Petang sudah beransur pergi, kini berganti maghrib pula. Namun bayang Nesreen tetap tidak kelihatan. Sungguh gusar hati tua Ustaz Nazir dengan sikap anak daranya. Kalaulah dia masih sihat seperti dulu tentu dia akan ikat Nesreen ketat-ketat. Biar sekaki dengannya tak kira masa.
Janji akan pulang sebelum malam tidak diendahkan Nesreen. Setengah jam lagi azan isyak akan kedengaran sehinggalah dia sudah selesai solat berjemaah dan membaca yaasin dengan orang di dalam rumah, bayang Nesreen tetap tak nampak di mata. Perut sedari tadi berkeroncong meminta nasi. Sengaja dia lewatkan makan malam kerana menunggu Nesreen. Tetapi yang ditunggu tak kunjung tiba, sebaliknya perut yang sudah tua ini pula jadi sakit.
“Abang aji nak tunggu isyak dulu ke?” sapaan Mashitah mengganggu lamunan.
Ustaz Nazir gelengkan kepala.
“Hidanglah. Perut pun pedih dah ni.”
Mashitah sidaikan telekung solat di ampaian. Keluar dari ruang solat lalu turun ke bawah. Ustaz Nazir pula terhenjot-henjot ke beranda. Mengintai kelibat Nesreen dari situ. Namun enjin kereta tak kedengaran. Pantas sahaja dia mengeluh kesal.
Nesreen, pantang ditegur. Malah nasihat yang diberi bagai mencurah ke daun keladi. Tidak lekat di daun sebaliknya makin kalis. Jika dia sudah tiada di dunia kepada siapa hendak dia gantungkan harapan untuk menjaga si anak. Hendak harapkan Najwa, gadis itu banyak mengalah. Apabila Nesreen naikkan suara Najwa akan menikus berminggu-minggu lamanya.
"Abang aji marilah makan. Anak-anak dah tunggu dekat meja."
Lamunannya mati apabila suara Mashitah yang memanggil lembut menyentuh gegendang telinga. Tak melengahkan masa, segera melangkah meninggalkan ruang solat untuk menjejak tangga.
"Abang Aji nak guna kerusi roda?" tanya sang isteri namun dia gelengkan kepala. Lebih baik dia berjalan dari ditolak orang. Biar nampak kuat. Namun kuat yang dia harapkan tidak datang sebaliknya berganti lemah. Dari atas dia mendengar pintu rumah ditutup kasar. Gedegang bunyinya. Terus hatinya luruh ke bawah. Saat itu juga mata menjamah susuk tubuh yang muncul dengan kepala togel. Selendang yang menutup kepala pagi tadi sudah diikat di pinggang. Amarahnya terus membuak keluar. Apatah lagi sekarang ini anak tirinya ada bersama. Kedua-dua orang lelaki yang sedang menunggu di meja makan itu bukan mahram anaknya.
"Nesreen!" kuat dia memanggil si anak. Terus langkah Nesreen terhenti lantas mendongak ke atas. Dengan payah Ustaz Nazir menjejak anak tangga turun ke bawah.
"Abi tahu Nesreen tak pakai tudung tadi. Sekarang pakai. Tutup kepala tu."
"Abi… boleh tak jangan nak tazkirah. Tahulah selalu bagi tazkirah dekat masjid. Tapi ini rumah. Bosanlah kalau asyik nak tadah telinga je.”
Pang!
Tak pasal-pasal sebiji pelempang singgah di pipi. Terus tangan Nesreen naik ke muka dan mengusap pipi dengan rasa terkejut. Air mata pun tak beri kerjasama. Pantas sekali menjunam keluar dari kolam mata. Sungguh Nesreen kesal. Abi sudah pandai menampar anak sendiri.
"Siapa yang ajar Nesreen menjawab. Siapa?" jerkah Ustaz Nazir. Serasa hendak tercabut telinga semua orang yang mendengar jerkahan tersebut. Namun Nesreen bulatkan mata.
"Dia ni."
Telunjuk runcing itu terus ke muka Mashitah. Mata pun tepat ke wajah bertudung labuh ala-ala Ustazah itu. Air mata pula tak gagal mengalir. Menzahirkan rasa benci dan sakit hati.Mashitah tergamam. Tujahan kata itu berbaur dendam. Entah dendam apa yang gadis itu simpan. Sedikitpun dia tidak faham. Malah nada kasar yang keluar dari mulut Nesreen menyebabkan hatinya tersiat pedih. Terus Mashitah menekur ke bawah. Malu juga datang sebaik dituduh seperti itu. Pun begitu, hati sentiasa meminta pada Yang Maha Kuasa agar meningkatkan kesabarannya.
YOU ARE READING
bye bye, BUTTERFLY (Freeze dulu!)
RomanceKisah antara dua negara. Inspired daripada CRASH LANDING ON YOU. Inspired je ye. Bukan tiru. Bukan plagiat. Jalan cerita pun lain. Kena bacalah ya.