"Selamat petang bos." ucap pembantu peribadi saat Thăng sedang berdiri tegak memandang awan gelap yang berarak perlahan. Nampaknya hujan akan turun dan bumi Ho Chi Minh akan basah seketika nanti. Namun itu hanyalah tekaan sahaja. Apa yang tuhan telah tentukan tak terjangkau dek akal manusia. Apa yang diteka, apa yang diharap selalunya jarang mengena.
"Dah call Tiến. Jadi ke dia nak balik minggu ni?" soal Thăng lantas melangkah ke meja dan menutup komputer riba yang dipasang sedari tadi.
"Maaf, bos. Saya dah call banyak kali. Sejak semalam panggilan tak dijawab," jawab pembantu peribadinya lantas menekur ke bawah. Thăng menghela nafas lemah dan tidak menunggu lama. Berikan beg berisi komputer riba kepada gadis berbaju kebangsaan Vietnam itu lalu melangkah ke muka pintu.
"Esok saya masuk lambat ke pejabat. Jadi sebelum perjumpaan dengan wakil dari Malaysia pastikan semua dokumen sudah siap sepenuhnya,"pesan Thăng seperti pagi tadi juga.
Hue mengangguk dengan senyuman manis. Sebelum pergi Thăng balas dengan senyuman juga. Kaki di arah sehingga ke lobi bangunan. Kelihatan pemandu sudah sudah siap menunggu di sebelah kereta.
"Tak payah hantar. Saya nak ke Kampung Cham Sunni, jumpa ong dengan mai," ujar Thăng dan pemandunya terus tunduk hormat lalu meninggalkan bangunan. Thăng pula segera masuk ke dalam dan mula memandu sehingga ke hujung sempadan Bien Hoa.
Melalui jalan besar hampir 45 minit. Kemudian memandu pula di atas jalan bengkok-bengkok tidak berturap selama 10 minit. Akhirnya dia tiba di sebuah rumah papan yang tidak bercat. Dari dalam kereta bibir pun terlarik senyum. Melihat sepasang suami isteri yang terkedek-kedek berjalan hati melonjak bahagia. Tentu pasangan suami isteri itu baru balik dari surau.
“Lambat balik,” sapa Thăng sebaik sahaja keluar dari perut kereta.
Mai Sumayyah yang sudah menyedari kemunculan anak muda itu memandang dengan wajah ceria. Begitu juga dengan Ong Talip.
"Dah petang ni. Kenapalah datang. Kan esok kamu kerja?" soal Mai Sumayyah hairan namun hati tetap mengalu-alukan. Ong Talip di sebelah pula gelengkan kepala. Anak muda itu langsung tidak penat. Habis bekerja rela ke mari.
"Thăng memang kerja. Lepas makan malam dengan mai, dengan ong, Thăng balik lah," balas lelaki itu lantas mengucup tangan tua milik ong dan mai. Suami isteri itu pula dengan langkah tua menjejak anak tangga lantas labuhkan punggung di jemuran. Sebelum mengekori Thăng mengambil makanan yang disediakan pemandu sebelum bertolak ke mari tadi. Bawa naik ke atas lalu diletakkan di hadapan orang tua tersebut.
“Dari surau ke? Dah lewat sangat ni, ong.” Lihat jam yang melilit lengan. Sudah jam 5.18 petang. Sejam lagi akan tiba waktu maghrib.
"Ya Thăng. Ong baru habis berbincang dengan imam surau dan juga orang dari badan kebajikan wilayah kita. Hari raya ketiga nanti orang dari Malaysia datang nak serahkan lembu korban."
Pantas dahi Thăng berlapis sebaik mendengar cerita Ong Talip. “Yayasan Nazir ke?” teka Thăng dan Ong Talip mengangguk ria.
“Siapa lagi yang selalu hantar bantuan. Bagi sedekah.”
Thăng mengangguk. Dia memang tahu. Malah dia cukup kenal dengan Yayasan tersebut. Tak pernah gagal menghantar bantuan. Tak kira apa saja. Cuma satu saja yang buat dia musykil.
"Rasanya dah lama tak hantar bantuan." Dahi Thăng berkerut.
"Hari tu kan covid," jawab Ong Talip.
Thăng mengangguk. “Memang. Tapi rasanya sebelum covid lagi mereka tak datang bagi sedekah.” Kepalanya terangguk-angguk mengingati semua kebaikan yang dihulurkan orang Malaysia.

YOU ARE READING
bye bye, BUTTERFLY (Freeze dulu!)
RomanceKisah antara dua negara. Inspired daripada CRASH LANDING ON YOU. Inspired je ye. Bukan tiru. Bukan plagiat. Jalan cerita pun lain. Kena bacalah ya.