Budi pekerti apa lagi yang hendak ditunjuk jika yang datang ke rumah ini bagaikan musang berbulu ayam. Abi tidak tahu dan dia tidak akan sesekali berkongsi apa yang ada dalam hatinya. Cukuplah kalau dia tunjukkan sakit hatinya melalui protes. Akan dia protes sehingga abi sendiri sedar emas yang dia bawa hanyalah besi berkarat semata. Lalu pagi ini, selepas berjumpa ibu di kamar dia menuruni anak tangga untuk keluar lagi.
"Reen nak ke mana?" sapa Ustaz Nazir yang sudah siap hendak ke pejabat. Yayasan Nazir sudah terlalu lama tidak dijenguk orang tua itu. Hanya mendapat khabar berita daripada Ustaz Borhan sebagai pelapor setiap masa.
Nesreen tidak menjawab. Sebaliknya tergesa-gesa ke muka pintu. Ambil kasut bertumit tinggi 3 inci di dalam almari sebelah kiri lalu sarungkan ke kaki.
"Reen nak pergi mana pagi-pagi macam ni?" soal Ustaz nazir sekali lagi dengan suara yang sedikit kuat.
Pelik pula dengan perangai Nesreen. Biasanya kalau matahari tak tegak atas kepala anaknya itu tak akan keluar dari bilik. Hari ini lain pula. Pagi-pagi lagi kelam-kabut hendak meninggalkan rumah. Muka pun macam pisang nangka muda. Nak kata masam sangat tidak. Nak kata kelat pun tak juga.
Ustaz Nazir mengekori.
Nesreen pula tak menjawab. Buat ayahnya macam orang luar. Dengan cepat melangkah ke garaj. Tarik picu pintu kereta tetapi tak terbuka. Pantas gagau kunci dalam tas tangan.
Tak ada!
Terus muka kelat masam itu menoleh ke arah Ustaz Nazir.
“Bagitahu abi dulu. Reen nak ke mana. Baru abi bagi kunci," ujar Ustaz Nazir kerana Nesreen sudah tahu di mana kunci tersebut berada.
Pantas pula muka bulat tersebut tunjuk muncung sedepa.
Ustaz Nazir sengetkan bibir.
Semalam, setelah ribut di dalam rumah reda, pemandunya muncul membawa kunci kereta yang ditinggalkan Nesreen di dalam Ativa. Anak daranya itu suka sangat tinggalkan barang penting ikut suka hati. Kalau begini gayanya memang Nesreen tak boleh jauh daripadanya.
“Cakaplah nak pergi mana?” soal Ustaz Nazir sudah lembut. Pandang muka anaknya dengan mata bersinar-sinar.
"Nak pergi cari kerja."
Serta-merta dahi Ustaz Nazir berkerut. Jawapan balas anaknya mengundang hairan dalam hati. "Bukan Reen nak urus Yayasan abi ke?"
Nesreen buat muka tak suka.
"Excuse me, abi. Reen ada cita-cita Reen sendiri. Reen nak jadi pegawai bank. Duduk dekat bank. Bukan jadi pengurus kat yayasan abi. Kalau nak duduk bawah ketiak abi je buat apa Reen amik perbankan."
Lemah jantung Ustaz Nazir kalau Nesreen mula menjawab. Semua orang akan kalah. Tapi hari ini, dia akan pastikan dia yang menang. Bukan Nesreen.
"Baik. Abi izinkan.”
Muka Nesreen yang kelat-kelat masam sudah senyum. “Tapi….” Pantas saja wajah Nesreen kembali ke corak asal.“Kalau abi nak bertapi-tapi baik tak payah. Bak kunci kereta Reen sini.” Dengan lagak degil Nesreen cuba menyeluk poket baju kemeja Ustaz Nazir. Melihat poket itu yang gelembung dia tahu kunci ada di situ.
“Abi tak akan bagi. Reen ikut abi dulu.” Terus saja Ustaz Nazir melambai ke arah Johari yang sedang menunggu di luar Alphard hitam.
“Reen tak nak ikut abi. Reen nak cari kerja sendiri.” Keras Nesreen membalas.
“Kalau macam tu biar abi pegang kunci kereta ni. Abi bagi dekat Yayasan untuk kegunaan pekerja abi.”
“Abi!!!”
YOU ARE READING
bye bye, BUTTERFLY (Freeze dulu!)
RomanceKisah antara dua negara. Inspired daripada CRASH LANDING ON YOU. Inspired je ye. Bukan tiru. Bukan plagiat. Jalan cerita pun lain. Kena bacalah ya.