BAB 1

28 2 0
                                    

Mata terpejam rapat. Tidak nampak apa-apa tetapi dia mendengar suara raungan sang gadis.
Kuat! Amat kuat.

Ustaz Nazir terkejut. Spontan matanya celik dan dadanya berombak kuat. Cepat-cepat dia tegakkan badan lalu menyandar di bahu katil. Dia meludah ke kiri tiga kali. Kemudian membaca ta'awudz dengan harapan Tuhan akan melindunginya dari segala marabahaya.

Muka diraup lemah. Entah kenapa setelah sekian lama tidak bermimpi begitu ia tiba-tiba saja muncul mengganggu lenanya.
Dia sudah terlalu tua untuk bermimpi yang bukan-bukan tetapi itulah mimpi. Akan muncul dalam lena selagi dia masih bernafas.

Digelengkan kepala sekali dua. Membetulkan urat di leher. Biar hilang lenguhnya. Pandang pula jam loceng di atas meja lampu. Sudah jam empat setengah pagi. Waktu yang sesuai untuk bermunajat kepada Tuhan. Pantas dia tarik nafas panjang lantas dihembusnya kuat. Biar semua yang mengerikan ikut sama berterbangan. Tangan segera mencapai tongkat yang bersandar di meja lampu. Seperti selalu dengan hanya dibantu tongkat tersebut dia mengurus dirinya dengan sempurna.

Usai bertahajud dan solat subuh dia jenguk sang isteri di bilik sebelah. Sedang merenung keindahan luar. Dia tak mahu mengganggu lantas turun ke bawah. Bersarapan ala kadar lalu berehat di atas sofa. Pagi ini dia tidak ke pejabat seperti selalu.
Kakinya terasa berdenyut-denyut. Malah hatinya tak tenang pula.

Mata dipejam rapat.  Cuba menghalau perasaan tak tenteramnya sedari tadi. Apakah rasa yang dia dapat ini berkait rapat dengan sejarah hitamnya.

Ah, bukankah dia sudah berjanji untuk tidak mengingati kisah lalu! Tetapi sudah adat manusia, bukan. Pasti akan mengenang hal yang telah ditinggalkan walau sekerap mana kepala menegah. Sudah berpuluh tahun dia tinggalkan semua kenangan pahit hanya kerana mengejar cinta Ilahi. Tetapi begitulah yang Tuhan beri. Jika kebaikan yang dicari pasti ada ujian yang akan ikut sekali.

Matanya ditenyeh sekali dua.
Kertas kerja di atas meja kopi sudah tidak diendahkan. Saat ini dia hanya nampak pemandangan di luar rumah. Mahu meraih ketenangan dari situ namun matanya tiba-tiba sahaja terhalang oleh kelibat si dara yang tergopoh-gapah menuruni anak tangga lantas berlari ke muka pintu.

"Nesreen. Nak ke mana?" Spontan suara Ustaz Nazir melonjak keluar. Dia terkejut. Melihat pemakaian si dara hati dipagut hiba.

"Reen ada date dengan kawan. Janji pukul sembilan tapi… terbabas pulak."

"Terbabas sebab perangai Reen yang tak pernah nak berubah." Keras suaranya membalas. Terus saja wajah kalut anaknya berubah corak. Terzahir wajah tidak suka. Cemberut menahan gelora.

"Tengok pakaian sendiri. Bukan itu yang abi ajar."

"Abi! Reen dah lambat. Abi jangan nak curi masa Reen."  Nesreen terus keluar dan Ustaz Nazir terhenjot-henjot mengejar dari belakang. Tongkat di celah ketika dikepit erat. Jika terlepas dia yang akan rebah tersungkur.

"Dengar cakap abi. Jangan dah malam baru nak balik."
"Ye lah." Dengan muka tak puas hati Nesreen mengiyakan.
"Tudung tu…," tak habis ayat yang keluar terus Nesreen memotong laju.
"Dalam kereta nanti Reen pakailah elok-elok," jawab anak gadisnya lantas cengkam selendang di bawah dagu agar ia tidak terbuka. Tetapi sebaik sudah menghempaskan punggung di bahagian pemandu, selendang pun melurut jatuh ke bawah. Janji hanya tinggal janji.

"Nesreen!!!"
Bergema suara Ustaz Nazir memanggil dengan harapan si dara sedar akan kesalahan yang dibuat. Tetapi sayang, Perodua Ativa merah delima mutiara berbumbung hitam itu sekelip mata keluar dari laman rumah dan berganti dengan Proton X50 berwarna biru laut.

Ustaz Nazir tidak mahu menunggu untuk menyambut tetamu yang datang. Dengan penuh kesal dia pusingkan badan  lalu melangkah ke ruang tamu. Punggung di hempas semula ke atas sofa. Tangan capai  kertas kerja yang sudah dia luluskan sepenuhnya. Hanya menunggu masa untuk dilaksanakan sahaja.

"Reen nak pergi mana tu. Bawa kereta macam jalan tu dia yang punya." Suara sinis Ustaz Borhan menyapa gegendang telinganya.

Ustaz Nazir tidak terkesan. Bukan dia tidak tahu perangai anak daranya itu. Pandu kereta macam pelumba litar. Kalau dia tidak pernah terserempak tentu mati-mati dia ingatkan Nesreen penakut orangnya. Tetapi tidak, anaknya itu mengalahkan jantan di luar sana. Bukan sahaja perangai, pakaian pun tidak semenggah. Langsung tidak sesuai menjadi anak seorang ustaz terkenal.

Nasib baik orang tak kenal Nesreen.
Tetapi dia?
Sebut sahaja Ustaz Nazir Champa, semua orang kenal. Kerana  Yayasan Nazir yang ditubuhkan berpuluh tahun lamanya merupakan sebuah badan NGO yang menjaga kebajikan warga muslim Champa di Vietnam khususnya dan Malaysia sendiri amnya semua orang tahu siapa dia.  Segala berita mengenai dirinya selalu saja terpampang di media massa. Malah platform media sosial yang semakin canggih dan diminati golongan muda juga tak kalah menonjolkan sisi baiknya.
Namun begitu, hal peribadi tak pernah dia kongsi. Demi menjaga kemaslahatan keluarga tercinta lebih elok orang hanya mengenali dirinya sahaja. Anak bininya tidak perlu dijaja bersama. Tiada siapa pun perlu kenal susuk yang dia tanggung sepanjang hayatnya. Namun begitu semenjak anak-anaknya sudah besar panjang hati seorang ayah mulai risau dan bimbang. Tambah-tambah lagi lagak Nesreen yang tak sama dengan anak yang lain.

"Tolong tengok-tengokkan dia. Kalau kau jumpa dia buat kerja tak senonoh kau tegur dia. Nasihat sikit. Biar dia tahu bukan ayah dia seorang sahaja yang boleh tegur. Orang lain pun boleh sama."

Ustaz Borhan mengangguk akur. Kalau itu yang dipesan abang long tak mungkin dia akan ketepikan. Tetapi sampai ke saat ini dia belum pernah melihat perangai tak senonoh Nesreen. Dari kecil sampai sudah tamat belajar gadis itu tak banyak cakap kalau di rumah. Berjumpa orang pun hanya tunjuk muka tawar hambar atau pun ketat saja. Nak beramah mesra macam kakak yang sulong jauh sekali. Sebab itulah dia menganggap Nesreen tak pernah buat hal. Sekadar tak jaga pemakaian itu hal kecil saja. Darah tengah muda. Tentulah banyak trend yang nak diikut.

"Kau datang ni ada benda ke yang kau nak cakap?" soal Ustaz Nazir mengetepikan perihal Nesreen buat sementara waktu. Persilakan lelaki itu duduk dan seperti selalu Ustaz Borhan terus ke sofa lalu hempas punggung di tempat biasa.

"Aku nak cakap semua urusan dah setel. Lembu yang nak disembelih pun dah ada. Dua hari selepas raya haji nanti ikut tarikh yang ada dalam kertas kerja tu pihak sana akan uruskan. Cuma…." Ustaz Borhan berhenti seketika. Tarik nafas panjang dan hembus lemah.
"Aku tak dapat nak join program dekat sana nanti."

Terkejut Ustaz Nazir dengan pengakuan adiknya itu. Bukan ke semasa kertas kerja di usul lelaki itu sendiri yang berikan nama sebagai ketua rombongan. Sekaligus menjadi perasmi sebagaimana yang diminta pihak sana. Lelaki itu sendiri sanggup menggantikan dia yang sememangnya tidak mampu hendak ke sana kerana perlu menjalani pembedahan kecil di tapak kaki kanannya pada tarikh tersebut.

"Kenapa?" soalnya sepatah.
"Aku kena terbang ke UK. Ada konvokesyen Solehah kat sana. Kalau aku tak pergi merajuklah anak bongsu aku tu nanti. Kau faham-fahamlah sendiri."

Ustaz Nazir terangguk-angguk faham. Lagipun dia selalu berpesan dengan kakitangan yang lain. Kalau ada urusan melibatkan keluarga, dahulukan keluarga. Ketepikan soal kerja kerana  darah daging itu yang perlu diutamakan.
"Kalau macam tu aku cari orang lain." Lemah suaranya terlontar keluar.

"Najwa?" Ustaz Borhan beri usul dan  sepantas kilat Ustaz Nazir gelengkan kepala.

"Najwa kan tengah sibuk uruskan persiapan nikah kahwin dia. Tiga hari lepas habis program kat sana majlis akad nikah. Kau lupa?"

Ustaz Borhan tepuk dahi sendiri. Dia lupa anak saudara sulongnya bakal menamatkan zaman bujang tak lama lagi. Dia terlupa kerana Najwa terlalu sibuk. Jarang hendak melihat anak saudaranya itu di rumah mahupun di pejabat. Sebagai pemilik butik muslimah terkenal tanah air, masa untuk diri sendiri langsung tidak ada. Habis urusan di butik gadis itu akan membantu ayahnya di Yayasan Nazir. Tetapi kesibukan itu Tuhan balas dengan rezeki yang tak disangka-sangka. Di lamar juruaudit Yayasan yang merupakan seorang kontraktor hebat adalah peluang yang tidak boleh Najwa tolak. Soal jodoh orang lain tak mampu nak ramal. Justeru, sebagai seorang bapa saudara, Ustaz Borhan amat bersyukur kerana jodoh anak saudaranya itu tiba juga akhirnya.

"Nak suruh siapa lagi. Kalau suruh orang lain tentu mereka pun sibuk dengan hari raya."

Lamunan Ustaz Borhan putus di tengah jalan. Kali ini kepala berfikir panjang. Tiba-tiba terlintas wajah anak saudaranya yang seorang lagi.
"Nesreen kan ada."
Dan dahi Ustaz Nazir berkerut seribu.
"Nesreen!”

bye bye, BUTTERFLY (Freeze dulu!) Where stories live. Discover now