SAMB. BAB 02

10 2 0
                                    

Apa sahaja yang telah berlaku tak mungkin dapat diundur kembali. Hendak membetulkan semula pun memang tak mungkin lagi. 

Begitulah yang telah tersurat. Mengahwini Mashitah adalah pilihannya sendiri. Itu pun setelah puas berbincang dengan Aisyah. Walaupun dia nampak mata isterinya itu berkaca-kaca kerana berat hati merelakan tetapi demi kesejahteraan hidup Mashitah dan ketenangan yang dia cari terpaksa juga melukakan Aisyah. Sungguh berat apa yang semua orang tanggung namun semua itu tak nampak di mata Nesreen. 

Nesreen hanya nampak kejahatan seorang Mashitah.

Mashitah dianggap perempuan tak baik. Malah Nesreen selalu sahaja menunjukkan kebencian yang tak bertepi. Bagi Nesreen, apa yang seorang ayah buat tak kena dengan statusnya sebagai seorang ustaz. 

Dia tak faham apa yang tak kenanya. 

Semua orang tahu dia ada dua isteri. Cuma dia yang tidak mendedahkan kepada umum siapakah isterinya. Cukuplah mereka di luar sana tahu bilangan yang ada. Hendak diperkenalkan, bimbang bahaya akan menerjah masuk.  

Apa yang dia buat adalah kerana hendak menghindarkan bahaya. Namun dia tak  mampu hendak menjelaskan. Terlalu sulit hendak bercerita kepada Nesreen dari A sehingga Z. Nesreen tak akan faham. Tambah-tambah lagi hati gadis itu penuh dengan api benci. Cukuplah Nesreen sedar kasihnya pada Nesreen tak pernah bertepi. Dia sayangkan Nesreen melebihi nyawanya. Sebab itulah dia tak membetulkan tulang yang bengkok itu sekelip mata. Dia akan berusaha membetulkannya perlahan-lahan. Malah dia cukup berharap akan ada seseorang yang mampu menundukkan anak daranya.

Jika ada lelaki lain yang mampu menghadap Nesreen dia amat mengalu-alukan.

Tetapi hati tuanya tidak yakin. Masih adakah lelaki yang boleh membentuk seorang gadis keras kepala seperti Nesreen. Masih adakah lelaki yang mampu menerima segala kekurangan untuk membina kebahagiaan. Kepalanya tak mampu berfikir dalam. Dia amat berharap di mana saja Nesreen berada,  gadis itu akan selalu menunduk dan menunjukkan budi pekerti yang mulia.   

bye bye, BUTTERFLY (Freeze dulu!) Where stories live. Discover now