RAKAMAN CCTV yang berada di atas syiling sama sekali tidak diendahkan. Kot berwarna putih dicapai lalu disarungkan pada tubuh yang kekar itu. Stetoskop diambil untuk mengecek nadi insan berumur di hadapannya kini.
Setelah dicek, satu picagari diambil "Bapak mesti dah lama pendam rasa sakit ni untuk keluarga kan?" soalnya pada bayu. Namun insan berada di hadapannya sedikitpun tidak memberi sebarang respon. Dia tersengih "Takpe, saya boleh tolong bapak untuk rehat ye," picagari itu dicapai lalu ditusuk pada tubuh itu.
"Lepas ni, bapak boleh rehat buat selama-lamanya," katanya pada atma.
Setelah jarum picagari yang telah masuk ke dalam daging itu ditarik semua, tangannya sedia memegang pergelangan tangan tubuh yang tadinya dipanggil dengan gelaran 'bapak'. Nadi itu akhirnya terhenti. Tiada lagi bunyi degupan di dalamnya. Nyawanya melayang. Rohnya telah keluar dari jasad.
Setelah beberapa lama kemudian, pergelangan tangan yang disentuh itu lama-kelamaan menjadi sejuk. Tiada lagi berlakunya pengaliran darah di dalamnya. Yang tinggal hanya jasad
Suasana hening. Sunyi. Tiada siapa melainkan hanya dia dan tubuh di hadapannya yang sudah tidak bernyawa lagi.
Melihat pemergian insan berumur itu, dia tersengih. Apa yang diinginkan, akhirnya tercapai jua.
Dengan itu, maka rekod jenayah sudah ada dalam dirinya. Hanya sahaja rekod itu belum muncul pada mata dunia. Belum dilihat pada alam realiti. Kecuali satu mata yang mengintai dirinya dari arah pintu yang sedikit terbuka.
Mata yang mengintai itu, jelas merasakan sakit hati yang mendalam. Hatinya bagai dirobek semahunya. Jiwanya hancur.
Dimanakah perginya keadilan?
Lantas, air mata mula jatuh membasahi pipi gebu itu. Bagai sebuah empangan pecah. Wajah berkulit sawo matang itu menjadi sembap dan kemerahan.
Dalam keadaan yang masih dibelenggu tangisan, satu bayangan figura muncul di hadapannya. Membuatkan segenap cahaya di hadapan matanya menjadi gelap seketika. Mata amber berwarna coklat pekat itu seraya mendongak kepala bagi memandang si empunya bayang.
Belum apa-apa, lehernya dicekik semahunya. Wajah mulus itu ditampar berkali-kali. Membuatkan jeritan dan tangisan wanita itu kian menjadi-jadi.
Tidak lama kemudian, kedua belah pipi itu dipautnya. Bibir yang dihiasi oleh misai keli itu mula dirapatkan pada telinganya. Kononnya bagi memperjelaskan lagi setiap bait kata yang akan diucapkan nanti.
Suara sengihan mula menerjah koklea wanita itu "Aku tau, aku gila," suara garau itu menyentak lamunannya seketika. Matanya yang tadi hanya dipenuhi rasa sebak kini mula menumpukan perhatian "Aku tau, kau rasa dunia ni tak adil," sambung suara garau itu lagi.
Senyuman sinis masih setia terukir pada bibir tebal itu "Kalau kau nak mengejar apa itu keadilan, maka kekal lah hidup dengan aku selama-lamanya. Jangan mati," tuturnya yang kian menoreh hati kecil wanita itu. Dan kini, tubuh genit wanita itu masih berada dalam dakapannya malahan lebih erat lagi.
"Jangan buat sesuatu, yang buatkan aku tak teragak-agak untuk bunuh kau," itulah ucapan terakhir lelaki itu setelah dakapan yang dirasakan menjijikkan bagi wanita itu dileraikan.
Setelah sekian lama menahan amarah "Kau memang binatang!" jerit wanita itu yang mula menyinga. Namun, makian itu sedikitpun tidak di endahkan malahan lelaki itu pergi meninggalkan wanita itu. Sedikitpun perasaan hiba itu tidak di endahkan.
...
Setelah siap menyapu, tangan aku tidak berhenti untuk mengemop lantai yang yang dihiasi batu marmar ini. Wana lantai yang hitam berkilau bercampur dengan warna keemasan cukup untuk menarik perhatian sesiapa sahaja yang masuk ke dalam rumah ini.
Cantik.
Mewah.
Itulah ungkapan yang sesuai untuk lantai ini.
Baru sahaja lantai, belum lagi hiasan lampu chandelier yang berjuntaian dari bumbung rumah aras tiga. Aku pembantu rumah? Bukan. Aku adalah isteri kepada lelaki yang kaya.
Aku hanya tersengih seperti kerang busuk tatkala ada sesetengah orang menganggap aku mempunyai nasib yang baik. Dalam fikiran mereka, aku dilayan bak puteri dalam istana. Aku bermandi wang, sambil bersabunkan jongkong emas. Aku mempunyai kisah kehidupan bak fiksi yang dikarang penulis.
Dahulu, aku sentiasa berangan mempunyai rumah yang sederhana. Suamiku bekerja sebagai pejawat awam biasa, dan aku akan bekerja untuk menolongnya dari segi ekonomi dan kewangan keluarga. Dengan kehidupan yang sederhana, aku hidup bahagia dengan pasanganku. Malahan aku bersedia untuk menemaninya dari kosong.
Kini, aku tak menyangka.
Kehidupan aku, adalah kehidupan yang di dambakan oleh ribuan wanita di luar sana.
Namun siapa yang tahu, ianya hanya indah khabar dari rupa.
"Lama betul kamu berangan ni Mia," tegur seorang pembantu rumah yang menghentikan lamunan aku serta-merta. Aku yang terperanjat seraya gugup untuk menyambung pekerjaanku. Tangan aku pantas mengemop semula lantai.
Mak Su, selaku pembantu rumah seraya menegur "Eh, bukan itu maksud makcik sayang. Ni kan kerja makcik, bukan kerja kamu," ujar Mak Su lantas merampas laju batang mop yang aku genggam sedari tadi. Aku hanya tersenyum memandang Mak Su.
"Dah... dah. Pergi naik atas, mandi ye. Lauk semua mak Su dah masak. Makan nak ye," ujar mak Su prihatin. Aku hanya menurut lalu mengorak langkah menaiki anak tangga. Apabila kelibat aku hampir hilang pada pandangan mak Su, aku dapat rasakan mak Su mengelamun sebentar sambil memandang aku.
Aku kembali menoleh ke arah mak Su. Wajah mak Su kelihatan sungguh sayu. Melihat air muka wanita berumur itu, aku menguntum senyuman manis. Namun, hati mak Su dapat meneka bahawa kuntuman senyuman aku bagaikan topeng.
"Kamu okay?" soal mak Su inginkan kepastian. Aku mengangguk lembut seraya menapak laju menaiki anak tangga.
Tubuh badan aku hempaskan di atas birai katil. Tangisan yang sedari tadi aku tahan, akhirnya pecah jua. Selimut yang entah dari mana aku capai, aku genggam erat untuk mengusap air mata yang bertakung dan jatuh membasahi pipi. Wajah ini aku sembamkan pada bantal.
Hati aku sakit. Remuk.
Tangan berkali-kali aku hempaskan pada katil. Katil mahal yang empuk sebegini, sudah serasa seperti batu pada deria rasaku ketika ini.
Setelah lama aku berada dalam keadaan begini, tubuhku terasa letih. Letih bukan hanya dari fizikal, tetapi juga hati dan perasaan. Sehingga pada akhirnya, mata aku terlelap dan rasa kantuk mula bertandang.
Betullah kata yang selama ini aku dengar. Allah s.w.t sengaja memberikan rasa mengantuk setelah penat menangis kerana ingin menenangkan hambanya. Dan kini, hatiku kosong. Rasa kosong yang teramat. Yang aku ada, hanya Allah sebagai pelindung.
Tiada sesiapa yang mampu menyelamatkan aku dari kekejaman realiti ini. Oleh itu, aku harus berdoa dan tetap berdoa sepanjang masa.
...
Dengan itu, terbukalah tirai kisah Asmaraloka buatku ini.
.

ANDA SEDANG MEMBACA
Sangkar Buatku
RomanceTatkala pilihan yang salah ini, telah menjadi memoir abadi dalam kisah hidupku. Sebuah memoir yang penuh dengan kegelapan di dalamnya. Tanpa ada sedikitpun cahaya yang sudi untuk menyinari. Dan itulah sangkar buatku. "Ini semua, pakaian orang dah...