MALAM harinya, di saat semua manusia melelapkan mata, mimpi bahagia di saat itu jgalah terlihat seorang gadis yang bangun disepertiga malam bagi menunaikan solat sunat.Eliya Keysha baru sahaja selesai menunaikan solat sunat taubat dan solat istikharah. Tidak henti-henti bibirnya beristighfar memohon keampunan dari Allah. Pernah dia mendengar dari orang dahulu bahawa jika ingin menunaikan solat Istikharah disunatkan untuk melakukan solat taubat dahulu supaya tiada dosa yang dapat menghijab petunjuk dari doa Istikharah.
Kedua-dua tangan ditadah. Memohon agar dipermudahkan segala urusan.
"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, aku memohon kepada-Mu. Jika benar Nik Isyhad adalah takdirku, jika namanya tertulis di sebelah namaku di Luh Mahfuz maka kau permudahkanlah kami untuk disatukan. Jika dia adalah yang terbaik untukku, maka kau janganlah sukarkan perjalanan kami untuk disatukan. Jika dia memang tercipta untukku maka kau tunjukkan kebenarannya. Jika dia memang orangnya, maka jadikanlah dia sahabatku di dalam urusan agamaku, duniaku mahupun akhiratku."
"Tetapi jika dia adalah ujian yang engkau berikan kepadaku, maka kau teguhkan keimananku untuk menghadapi ujian-Mu. Tolong hadirkan perasaan sayang, cinta hanya kepada jodohku dan jika Nik Isyhad adalah orangnya, kau hadirkanlah segala perasaan ini pada waktu yang tepat. Kau permudahkanlah urusan kami untuk menghalalkan hubungan ini jika dia adalah imamku. Kau dengar dan makbulkanlah doa ku ini Ya Allah. Aamiin Ya Rabb."
Habis sahaja dia berdoa, terus air mata tanpa dipinta membasahi pipi. Ketenangan dirasai saat dapat meluahkan segalanya kepada Yang Maha Esa. Namun tangisannya tidak dapat dia hentikan. Muka ditekup menggunakan tangan sebelum teresak-esak dia menangis. Sehingga pada akhirnya dia sendiri tidak menyedari telah tertidur di atas tikar sejadah jika tidak dibangunkan Harsha.
TIDAK tahu sama ada rezekinya atau kebetulan sahaja, cuti yang sepatutnya hanya dua hari berlanjutan sehingga keempat hari. Ini bermaksud dia mempunyai banyak masa terluang. Di dalam minda terfikir untuk pulang ke kampung halaman. Terus laju sahaja jari melakukan tugas menempah tiket keretapi secara dalam talian.
Dan di sinilah dia. Setelah menempuh perjalanan hampir lima jam ditambah dengan penukaran keretapi api di stesen tertentu maka tibalah dia di Perak. Kampung asalnya. Tanah tumpah darahnya.
Salam diberikan sebelum pintu dibuka dari dalam dan muncullah ibu berpakaian kain batik dan t-shirt berlengan pendek.
"Eh Ya Allah budak ni. Balik bukan nak bagi tau. Tau tau tercongok depan pintu. Ni nasib ibu ada rumah, kena kalau pi kenduri ka ha melangut la hang sorang dekat luar ni."
Eliya ketawa sahaja mendengar bebelan ibu. Bebelan inilah yang dia rindukan sangat.
"Peluk?"
Tidak tunggu lama, laju kaki ibu bergerak ke arah Eliya sebelum tubuh itu dipeluk lama. Mahu melepaskan rindu yang bersarang.
"Ayah mana ibu?"
Pelukan terlerai.
"Mana lagi. Kebun dia la. Pagi-pagi lagi dah menapak sana. Sampai la batang hidung tak nampak lagi. Ni kalau dia tau Esha balik mesti seronok."
Esha. Rindu dia mahu mendengar nama itu. Panggilan yang hanya dipanggil oleh ibu ayah.
"Jomlah masuk. Hangat ni. Kesian anak ibu mesti penat. Pi masuk bilik rehat dulu. Nanti siap masak ibu panggil."
Beg galas diletakkan di atas katil. Hanya satu beg sahaja yang dibawa pulang memandangkan pakaiannya di ruah ini masih banyak. Yang dibawa hanyalah laptop, buku dan nota. Dia sudah berangan-angan untuk mengulang kaji pelajaran di pangkin yang dibina ayah berhadapan dengan sawah padi. Tidak sabar mahu ditampar lembut oleh angin. Sambil menikmati keindahan alam.
"Lah yang mai dapur ni buat apa?"
Bawang di atas meja diambil sebelum dicuci bersih dan dikupas membulat.
"Tolong ibu la."
"Orang suruh rehat dia mai tolong. Ikut Esha la. Larang lebih-lebih pun tak makan saman."
Memang sikap anaknya yang sangat ringan tulang. Jika melihat ada yang memerlukan bantuan laju sahaja dia menjadi orang pertama yang membantu.
Eliya senyum.
"SEBENARNYA Esha ada benda nak bagi tau ibu ayah. Nak minta pendapat sekali."
Ibu dan ayah memandang sesama sendiri.
"Esha nak tanya wajarkah kalau seorang pelajar yang sedang menuntut di menara gading tiba-tiba ada perasaan jatuh cinta? Maksudnya bukan solid jatuh cinta melainkan perasaan suka? Dan yang menguatkan lagi perasaannya bila mana orang yang dia suka tu meluahkan perasaan pada dia."
Ibu senyum memandang anaknya. Anaknya yang diasuh sejak bayi kini telah dewasa. Bijak bercerita tentang hati dan perasaan.
"Esha, perasaan suka, sayang memang wujud dalam diri setiap individu. Tak kisahlah sayang diri sendiri, keluarga, rakan mahupun yang berlainan jantina. Tapi yang penting adalah dia perlu pandai menjaga diri sendiri. Jangan terlalu ikutkan perasaan suka kepada ajnabi sehingga boleh merosakkan diri sendiri. Ibu tahu Esha tanya bagi pihak Esha sendiri kan? Ibu tak akan marah Esha sebab itu memang fitrah seorang manusia."
"Tapi yang membezakan kita dengan yang lain adalah diri kita. Esha kena ingat kalau dia memang betul sayangkan kita, dia tak akan ambil kesempatan atas diri kita. Dia sendiri yang perlu berani mulakan langkah untuk menghalalkan Esha. Ibu tak mau dengar yang Esha bercinta tiba-tiba. Itu bukan cara kita, nak. Kalau nak kan sebuah perkenalan maka taaruflah. Itu yang terbaik."
Taaruf itu merupakan ajaran Islam yang sebenar. Bukan bercinta. Tidak sewajarnya kita sebagai seorang Islam mengikut jejak langkah barat yang jelas mahu merosakkan diri kita.
"Betul kata ibu tu Esha. Lagi pun kalau Esha dah bersedia dan lelaki itu sendiri pun sudah seimbang dari pelbagai aspek, jadi datang bawa jumpa ibu ayah."
"Jumpa ibu ayah? Macam terlalu awal ja."
Tidak mungkin dia terus membawa Nik Isyhad bertemu ibu ayah. Takut dicop kita yang gelojoh.
Ayah menggeleng.
"Tak ada yang terlalu awal Esha. Bila mana perasaan suka dan sayang mula hadir maksudnya masanya telah tiba. Esha dah bertaaruf dengan dia?"
Esha menggeleng perlahan. Itulah masalahnya. Dia hanya mengetahui nama dan pekerjaan sahaja. Lain-lain? Tiada langsung. Tak mungkin mahu ditanya pada Zafrya.
"Tak apa. Nanti bawa dia datang jumpa ayah. Biar ayah tolong taarufkan untuk kamu."
"Ayah tak main-main?"
"Ayah tak mungkin mainkan hal begini Esha. Perkara ni penting."
Pening. Selepas satu hal satu hal datang. Sekarang macam mana pula dia mahu mengatakan perkara ini kepada Nik Isyhad? Sedangkan mereka pun masih terlalu awal. Dia sendiri meletakkan jurang yang terlalu jauh antar dia dan lelaki itu.
"Boleh ibu tahu dia kerja apa?"
Suara ibu yang menanya soalan menyentakkan Eliya.
"Dia pensyarah Esha. Erk ibu ayah tak marah kan?"
Ibu mengubah tempatnya daripada sofa berangkai dua yang didudukinya bersama ayah ke sofa berangkai tiga yang diduduki Eliya. Rambut lurus Eliya diusap perlahan.
"Esha bagi tau sebab kenapa kami kena marah? Itu hak Esha. Ibu ayah tak kisah pun dia kerja apa asalkan halal. Lagi pun kalau dia pensyarah Esha sendiri lagi senang la dia nak jaga kamu kalau di universiti. Esha buat hal sikit je ha ibu suruh dia denda Esha buat karangan bahasa Itali lima muka surat."
"Ibu niii."
Tubuh tua ibu dipeluk erat.
Anak yang di didik dengan penuh kasih sayang. Anak yang memberi mereka peluang menjadi ibu dan ayah. Anak yang tidak lokek dengan senyuman. Anak yang suka membantu. Anak yang dahulu penuh hingus di hidung kini membesar menjadi seorang wanita yang baik. Yang akan dimiliki dan dijaga oleh suaminya.
Mengenangkan itu, ibu mula berasa sebak. Terlalu pantas masa berlalu.
YOU ARE READING
Sesakit Itu Cinta?
RomanceEliya Keysha Nik Isyhad Qhawiz Nama yang saling melengkapi antara satu sama lain. 'Sampai bila pun aku tak akan melepaskanmu'