Hari ini sudah masuk hari ke lima dia duduk asing dari keluarganya. Rasa berbaloi walaupun penat; penat ke sana ke mari memohon kerja. Dahlah dia kena memandu sendiri pula tu. Tetapi hari ini dia ceria. Zahratul ada menemaninya meminta kerja dari pagi sampai ke senja.
"Singgahlah dulu Tul," ajak Nesreen sebaik sahaja Zahratul berhentikan kereta. Menghantarnya pulang ke kondo. Nampak wajah Zahratul kalut semacam. Mungkin penat kerana seharian di luar. Tiba-tiba terpaksa pula ke tempat kerja.
Zahratul gelengkan kepala.
"Bukan tak nak singgah tapi aku ada panggilan penting. Aku kena pergi jumpa bos aku.” Zahratul terpaksa menolak. Tunjuk muka serba salah. Wajah Nesreen yang ceria tadi sudah muncung sedepa.
“Kau ni biar betul. Dah nak maghrib kan. Bos kau gila ke apa. Malam baru nak panggil. Siang-siang tak adanya nak suruh pergi jumpa. Lagipun hari ini kan hari Jumaat. Esok dah Sabtu. Kerja apa lagi yang nak kena buat.”
Zahratul menggaru dahinya yang tak gatal. Muka pun berkerut macam dah buat salah besar.
“Aku kan doktor. Kena on call lah ni.”
Pantas Nesreen julingkan mata ke atas.
“Kau jangan nak berlayar buruk sangatlah. Doktor apanya? Doktor mental? Banyaklah kau punya on call tu,” cemik Nesreen sambil membetulkan kedudukan tali tas tangannya.Zahratul hembus nafas kesal. Garu hidung sambil tersenyum tawar.
“Aku betul-betul tak boleh singgah rumah kau. Kalau aku lewat sampai nanti kena balun dekat bos aku pulak,” terang Zahratul namun Nesreen tak terima. Dihentak kakinya ke atas lantai kereta dengan rasa geram. Macam budak-budak.
Zahratul pandang jam pager yang berkelip di pergelangan tangan.
"Nanti dah siap aku cepat-cepat datang ke sini.”
“Isk, geramlah dengan kau ni? ” Nesreen keluar dari perut kereta lantas menghempas pintu dengan kuat.
“Eh, kau. Ini kereta pinjam, hokeh! Jangan nak buat macam kereta sendiri. Rosak nanti aku tak boleh nak baiki. Aku ni tak banyak duit. Lainlah kau. Anak orang kaya.”
Geram juga Zahratul dengan Nesreen. Kalau tak mengenangkan gadis itu kawan baik sehidup semati dia tak teragak-agak nak bagi lagi pedas dari tadi. Nasib baik dah faham sangat dengan Nesreen.
“Pergilah kau,” halau Nesreen lantas melangkah hendak meninggalkan Zahratul. Sambil berjalan sambil mengomel. "Hari tu dia cakap aku tak ajak lah, tak apalah. Sekarang bila aku dah ajak dia buat-buat jadi pekerja cemerlang pulak.”
Zahratul di dalam kereta mendongak sedikit tinggi. Mahu memerhati tingkah Nesreen. Masih nak mengomel.
“Kau jangan nak jadi mak nenek sangatlah. Tak pasal-pasal nanti terpelecok,” jerit Zahratul dari dalam kereta.
Entah di mana silapnya, kata-kata itu benar-benar menjadi. Masin betul mulut Zahratul. Dalam langkah yang macam orang angkuh Nesreen tersepak bucu tangga. Terus tangannya paut bingkai pintu utama kondominium. Menahan diri daripada jatuh tergolek ke bawah. Tawa besar Zahratul pantas berhamburan keluar.
“Padan muka!”
Nesreen pantas palingkan muka.
“Kau jangan nak datang sini. Kalau aku tahu kau ketuk pintu rumah aku siap kau.”
Nesreen tudingkan jari telunjuk tepat ke muka Zahratul. Walaupun jauh dia yakin gadis itu faham apa yang dia bebelkan.
Zahratul pula gelengkan kepala berkali-kali. Dia memang faham. Lantas beri isyarat akan segera datang sebaik sahaja kerjanya selesai. Lambaikan tangan pada orang yang tengah muncung sedepa lantas memandu keluar dari kawasan kondominium.
YOU ARE READING
bye bye, BUTTERFLY (Freeze dulu!)
RomanceKisah antara dua negara. Inspired daripada CRASH LANDING ON YOU. Inspired je ye. Bukan tiru. Bukan plagiat. Jalan cerita pun lain. Kena bacalah ya.