut, Nesreen pandang sana sini. Tiba-tiba guruh berdentum. 

“Allah!”

Serta-merta kalimat keramat itu terbit dari mulutnya. Pantas air matanya mencurah laju. Namun berhenti mengalir apabila hidung menghidu bau hanyir. Isi di dalam perut mula bergelora. Saling berebut hendak menerjah keluar dari mulutnya. Dia berusaha menahan agar tidak terkeluar. Dia tak suka muntah. Dia tak suka baunya. Dia juga tak suka bila hidungnya perit. Lantas, 

“Kau siapa? Keluar! Jangan buat aku macam ni,” jeritnya sekuat hati. 

Tak semena-mena suasana gelap tadi mulai cerah. Walaupun hanya disirami cahaya suam itu sudah lebih dari cukup. Namun apa yang terbentang di depan mata begitu mengelirukan. Dada pula berdebar kuat. Tangan digerakkan. Cuba melepaskan ikatan. Sayang, hanya kesakitan yang dia dapat. 

Melihat suasana sekarang dia yakin dia bukan berada di dalam hutan. Bangunan terbengkalai ini memberi petanda dia masih di tempat yang sama. Toleh ke kanan dan ke kiri. Cuba mencari orang yang menyalakan mentol di depan.

“Kau siapa? Keluar!” jerit Nesreen sekuat hati. Serentak itu kerusinya dipusing dan berhenti pada susuk tubuh yang tertiarap lemah.

“Argghhh!”

Laju mulutnya menjerit kuat. Mata dipejam. Tak sanggup hendak melihat susuk tersebut. Tubuh yang hanya dibaluti kemeja putih itu lencun dengan darah merah. Patutlah hidungnya menghidu bau hanyir. Rupa-rupanya bau itu datang dari susuk tersebut. Sungguh dia bersimpati. Namun susuk itu tak dikenali kerana kepala sehingga ke paha tersarung dengan guni jut berwarna coklat muda. Lelaki atau perempuan dia tak pasti.

bye bye, BUTTERFLY (Freeze dulu!) Where stories live. Discover now