BAB 06

10 1 0
                                    

Dia tak rela perempuan itu menolongnya. 

Sakit betul hatinya dengan sikap Umi Shitah. Ringan tulang pula nak membantu. Padahal dia sudah menghalau namun wanita itu tetap setia di dalam biliknya.

"Ada apa-apa lagi yang Reen nak. Umi boleh tolong ambilkan," ujar wanita itu lembut namun Nesreen tunjuk muka menyampah. Tangan pula dengan kasar menarik zip laju-laju. Sebaik sudah tertutup sepenuhnya  beg itu ditolak hingga ke hujung tilam. Tak sangka boleh terjatuh ke bawah pula. Nasib baik ia sekadar sebuah bagasi yang diperbuat daripada nilon yang tahan lasak. Kalaulah benda tu kaca dah lama berderai; hancur-lebur.  

Geram dengan sikap ramah-tamah perempuan itu, Nesreen protes dengan menolak beg menggunakan kaki sehingga rapat ke almari. 

"Kau keluar. Aku nak mandi. Kau ingat aku suka sangat tengok kau tercegat kat sini." Nesreen menghambur kasar. Memang kurang ajar. Sedikitpun dia tidak menyorokkan perasaan bencinya. Itulah dia. Kalau dah benci memang tak mampu nak berlakon suka.

Hati Mashitah pula tak mampu menipu. Betapa dia terluka dengan kata-kata Nesreen. Semua kelukaan itu terbias di dalam matanya yang sudah bergenang.

"Tak apalah Reen tak nak umi tolong pun. Tapi izinkan umi tengok Reen puas-puas. Reen pun tengoklah umi lama-lama. Mana tahu Reen akan bawa wajah umi dalam mimpi Reen."

Berkerut dahi Nesreen mendengar permintaan wanita itu.

“Excuse me!” Dengan memek muka tak suka Nesreen bersuara. “Kalau kat sini pun aku tak suka tengok jangan haraplah dalam mimpi aku nak bawa kau masuk. Eeeiii!”  Nesreen buat muka geli. Namun Mashitah tak ambil peduli. Walau hatinya sakit dia tak mampu hendak membenci.

“Umi dapat rasakan kita tak akan berjumpa lagi.”

Serta-merta tawa sinis Nesreen terhambur keluar.

"Of courselah kita tak akan jumpa lagi." Nesreen buat muka teruja. "Aku dah nak duduk rumah sendiri. Lepas tu nak pergi Vietnam. Balik saja dari sana aku dah tak perlu susah-susah nak menghadap muka kau lagi. Tak perlu dab aku nak pandang muka kau lagi.” Habis berkata Nesreen tarik tuala di ampaian. Malas hendak habiskan air liur bercakap dengan perempuan itu. Dengan lagak seperti perempuan terkaya di dunia Nesreen melangkah ke bilik air. 

Masyitah melihat gerak-geri Nesreen dengan seribu kesakitan. Cengkam baju di dada. Tidak membenarkan air matanya jatuh begitu saja. Sebelum Nesreen menghilang ke dalam bilik air Mashitah lontarkan pengharapan. "Umi doakan Reen akan selamat sampai dan selamat kembali. Dekat sana nanti Reen jaga diri baik-baik. Jangan skip  makan. Jangan tidur lewat. Jangan main hujan. Jangan duduk dekat tempat tinggi."

“Eh, jangan banyak cakap boleh tak. Aku tahulah nak jaga diri aku. Tak perlu pun kau nak pesan macam kau tu mak kandung aku,” bidas Nesreen lantas julingkan mata ke atas. Hempas pintu sekuat hati. Dia ingat dia ke yang lahirkan aku. Hatinya bermonolog sinis.

Air mata Mashitah akhirnya gugur juga. Pusingkan tubuh hendak keluar dari bilik Nesreen. "Dah keluar tu jangan tak tutup pintu pulak," laung Nesreen di dalam. Kasar. Cukup kasar. Dan… Mashitah melangkah keluar meninggalkan air mata yang sempat menitik jatuh ke atas lantai bilik Nesreen. Meninggalkan juga kelibat Nesreen yang langsung tidak sudi mencurahkan kasih kepadanya. Perlahan-lahan dia melintasi bilik Aisyah dan kedengaran panggilan halus dari bilik itu. Turutkan hati dia tidak mahu bersemuka dengan madunya. Namun mendengar suara Aisyah yang tak jemu memanggil dia pun pusingkan badan semula lalu masuk ke dalam.

Madunya itu melambai lemah. Menyuruh mendekati. Sebaik dia duduk di sebelah, tangan wanita yang tua dua tahun daripadanya membelai jemarinya yang makin lama makin berkedut.

"Sabar Shitah. Suatu saat Nesreen akan peluk Shitah juga," pujuk Aisyah baik-baik. Lembutkan suara agar Mashitah tidak akan menangis lagi. Bukan dia tidak mendengar tohmahan Nesreen tadi. Kerana pintu bilik gadis itu yang terbuka dia dapat mendengar dengan jelas suara itu yang cukup kurang ajar dengan Mashitah.

bye bye, BUTTERFLY (Freeze dulu!) Where stories live. Discover now